"CORPORATE WAQAF FOR BUSINESS JIHAD"                                                                        "WAQAF KORPORAT UNTUK JIHAD BISNES"                                                                         "BUSINESS JIHAD - A JIHAD OF PEACE AND PROSPERITY THROUGH BUSINESS"
 

MINDA BISTARI #43 - IKTIBAR TRAGEDI CHEROKEE

Posted On June 24, 2010

(Artikel ini merupakan artikel asal yang diterbitkan di Ruangan Minda Bistari, Harian Metro pada 24 Jun 2010 dengan beberapa pindaan oleh pihak editor)

Sebelum kedatangan orang kulit putih, bangsa Cherokee adalah satu-satunya bangsa Red Indian yang tinggi budaya dan berjaya membentuk sistem peradaban serta institusi pemerintahan berteraskan hakmilik bersama ke atas harta kekayaan. Namun, setelah ditewaskan kuasa politik oleh bangsa kulit putih, sistem budaya mereka dimusnahkan. Peristiwa tragis ini disifatkan seorang penulis Amerika (Willaim Ophuls dalam bukunya bertajuk ”Requiem for Modern Politics” atau ”Talkin untuk Politik Moden”) sebagai pembunuhan budaya atau “cultural genocide” .

Biarpun Melayu-Muslim Malaysia mempunyai nasib jauh lebih baik berbanding bangsa Cherokee, kita harus menjadikannya sebagai iktibar dalam mengatur strategi mencari masa depan lebih cemerlang. Sebagaimana bangsa Cherokee, Melayu-Muslim kini terhimpit dalam mengutamakan kepentingan masyarakat dan umat, sekali gus memperjuangkan keadilan serta menegakkan iman dan amanah sebagaimana dianjurkan Islam.

Namun, hari ini, ketika Model Baru Ekonomi (MBE) dirangka, terdapat tentangan kuat terhadap anjuran supaya dikekalkan keseimbangan kekayaan ekonomi bagi melindungi kepentingan besar masyarakat sebagaimana anjuran Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Kita akui DEB banyak kelemahan, terutama dalam pelaksanaan. Malangnya, kita seperti langsung mengalah. Setelah berlaku banyak kesilapan, kelemahan, keterbabasan dan penyelewengan, seluruh matlamat dasar dan niat asal memperjuangkan keadilan ekonomi seolah-olah diketepikan. Lebih berbahaya, kerana terlalu apologetik dan segan, kita sendiri mengizinkan mereka yang menentang membakar ”kelambu” kita dengan mengenepikan salah satu nilai teras perjuangan bangsa yang selama ini menjadi identiti negara, menyatukan dan memperkukuh kestabilan masyarakat Malaysia. Nilai teras ini ialah nilai kesaksamaan dan keadilan sosio-ekonomi yang selama ini meyakinkan warga Malaysia terhadap masa depan bersama.

MINDA BISTARI #42 - MODEL BARU EKONOMI - 6 USUL UTAMA DPIM

Posted On June 17, 2010

(Artikel ini merupakan artikel asal dan telah diterbitkan di Ruangan Minda Bistari, Harian Metro pada 17 Jun 2010 di bawah tajuk “GLC DAN PRINSIP KEADILAN”)

Baru-baru ini Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) telah memajukan 6 usul untuk pertimbangan kerajaan dan pihak berwajib dalam merangka MBE. Strategi ini diyakini dapat menyerasikan sistem ekonomi pasaran pacuan bisnes supaya akhirnya dapat menjamin pembukaan peluang bisnes yang luas kepada golongan bawahan.

Keenam-enam Usul DPIM tersebut adalah antara usul besar yang telah diterima dan diluluskan Kongres Ekonomi Islam Ke-3 (KEI-3) di Kuala Lumpur pada Februari, 2009. Ia disertai 500 cendiakawan, profesional, ahli politik, ulama, ahli bisnes dan korporat, pendidik serta pelbagai lapisan lain masyarakat Melayu dan umat Islam di Malaysia. Kongres ini telah dianjurkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dengan sokongan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Perundingan Islam.

Melayu dan umat Islam tidak akan rela menerima situasi di mana MBE tidak berbuat apa-apa pembaharuan atau mengulangi apa yang telah dilakukan selama ini. Lebih buruk andainya MBE bertindak membuka luas pintu ekonomi kepada kaedah liberalisasi dan deregulasi yang seolah-olah akan mengembalikan sistem ekonomi negara kepada kebebasan tanpa kawalan laissez faire seperti yang diamalkan di zaman sebelum DEB yang berkesudahan dengan peristiwa berdarah 13 Mei, 1969.

Enam Usul DPIM adalah:-
1. Mengekalkan peranan aktif kerajaan dalam ekonomi
2. Mengetengahkan GLC
3. GLC membantu / memperkasa Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)
4. Mengenepikan penswastaan sebagai satu dasar kerajaan.
5. Menjayakan institusi waqaf korporat
6. Memperjuangkan Jihad Bisnes

Semua usul ini menekankan pembaharuan yang mengutamakan prinsip keadilan ekonomi bagi mengelak sistem ekonomi daripada terlalu didominasi oleh kepentingan sempit swasta individualistik bawaan ideologi kapitalisme.

MINDA BISTARI #41 - ANTARA TUGAS MEB : KURANGKAN “PHD”

Posted On June 10, 2010

(Artikel ini diterbitkan di Ruangan Minda Bistari, Harian Metro pada 10 Jun 2010 dengan beberapa pindaan oleh pihak editor di bawah tajuk “MELAHIRKAN RAMAI KUOK DAN KRISHNAN”)

Pada 26 Mei, 2010, majalah Forbes Asia menyenaraikan 40 individu terkaya Malaysia. Seperti yang dijangka, sama seperti di negara lain, majoritinya terdiri daripada ahli bisnes dan korporat ternama. Turut tersenarai beberapa orang yang telah mewarisi harta dan bisnes pusaka daripada bilionair yang telah meninggal.

Sejak beberapa tahun, senarai ini didahului dua individu iaitu Robert Kuok (dengan nilai aset RM39 bilion) dan Ananda Krishnan (RM26.3 bilion). Nilai harta mereka berdua hampir 40 peratus daripada jumlah keseluruhan kekayaan 40 individu dalam senarai terbabit. Ia juga lebih 20 kali ganda purata nilai harta milik 38 orang dalam senarai yang sama.

Nilai kekayaan kesemua 40 bilionair terbabit berjumlah RM171.2 bilion, bersamaan 25.2 peratus nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada akhir 2009. Ini bermakna terdapat ketidakseimbangan agihan dan konsentrasi nilai harta kekayaan yang sangat ketara dan perbezaan antara 40 individu terkaya dengan warga Malaysia yang lain semakin terus melebar.

Mungkin reaksi pertama kita adalah betapa tidak adilnya sistem ekonomi yang jelas memihak kepada golongan kaya dan berharta. Mereka yang kaya lebih mudah bertambah kaya, sedangkan yang lain sentiasa tercabar oleh kesempitan hidup. Mereka yang berada di peringkat paling bawah ’piramid kehidupan’ ini pula terpaksa hidup seperti ’kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.

Sekalipun payah diterima, hakikat ini sering saya tonjolkan dalam siri ceramah saya kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara sebagai motivasi agar mereka meminati bisnes dan menjadikan bisnes kerjaya pilihan. Kerap saya menyatakan doa dan harapan agar lebih ramai generasi muda berjaya mengikuti jejak langkah usahawan berjaya seperti Robert Kuok dan Ananda Krishnan. Generasi muda Malaysia harus mencontohi dan menjadikan mereka sebagai ikon. Andai ingin kaya seperti mereka, tiada jalan lain perlu diambil selain daripada berbisnes.

Saya juga tegaskan supaya kita tidak seharusnya membenci, marah atau dengki dengan usahawan berjaya seperti Robert Kuok, Ananda Krishnan dan lain-lain. Kesemua sifat ini tidak akan membawa kita ke mana-mana bahkan mampu membunuh usaha melahirkan lebih ramai usahawan berjaya seperti mereka.

MINDA BISTARI #40 - UNTA DAN GUNI KOSONG: Mesej teater Imam al-Bukhari - Kebenaran dan Maruah Tak Boleh Ditukar Ganti dengan Habuan Material

Posted On June 4, 2010

(Artikel ini telah diterbitkan di Ruangan Minda Bistari, Harian Metro pada 5 Jun 2010)

teater-al-bukhari

Baru-baru ini, Waqaf An-Nur Corporation Bhd (WANCorp) dan Jabatan Mufti Johor menganjurkan pementasan Teater Imam al-Bukhari di Persada Johor, Johor Bahru. Walaupun pertama kali dibawa ke Persada Johor, teater arahan Othman Zainudin dari Magical Theatre (M) Sdn Bhd ini menerima sambutan luar dugaan dan berjaya menarik kehadiran lebih 3,000 penonton sepanjang dua hari ia dipentaskan. Malahan, pada malam kedua, Persada Johor terpaksa menambah 500 kerusi lagi untuk menampung permintaan penonton.

Untuk membawa sejarah Imam al-Bukhari ke pentas teater bukan mudah. Imam al-Bukhari adalah tokoh agama dan ulama hadis agung dalam sejarah Islam. Jalan ceritanya perlu digarap dengan berhati-hati agar tidak tersalah pengertian. Saya percaya Othman berjaya menangani cabaran ini dengan kreativiti dan imaginasi tinggi.

Alhamdulillah, setelah mendapat bimbingan dan panduan daripada Mufti Johor, Dato’ Tahrir Samsudin dan Jabatan Mufti Johor dalam aspek hukum, konteks sejarah dan agama, akhirnya teater ini menjadi kenyataan.

Sebenarnya, paling menarik perhatian dan ingin ditekankan dalam rencana kali ini ialah salah satu babak dalam teater tersebut sangat relevan kepada cabaran kehidupan hari ini. Masyarakat kini berhadapan suasana yang mencabar minda, hati dan jiwa yang kadang kala boleh membingungkan. Kita sedang berhadapan dengan pelbagai desakan idea, fahaman dan pandangan pelbagai sudut yang kerap bertentangan antara satu dengan lain dan kadang kala bercanggah pula dengan pegangan hidup mengikut nilai budaya amalan dan anutan masyarakat.

Babak dimaksudkan ialah ketika Darwish, seorang pedagang yang cuba menjual kitab himpunan hadis yang dikatakannya asli dan tulen kepada Imam al-Bukhari. Darwish mendesak agar Imam al-Bukhari membeli kitab-kitab tersebut demi mendapatkan sedikit wang.