"CORPORATE WAQAF FOR BUSINESS JIHAD"                                                                        "WAQAF KORPORAT UNTUK JIHAD BISNES"                                                                         "BUSINESS JIHAD - A JIHAD OF PEACE AND PROSPERITY THROUGH BUSINESS"
 

MINDA BISTARI #18 - SYURA TERAS KORPORAT ISLAM

Posted On January 7, 2010

(Artikel ini telah diterbitkan di Ruangan Minda Bistari, Harian Metro pada 7 Januari 2010 dengan beberapa pindaan oleh pihak editor)

Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat tahun baru kepada pembaca setia businessjihad.com. Tahun-tahun yang kita lalui seharusnya mematangkan kita dalam menempuhi hari-hari mendatang. Saya yakin kita mempunyai azam baru untuk dilaksanakan dalam apa jua kerjaya termasuk bisnes yang kita jalankan.

Hari demi hari, tahun demi tahun berlalu, kehidupan yang kita lalui semakin mencabar. Krisis ekonomi yang melanda dunia pada tahun 2008/2009 belum menampakkan tanda akan berakhir. Umat Islam amnya dan bangsa Melayu khasnya kini berdepan cabaran yang lebih hebat dalam semua bidang kehidupan. Kebesaran, keagungan, kebenaran dan kesucian agama Islam serta nilai hidup Islam kini semakin tergugat dan terancam dari segala sudut. 

Sistem ekonomi kapitalis anjuran Barat semakin rakus, mengakibatkan krisis ekonomi global hingga jelas menindas golongan yang miskin dan lemah termasuk umat dan negara Islam. Malah, sistem ini menyebabkan umat Islam semakin dipisahkan oleh jurang ekonomi yang mengancam perpaduan umat. Andainya kita gagal mengambil iktibar daripada apa yang kita lalui tahun demi tahun, sudah tentu kita akan terus ditekan, ditindas, dizalimi dan terus kecundang.

Tegasnya, semua negara Islam, perlu menanam tekad dan azam baru untuk berubah dan menerajui perubahan supaya tidak cuma lepas tangan dan menyerah nasib kepada pasang-surut kehidupan dengan agenda yang ditentukan oleh orang lain. Usaha perlu dimulakan untuk segera menerajui ekonomi umat dan ini harus dilakukan, antara lain, dengan membina dan memperkukuh institusi dalam masyarakat Islam. Salah satu institusi penting dalam konteks sistem ekonomi yang dipacu bisnes atau ’business-driven economy’ ialah institusi bisnes berorganisasi yang diterajui organisasi korporat.

Ini bermakna sesuatu pembaharuan tidak akan dapat dijayakan tanpa adanya inisiatif berinovasi dan kreatif dalam mencorak serta menyusun semula organisasi korporat, termasuk syarikat berkaitan kerajaan atau GLC, supaya dapat mengenepikan ciri negatif kapitalis yang mengancam dan merosakkan. Ciri-ciri ini perlu diperbaharui dan digantikan ciri-ciri yang serasi dengan nilai dan ajaran Islam. 

Dalam kata lain, bangsa Melayu dan umat Islam perlu lebih tegas dalam mencorak semula organisasi bisnes dan korporat mereka untuk mengelak daripada dijangkiti penyakit rakus, menindas dan tamak seperti yang berleluasa di negara maju yang rata-rata merosakkan sehingga mengakibatkan krisis ekonomi global hari ini.

Salah satu aspek penting yang perlu diberi perhatian oleh semua syarikat, GLC dan organisasi korporat Islam ialah menegakkan amalan syura dalam organisasi. Amalan syura digalakkan Islam dan sangat berkaitan dengan anjuran dan saranan menegakkan keadilan. Tidak mungkin ditegakkan keadilan sepenuhnya tanpa syura. Dengan demikian, jelas sekali syura sangat rapat dengan usaha membina kekuatan, pemuafakatan dan keutuhan organisasi dan korporat.

Johor Corporation (JCorp) memandang amalan syura sebagai sesuatu yang wajib diterapkan dalam budaya korporatnya dan dijadikan teras seluruh anggotanya dalam kehidupan berorganisasi. Lebih-lebih lagi dalam usaha JCorp menjayakan aspirasi perjuangan berlandaskan Jihad Bisnes yang menuntut semua gerak nadi organisasi ini digariskan dalam kerangka kaedah dan nilai Islam.

Pada 1 Januari setiap tahun di JCorp menjadi lambang utama atau kemuncak kepada syura yang diamalkan. Sudah menjadi tradisi dan amalan korporat JCorp sejak lebih 20 tahun, hari pertama bekerja setiap tahun, iaitu tepat jam 8 pagi (1 Januari) dimulakan dengan perhimpunan besar seluruh warga kerjanya. Pada 1 Januari 2010, Pedoman JCorp melibatkan 403 anggota pekerja dari ibu pejabat termasuk di kalangan seluruh pemimpin tertinggi dan pengurusan kanan kumpulan syarikat utamanya.

Kebetulan pula di Johor 1 Januari bukan cuti umum. Hakikat ini menjadikan perhimpunan ini lebih besar pengertiannya kerana di waktu sama orang lain umumnya sedang bersantai, dan bagi mereka yang mencontohi budaya barat, mungkin ramai yang sedang nyenyak tidur atau mengatasi ’hangover’ daripada perayaan menyambut tahun baru!

Majlis ’Pedoman’, (ringkasan daripada ”Persidangan Dialog dan Amanat”), menjadi satu kemestian bagi anggota pekerja JCorp berhimpun untuk bermusyawarah dan membincangkan segala isu pokok berkaitan organisasi serta matlamat dan hala tujunya dalam tahun baru yang dihadapi. 

Syura ini adalah satu amalan yang kekal subur dan dilaksanakan sebagai majlis percambahan ilmu dan pandangan serta forum menjayakan kaedah ’berpesan-pesan dan ingat mengingati’ di kalangan semua lapisan anggota pekerja JCorp tanpa mengira jawatan dan pangkat. Tujuannya untuk membentuk kebulatan dan kesepaduan sebuah organisasi korporat besar yang sangat kompleks.

Lebih-lebih lagi dalam konteks JCorp sebagai GLC dan bukan sebuah syarikat swasta yang dimiliki individu atau keluarga. Syura sangat dituntut dalam organisasi milik komuniti seperti JCorp.  Syura kurang penting dalam syarikat milik individu atau keluarga kerana tidak ada anggota yang akan mempersoal hak individu atau ketua keluarga dalam menentukan sendiri haluan dan arah tuju sesebuah syarikat swasta yang dimiliki mereka..

Majlis Pedoman JCorp bermula tepat jam 8 pagi, dan pernah terjadi anggota yang terlewat mendapati pintu dewan dikunci dan mereka dilarang masuk. Tindakan ini sengaja diperkenalkan di peringkat awal demi memastikan disiplin masa dijaga dan diutamakan dalam bisnes. Dengan cara ini sajalah akan terbit sikap hormat-menghormati antara satu sama lain.

Majlis dimulai bacaan doa dipimpin Eksekutif Agama (atau seorang Imam) dari Waqaf An-Nur Corporation Berhad (WANCorp) diikuti sesi memperkenalkan anggota pekerja baru.

Seorang demi seorang anggota pekerja yang baru menyertai JCorp, tidak kira jawatan apa sekali pun diperkenalkan kepada anggota pekerja lain. Mereka kemudian berikrar beramai-ramai untuk berkhidmat dan berjuang bersama JCorp demi kepentingan agama, bangsa dan negara. Paling penting ikrar mereka untuk menyempurnakan tuntutan amar makruf dan nahi mungkar serta memenuhi tuntutan kerja sebagai ibadah dan amal soleh.

Mungkin ada yang memandang remeh ikrar yang dilafazkan. Namun percayalah, ianya memberikan kesan kepada pembentukan sikap bertanggungjawab dan budaya kerja positif lagi dinamis dalam JCorp selama ini. Saya amat menghargai sumbangan yang diberikan seluruh barisan anggota pekerja yang gigih, tekun berusaha serta sanggup berkorban jiwa raga dan kepentingan peribadi.

Acara memperkenalkan semua anggota pekerja baru, walaupun memakan masa, dianggap sangat penting dan bermakna bagi JCorp.  Kerana ia menepati falsafah JCorp yang tegas dengan pendirian bahawa setiap anggota adalah penting untuk masa depan dan kepentingan bersama kedua-dua pihak. Paling penting mesej yang kerap ditekankan dalam sesi syura seperti ini, iaitu semua anggota JCorp bukan cuma ‘kakitangan’, angka dalam daftar, faktor pengeluaran atau alat korporat semata-mata. Malah JCorp dengan tegas dan secara rasmi mengharamkan penggunaan istilah ‘kakitangan’, kerana jelas sekali ia bertentangan dengan matlamat menjadikan warga kerjanya berdayafikir tinggi dalam konteks suasana ekonomi yang dipacu pengetahuan atau ‘knowledge driven’. Anggota yang “tidak berkepala” tidak dapat menyumbang apa-apa dalam suasana ini.

‘Kakitangan’ juga tidak menepati ajaran Islam yang menggalakkan kita menghormati semua sebagai insan kamil. Lebih-lebih lagi dalam sebuah organisasi korporat seperti JCorp yang bercita-cita menjayakan Jihad Bisnes. Kejayaan perjuangan bertaraf jihad cuma boleh dicapai setelah semua anggota terbabit dalam menjayakan matlamat besar ini sedar akan peranan penting mereka, menghormati diri sendiri dan bangga dengan tugas dan tanggungjawab masing-masing, besar jiwa, hebat keyakinan diri, serta bersikap gagah dan berani. Perjuangan ini tidak mungkin dijayakan oleh anggota yang kerdil jiwa, lemah semangat, dan cuma melihat diri mereka sebagai melukut di tepi gantang, ada tidak menambah, tiada tidak mengurang.

Majlis syura Pedoman JCorp sebenarnya menuntut sesuatu yang lebih besar daripada semua anggotanya.  Dalam menjayakan Jihad Bisnes, semua dituntut menyifatkan diri masing-masing sebagai ‘khalifah ekonomi Islam’, iaitu anggota korporat dalam sebuah organisasi yang dapat membawa pembaharuan dan berupaya mengubah nasib masa depan organisasi, sekaligus membela kepentingan besar agama, bangsa dan negara! 
 
Setiap tahun dalam Majlis Pedoman JCorp, kesempatan akan diambil untuk memaklumkan kepada semua segala pembaharuan yang berlaku dalam organisasi, termasuk memaklumkan semua perubahan seperti penyusunan semula struktur organisasi, maklumat pertukaran jabatan dan jawatan, maklumat mengenai prestasi anggota dan prestasi bisnes JCorp, serta pengiktirafan, penghargaan dan kenaikan pangkat anggota. Antara perkara yang turut dibentangkan adalah perkembangan terkini, prestasi kewangan dan pencapaian syarikat-syarikat dalam kumpulan JCorp serta aspek perancangan strategi bisnes JCorp yang disampaikan oleh beberapa orang pengurusan atasan JCorp. Semua ini perlu dilaporkan demi memastikan semua anggota pekerja dalam kumpulan JCorp memahami perancangan dan hala tuju organisasi.

Sebagai CEO, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab saya dalam menyampaikan amanat dengan mengenalpasti cabaran besar bisnes dan ancaman korporat yang dihadapi oleh JCorp dalam tahun mendatang.  Yang tidak kurang penting ialah menggariskan rangka strategi untuk mengatasi semua cabaran dan ancaman. Antara tugas paling penting bersama dengan rakan CEO lain yang memimpin bisnes strategik JCorp, ialah merangsang, mendorong dan memupuk semangat semua anggota. Majlis Pedoman dan syura seperti ini akan berjaya hanya setelah semua yang menghadirinya keluar daripada perhimpunan tersebut dengan semangat, tekad dan azam baru yang lebih hebat serta dengan keyakinan tinggi bahawa mereka secara individu dan sebagai satu kumpulan dalam organisasi dapat bertindak dengan baik dan berkesan mengatasi segala cabaran.

Hari ini JCorp semakin berkembang pesat. Mula beroperasi pada 1970, GLC negeri Johor ini kini merupakan salah satu konglomerat bisnes utama di Malaysia dengan memiliki lebih 280 anak syarikat dan hampir 60,000 anggota pekerja di Malaysia dan di beberapa negara luar. 7 daripada anak syarikatnya tersenarai di Bursa Malaysia dan satu di Port Moresby, Papua New Guinea dan di Pasaran Saham London. Nilai pasaran modal 8 syarikat ini berjumlah RM10.4 bilion pada akhir 2009.

Bayangkan menjelang 2020, cita-cita JCorp dalam menjayakan Jihad Bisnes semakin menjadi kenyataan, andainya JCorp berjaya memiliki 2,500 anak syarikat, 3 juta anggota pekerja, pendapatan tahunan lebih RM30 bilion, memiliki lebih 300 syarikat tersenarai yang mewakili 30 peratus nilai modal pasaran di Bursa Malaysia serta melahirkan 100 jutawan baru, termasuk 80 intrapreneur.

Bayangkan juga ketika itu sebahagian besar himpunan aset, harta, syarikat dan bisnes milik JCorp diwakafkan.   Pewakafan ini menjadikan JCorp sebuah gergasi korporat Muslim yang juga aktif menjayakan tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) membantu fakir miskin, seperti yang dilakukannya menerusi rangkaian klinik dan hospital Waaf An Nur di seluruh negara. Bayangkan juga senario apabila kumpulan JCorp berjaya membuka peluang kepada ribuan usahawan intrapreneur dan IKS Muslim melibatkan diri dalam perniagaan dengan sokongan penuh semua syarikat dan bisnes strategik miliknya. Tidakkah semua ini nanti berupaya membina kekuatan ekonomi ummah serta membela nasib dan masa depan umat Islam?  Inilah antara impian dan cita-cita yang saya gariskan dalam sesi syura Pedoman JCorp pada 1 Januari yang lalu.

Sesungguhnya JCorp mengharapkan sokongan dan doa semua anggota masyarakat agar impian dan cita-cita besar ini menjadi kenyataan. Di peringkat JCorp, amalan syura menerusi Pedoman tahunan serta semua pendekatan dan kaedah berteraskan nilai Islam lainnya akan terus dijadikan sendi kepada budaya korporatnya. Pada akhirnya perjuangan kita akan menjadi sia-sia dan tidak bermakna andainya kita cuma membabi-buta menciplak cara dan kaedah berbisnes dan korporat seperti yang dilakukan selama ini yang jelas merosakkan selain banyak bercanggah dengan nilai Islam.

Muhammad Ali
6 Januari, 2010.

Comments

One Response to “MINDA BISTARI #18 - SYURA TERAS KORPORAT ISLAM

  1. Alwi says:

    Salam Tan Sri,

    Banyak aspek pengurusan JCorp yang boleh dijadikan contoh oleh organisasi lain. Dari ‘pengharaman’ perkataan kakitangan sehinggalah penganjuran PEDOMAN pada setiap tahun dan banyak lagi.

    Tkasih

    MA

 

Leave a Reply

Please note: Comment moderation is currently enabled so there will be a delay between when you post your comment and when it shows up. Patience is a virtue; there is no need to re-submit your comment.