"CORPORATE WAQAF FOR BUSINESS JIHAD"                                                                        "WAQAF KORPORAT UNTUK JIHAD BISNES"                                                                         "BUSINESS JIHAD - A JIHAD OF PEACE AND PROSPERITY THROUGH BUSINESS"
 

MINDA BISTARI #25 - IMPAK GAGASAN WAQAF KORPORAT

Posted On February 25, 2010

(Artikel ini ialah tulisan asal yang diterbitkan di Ruangan Minda Bistari, Harian Metro pada 25 Februari, 2010 dengan beberapa pindaan oleh editor.)

Baru-baru ini saya menerima undangan ke Persidangan Waqaf Antarabangsa Dubai anjuran Yayasan Waqaf Dubai, Kerajaan Dubai dan Suruhanjaya Sosial dan Ekonomi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Asia Barat (UN-ESCWA). Tujuannya ialah bagi membentangkan kertas kerja bertajuk ”Waqaf Korporat – Pengalaman Malaysia dalam Membangun Keupayaan Bisnes Lestari” pada 16 Februari 2010.

Tema ”Persidangan Antarabangsa Dubai Mengenai Waqaf dan Sumber Pembiayaan Berinovasi untuk Manfaat Perusahaan Kecil dan Sederhana” jelas membayangkan usaha Dubai dan beberapa negara lain di Asia Barat mencari pembaharuan dalam pembangunan ekonomi dengan memperluaskan manfaat daripada institusi waqaf untuk umat Islam di negara masing-masing.

Di Asia Barat kini terdapat gagasan yang berani dan berinovasi untuk memperluas peranan dan impak yang boleh dimanfaatkan oleh institusi yang diwarisi umat Islam, seperti waqaf. Hal ini ditekankan di awal persidangan apabila dikatakan telah tiba masanya waqaf tidak lagi dikaitkan dengan keperluan umat untuk kehidupan ’selepas mati’ seperti waqaf untuk tanah kubur, masjid, madrasah dan seumpamanya. Justeru, seluruh perwakilan menumpukan perhatian terhadap isu dan cabaran berkaitan cita-cita memanfaatkan waqaf bagi umat Islam demi memenuhi keperluan kehidupan ’sebelum mati’.

Beberapa kandungan pembentangan kertas kerja saya berjaya menarik perhatian perwakilan dan mengundang soalan. Pengalaman JCorp menubuhkan konsep Waqaf Korporat itu sendiri sangat mendapat perhatian. Selainnya, konsep Intrapreneur JCorp, program pembangunan Usahawan Bistari dan Waqaf Dana Niaga turut menarik minat semua. Peserta dari Asia Barat termasuk Dubai, Kuwait dan Qatar lebih tertarik setelah mendapati pencapaian JCorp sebagai sebuah organisasi korporat berskala besar dengan lebih 280 syarikat dan 60,000 anggota pekerja telah dapat dicapai di samping pendekatan berdasarkan falsafah Jihad Bisnes dan bersendikan Waqaf Korporat.

MINDA BISTARI #24 - BUNYANUN MARSUS - STRATEGI ORGANISASI UNTUK JIHAD BISNES

Posted On February 18, 2010

(Artikel ini ialah artikel asal dan telah diterbitkan di Ruangan Minda Bistari, Harian Metro pada 18 Februari 2010 dengan beberapa pindaan oleh pihak editor di bawah tajuk “Menyusun Saf Organisasi - Pendekatan Bunyanun Marsus”)

Saya menulis artikel ini ketika dalam persiapan untuk ke Dubai bagi memenuhi jemputan membentangkan kertas kerja di Persidangan Waqaf Antarabangsa Dubai yang berlangsung pada 16 dan 17 Februari 2010. Insya Allah, saya akan menulis mengenai persidangan tersebut dalam artikel yang akan datang.

Kali ini saya ingin menarik perhatian pembaca kepada tradisi berniaga di kalangan kaum Melayu. Sejak dulu lagi, peniaga Melayu umumnya lebih berminat berniaga secara kecil-kecilan sehingga seolah-olah menjadi satu ciri utama kepada budaya ekonomi orang Melayu. Sangat sedikit contoh kejayaan peniaga Melayu membesarkan bisnes mereka sehingga menjadi bisnes besar dan korporat gergasi.

Seorang penulis Inggeris, John Cameron pada 1865 pernah menyatakan ”The Malay never rises to be more than a hawker; and this is the result, no doubt, of that want of ambition to be rich.” Pengamatan beliau jelas menunjukkan bangsa Melayu sejak sekian lama tidak mempunyai cita-cita untuk meningkat lebih maju dan lebih kaya selain daripada menjadi peniaga runcit kecil-kecilan.

Dasar pembangunan usahawan Malaysia sejak merdeka dan setelah DEB dilancar terlalu menumpu kepada usaha melahirkan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), melalui pemberian bantuan dan subsidi kewangan oleh kerajaan. Kesan positifnya ialah apabila kaedah ini berjaya meningkatkan bilangan peniaga kecil dan usahawan IKS Melayu dan bumiputera. Namun negatifnya ialah apabila ia menyebabkan mereka terlalu mengharapkan pembiayaan kerajaan dan terikat dengan mentaliti bantuan dan subsidi sehingga tidak berminat membesarkan bisnes ke peringkat korporat dan besar-besaran.

MINDA BISTARI #23 - KERETA API BARU LANDASAN LAMA

Posted On February 11, 2010

(Artikel ini ialah artikel asal dan telah diterbitkan di Ruangan Minda Bistari, Harian Metro pada 11 Februari 2010 dengan beberapa pindaan oleh editor di bawah tajuk “IKTIBAR DARI KERETA API - Negara Islam Kaya Perlu Bina Teknologi Organisasi, Jangan Terus Jadi Pembeli Barangan Bukan Muslim” )

Sebenarnya, pada kereta api juga terdapat pengajaran dan contoh yang membantu Melayu dan umat Islam memahami peranan penting teknologi dan ”teknologi organisasi”, seterusnya mencari jalan keluar dan membina semula keperkasaan umat.

Renungkan bagaimana kereta api baru seperti Shinkansen, TGV dan Maglev mampu mencapai kelajuan melebihi 300 kilometer sejam sedangkan kereta api lama masih perlahan, ketinggalan dan kerap tergelincir?

Sebenarnya kereta api lama tidak mampu bergerak pantas kerana segala beban bagi menarik berpuluh-puluh gerabak diletakkan kepada kepala kereta api. Ini berbeza dengan sistem yang digunakan kereta api baru.

Sekalipun sumber utama kuasa dan kawalannya berpusat di kepala kereta api, kemajuan teknologi membolehkan setiap gerabaknya memiliki sumber kuasa dan tenaganya sendiri. Rodanya turut dilengkapi tenaga yang saling memacu.

Ini membuatkan setiap gerabak kereta api baru bukan lagi beban kepada kepalanya sebagaimana kereta api lama!

MINDA BISTARI #22 - TEKNOLOGI NADI EKONOMI

Posted On February 4, 2010

(Artikel ini ialah artikel asal yang telah diterbitkan di Ruangan Minda Bistari, Harian Metro pada 4 Februari 2010 dengan beberapa pindaan oleh editor)

Pembelian kereta api canggih oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melibatkan perbelanjaan RM 240 juta baru-baru ini menarik perhatian saya. Keretapi eletrik menggunakan teknologi dari Korea Selatan ini akan digunakan untuk laluan Kuala Lumpur ke Ipoh.

Dengan kelajuan 140 km sejam, masa perjalanan antara KL dan Ipoh dijangka dapat dipendekkan kepada hanya 1 jam 55 minit.

Syabas diucapkan kepada KTMB yang berusaha meningkatkan mutu perkhidmatannya demi memenuhi keperluan generasi masa kini.

Sebenarnya, di negara maju kereta api merupakan sistem pengangkutan utama dan menjadi pilihan masyarakatnya. Ia menjadi alternatif kepada sistem pengangkutan lain kerana kepantasan, kecekapan, ketepatan masa dan tambang murah.