MINDA BISTARI #9 - DINOSAUR ANCAM KITA
Posted On November 4, 2009
|
Umat Islam kini berhadapan isu dan cabaran yang besar dan hebat. Tumpuan untuk menangani ancaman kepada ’survival’ bangsa dan persoalan ’hidup-mati’ yang menggugat umat dan mengancam kebenaran dan kesucian Islam berlaku dalam negeri, negara malah di peringkat global.
Dalam hal ini kita tidak boleh lagi terima keadaan orang yang kecil minda dan kerdil jiwa daripada terus menentukan perjalanan masyarakat dan bangsa. Orang yang kecil minda dan kerdil jiwa ini termasuk mereka yang hanya melihat isu dari perspektif kepentingan diri serta takutkan kehilangan jawatan dan pangkat.
Orang seperti ini juga tidak akan berubah sikap dan pendirian untuk menyesuaikan diri dengan suasana, persekitaran dan iklim kehidupan yang telah jauh berubah dan semakin rancak pembaharuannya.
Andai golongan ini dibiar menerajui suasana dan diizinkan berleluasa, malang sungguh nasib kita. Daripada kalangan golongan ini terdapat mereka yang sebenarnya tidak berupaya berhadapan dengan hakikat dan kenyataan. Mereka masih senang kekal dan selesa dengan rentak pasang surut kehidupan lama, sedangkan yang mendatang hari ini ialah tsunami yang mengancam yang boleh memusnahkan semua. Golongan ini boleh diibaratkan dinosaur.
Dinosaur makhluk ciptaan tuhan yang pada zaman dahulu, (dikatakan oleh saintis beberapa juta tahun dahulu) hidup melata dan merajai dunia. Antara mereka terdapat jenis yang sangat hebat, besar, gagah, digeruni, perkasa dan merajai makhluk lain. Namun kini dinosaur sudah pupus dari muka bumi.
Kajian saintis ke atas punca dinosaur pupus seharusnya menarik perhatian kita untuk direnungi bersama. Walaupun proses kepupusan mereka mengambil masa berjuta tahun, makhluk ini akhirnya pupus kerana mereka telah tidak bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan iklim dan pembaharuan yang telah berlaku terhadap alam persekitaran dunia.
Pembaharuan iklim dunia telah menghapuskan sumber makanan yang biasa dimakan dinosaur dan mereka tidak dilengkapi dengan keupayaan untuk meneruskan kehidupan dengan memakan makanan baru yang muncul kemudian. Tegasnya, mereka mati, pupus dan hilang dari muka bumi semata-mata kerana tidak mempunyai keupayaan dan tidak bersedia untuk menghadapi perubahan dan pembaharuan.
Pada asasnya, mereka mati, pupus dan hilang dari muka bumi semata-mata kerana mereka adalah makhluk yang sengaja berdegil tidak mahu menerima kenyataan, menutup mata, memekakkan telinga dan membekukan hati dan minda daripada menerima hakikat pembaharuan dan perubahan zaman. Mereka adalah makhluk yang anti perubahan, jumud dan kejang.
Mereka juga sebenarnya makhluk yang lebih mementingkan diri. Pada mereka, dunia dan alam sekitar yang harus berubah mengikut hati, naluri, selera dan nafsu mereka dan bukan sebaliknya.
Haruskah kita biarkan makhluk bersifat dan berfikiran seperti dinosaur ini terus merajai suasana kehidupan bermasyarakat?
Apakah kita rela, dalam menghadapi cabaran hidup yang telah jauh berbeza, semakin mencabar dan mengancam, dinosaur ini dibiarkan berada di puncak hierarki semua organisasi dalam masyarakat termasuk pentadbiran, politik, pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), organisasi korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan semua organisasi lain dalam masyarakat, terus bertindak degil dan liar?
Apakah kepentingan bangsa, negara dan umat harus diketepikan semata-mata untuk melayani kehendak golongan ini, menurut sahaja kehendak mereka yang jumud minda, sempit fahaman dan kerdil jiwa?
Perhatikan betapa hebatnya cabaran tsunami yang sedang mengancam bangsa dan umat. Lihat juga betapa jauhnya kedudukan bangsa Melayu dan umat Islam berbanding bangsa dan umat lain yang jauh di hadapan dalam semua bidang.
Perhatikan juga hakikat betapa kedudukan umat Islam yang semakin jauh ketinggalan di belakang bangsa-bangsa dan umat lain, semata-mata kerana sikap jumud dan pandangan sempit dan serong kita sendiri.
Sebagai antara negara Islam termaju di dunia, kita harus menjadikan kehidupan beragama dan kepimpinan berhikmah dan beretika sebagai contoh untuk umat Islam lain yang jauh ketinggalan dan terjebak ke dalam konflik dan perpecahan.
Jelas sekali bahawa kita telah sampai ke tahap ini kerana kewibawaan kepimpinan negara dan perpaduan. Kita berani dan berjaya mengenepikan kejumudan dan sanggup mengambil risiko memburu pembaharuan, pembangunan dan kemajuan. Ini yang membuatkan kita berjaya membina negara serta membela bangsa.
Dalam usaha ini kita telah menerima sikap dan minda terbuka, berani menyambut gagasan pembaharuan dengan pemikiran yang luas dan jiwa yang besar hingga berupaya menimbang dan mengimbangi semua pandangan dan pendapat, sekalipun berlainan dan kontra.
Semua ini tidak mungkin kita jayakan andai kita terus mencurigai semua lontaran idea yang berbeza dan pemikiran baru, khasnya dari golongan muda yang pasti kerap kontroversi. Semua perbezaan pendapat ini perlu dipandang dari sudut positif dan secara musyawarah demi mencari jalan terbaik.
Sesungguhnya Melayu dan umat Islam di Malaysia, telah menikmati kestabilan ekonomi dan politik yang lebih baik berbanding umat Islam di negara lain lantas mempunyai kelebihan untuk menyumbang kepada pembangunan dan pembaharuan yang sangat diperlukan oleh seluruh umat di dunia.
Namun, ini hanya akan dapat kita jayakan dengan pemikiran matang, idea dan persepsi bernas, jitu dan kewibawaan berfikir tajam, kritis dan dinamis. Kita perlu bersedia mengambil risiko, mengenepikan kejumudan dan mengenengahkan pemikir, ulama dan cendiakawan berkaliber.
Jika tidak, sampai bila pun kedudukan Melayu dan umat Islam akan semakin jauh dari menjadi khaira ummah (umat terbaik). Kita akan terus terpinggir jauh dari arus perdana dunia, diperlekeh dan tidak disegani. Akhirnya, kita akan jauh sekali daripada menjadi umat yang telah dijanjikan oleh agamanya untuk menjadi khalifah yang berupaya mentamadunkan semula dunia.
Sesungguhnya dunia dan seluruh alam yang kini telah dirosakkan oleh perbuatan tangan manusia yang rakus dan serakah menantikan pembaharuan dan dahagakan pembelaan dari rahmat Islam kurniaan Allah swt. Namun, pembelaan ini tidak dapat diharap daripada umat yang jumud, kejang dan anti-pembaharuan.
Semua yang diperkatakan jelas membayangkan betapa usaha dakwah, mengubah sikap dan minda demi mendapatkan semula kedudukan dan tempat bagi bangsa Melayu dan umat Islam di persada dunia sangat memerlukan pembaharuan pendekatan yang menyeluruh, pemikiran dan perspektif agama dari dimensi intelektual yang tinggi sesuai dengan tuntutan cabaran semasa.
Pendakwah “jaguh kampung” sememangnya ramai tetapi pendakwah berkaliber dengan keupayaan intelek tinggi dan mendalam yang sangat diperlukan terlalu sedikit.
Malangnya yang sedikit ini pula dipertikaikan kedudukan dan peranannya, hanya kerana segelintir ulama “jaguh kampung” yang merasa terancam kedudukannya lalu mencari peluang untuk mendapat sokongan sorak, tanpa menghiraukan hakikat dengan berbuat demikian seluruh kampungnya akan tergadai!
Berbalik kepada Dinosaur, andainya makhluk ini tersungkur dan pupus sendirian, peristiwa ini tidak akan memberi apa-apa kesan kepada makhluk lain dan kehidupan. Dalam al Quran terdapat peringatan bahawa umat manusia dan makhluk di dunia dengan mudah boleh digantikan dengan umat dan makhluk lain, bertujuan supaya kita sedar dan insaf tentang tanggungjawab dan kewajipan kita.
Malangnya dinosaur di puncak hierarki organisasi khasnya yang berpengaruh dan perkasa dalam masyarakat kita hari ini, sama ada dalam pentadbiran agama, badan politik, pentadbiran kerajaan, GLC, institusi pengajian dan ilmiah, NGO, organisasi bisnes, korporat dan organisasi lain, andainya tersungkur dan tumbang, akan turut menjejaskan semua yang bergantung harapan kepada organisasi masing-masing.
Ada juga di kalangan organisasi ini, seperti dalam pentadbiran agama Islam di negeri-negeri, yang tidak pula harus berpendirian bahawa kuasa mereka adalah hak mereka bersempadankan wilayah negeri di bawah kawalan mereka. Sedangkan semua yang menyentuh hal ehwal agama akan membabitkan imej Islam dan nama baik umat Islam keseluruhannya.
Kesimpulannya, dinosaur seperti ini mengancam dan memudaratkan. Mereka yang jumud, sempit minda dan kerdil jiwa tidak harus dibiarkan mempengaruhi kehidupan bermasyarakat sehingga menyebabkan kepentingan besar bangsa, negara dan umat akhirnya diketepi.
Muhammad Ali,
(3 November, 2009).
Comments
2 Responses to “MINDA BISTARI #9 - DINOSAUR ANCAM KITA”
Leave a Reply
Please note: Comment moderation is currently enabled so there will be a delay between when you post your comment and when it shows up. Patience is a virtue; there is no need to re-submit your comment.


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Istilah Dinosaur ancam kita yang Tan Sri tulis memang sangat benarnya. Sukarnya kita industry kecil untuk terus bangun adalah kerana Dinosaur yang lahap untuk terus meratah ikan-ikan kecil yang baru mula membesar. Ditambah pula sikap dan disiplin yang lemah oleh masyarakat kita kan lebih mudah gagal dari berjaya.
Salam tan sri, this wake up call has been echoing for the past many years; calls for improving here and there. Yet the political will is much to be desired.
The trend in placing young people to head GLCs I must say is a positive move provided always that they are able to project capability. mere senior or even former senior government official should no longer be a criteria for head honchos.
I utterly agree with your writing that any effort to place non-productive / non-reading people should be avoided.