MINDA BISTARI #19 - BISNES TERAS EKONOMI BARU
Posted On January 14, 2010
|
Menjelang Ogos 2010, Johor Corporation (JCorp) menjangkau usia 40 tahun. Saya dan hampir 60,000 rakan seperjuangan dalam kumpulan JCorp amat bersyukur ke hadrat Allah kerana limpah kurnia-Nya mengizinkan JCorp mencapai kejayaan demi kejayaan.
Bermula dengan modal pinjaman RM10 juta bagi membeli ladang getah dan kelapa sawit seluas lebih 3,900 ekar di Ladang Tebrau, Johor Bahru, JCorp gigih membina organisasi ini dan meletakkannya sebagai sebuah entiti bisnes milik kerajaan yang berprestasi tinggi dan disegani di peringkat nasional dan serantau.
Kejayaan JCorp boleh dinilai menerusi beberapa ukuran. Pertama, sebagai sebuah organisasi korporat, ukuran utama ialah nilai aset dan pelaburannya. Alhamdulillah, pada akhir Disember, 2009, nilai keseluruhan saham lapan syarikat tersenarai JCorp (termasuk syarikat milik Kulim (Malaysia) Bhd yang tersenarai di Pasaran Saham London) berjumlah RM 10.4 bilion. Jumlah ini belum mengambil kira aset, harta dan saham syarikat anak dan bersekutu JCorp yang tidak tersenarai, termasuk ladang, tanah, bangunan, kompleks, hotel serta pelaburan lain.
Pencapaian JCorp sebagai organisasi bisnes juga boleh diukur menerusi daya tahan dan keupayaannya menghadapi tekanan bisnes ekstrim, cabaran krisis dan ancaman kemerosotan ekonomi. Sejak ditubuhkan, JCorp menghadapi krisis demi krisis, hampir satu krisis setiap dekad. Cabaran paling hebat ketika krisis kewangan Asia pada 1997. Ketika itu, JCorp hampir tenggelam apabila kerugian lebih RM2 bilion sepanjang lima tahun selepas 1997 dan terhutang hampir RM4 bilion kepada lebih 40 bank.
Alhamdulillah, kerajaan ketika itu dengan kerjasama Kerajaan Johor bersetuju memberi jaminan kepada JCorp memanjangkan hayatnya menerusi Pelan Induk Penstrukturan Korporat (PIPK) dan pembiayaan semula yang dipersetujui semua bank terbabit. Proses pemulihan ini berjaya dilakukan kerana terdapat beberapa bisnes asas JCorp yang kukuh seperti bisnes sawit, perubatan pakar dan hartanah serta aset yang berupaya menjana keuntungan sehingga JCorp dapat segera kembali mencatat keuntungan.
Kesempatan ini dimanfaatkan JCorp untuk menyusun semula bisnesnya dan mengambil alih beberapa aset dan syarikat strategik lain. Paling menarik perhatian ialah pembelian rangkaian restoran KFC dan Pizza Hut pada 2006. Kini nilai jualan Kumpulan JCorp melebihi RM6 bilion setahun dengan purata keuntungan tahunan melebihi RM500 juta.
Sebagai syarikat berkaitan kerajaan atau GLC, pencapaian dan kejayaan JCorp boleh diukur menerusi impak pembangunan yang dibawanya terhadap pembangunan ekonomi negeri dan negara. JCorp diamanahkan Kerajaan Johor untuk membangunkan 29 kawasan perindustrian di seluruh negeri sehingga berjaya menarik lebih daripada 350 pelabur asing (FDI) dengan nilai pelaburan terkumpul melebihi RM50 bilion sekali gus menyumbang kepada kejayaan dasar perindustrian nasional. Ia juga berjaya menyediakan lebih daripada 300,000 peluang pekerjaan sekali gus membantu menyelesaikan masalah pengangguran, di samping memangkinkan pembinaan kekuatan ekonomi berteras industri sehingga menjadikan Malaysia salah sebuah negara eksport terpenting dan antara negara perdagangan utama dunia.
Terdapat pusat pertumbuhan industri ini yang maju dan masyhur sebagai pusat perbandaran utama negara. Bandar Pasir Gudang, yang diamanahkan pengurusannya oleh kerajaan negeri Johor kepada JCorp selama lebih 32 tahun (bermula Ogos 1977 hingga September 2009) kini berubah daripada cuma sebuah perkampungan nelayan kepada bandar perindustrian dengan jumlah penduduk lebih 160,000 orang.
Pasir Gudang dibangunkan secara tersusun dan teratur menurut kaedah bisnes dan amalan korporat yang tidak membebankan penduduk dan kerajaan. Ia menempa sejarah sebagai bandar pertama di Malaysia yang mengeluarkan Bon Perbandaran (Bon Mudharabah) bernilai RM80 juta pada Februari 2005 dengan penarafan komersial AAA yang mencerminkan kestabilan kewangan, nilai aset yang tinggi, keupayaan pengurusan dan kemampuan membayar balik semua tanggungannya.
Kompleks perindustrian Tanjung Langsat pula, iaitu sebuah pusat pertumbuhan industri baru dalam kawasan Pasir Gudang kini menjadi antara penyumbang utama pembangunan industri Wilayah Iskandar. Dengan kos pembangunan pelabuhan bernilai lebih daripada RM500 juta, Tanjung Langsat kini pesat membangun sebagai sebuah pusat industri berat khusus bagi industri fabrikasi serta khidmat sokongan industri minyak dan gas luar pantai.
Dalam keadaan ekonomi dunia diancam kemelesetan dan krisis, JCorp berjaya menarik pelaburan dari Perancis, Sepanyol, Jepun, Taiwan, Korea Selatan, Jerman dan Singapura dengan nilai pelaburan RM10 bilion dalam tempoh terdekat, dengan membawa ke Malaysia produk dan teknologi tercanggih dalam industri sokongan kepada fabrikasi dan pengeluaran minyak dan gas luar pantai, pengeluaran stainless steel, dan kabel dasar lautan atau submarine cables. Industri seperti ini akan membuka prospek lebih luas untuk memberi Malaysia kedudukan strategik dalam industri gas dan minyak yang kini adalah industri utama di peringkat global, dengan prospek pertumbuhan dan perkembangan yang sangat baik.
Seperti pembangunan bandar Pasir Gudang, keseluruhan kos perbelanjaan modal Kompleks Perindustrian serta Pelabuhan Tanjung Langsat, membabitkan kos lebih RM1 bilion dibiayai menerusi modal simpanan daripada keuntungan dan pinjaman bank oleh JCorp.
Tegasnya, pengalaman JCorp menjayakan projek pembangunan besar-besaran seperti di Pasir Gudang dan Tanjung Langsat membuktikan organisasi bisnes dan korporat serta GLC boleh menjayakan projek pembangunan dengan menggunakan sumber swasta dan bank tanpa membebankan kerajaan dan rakyat.
Kejayaan seperti ini membawa implikasi besar terhadap usaha melangsungkan pembangunan ekonomi negara di masa depan. Tambahan dalam konteks kerajaan merangka satu model ekonomi baru dan mencari formula membangunkan Malaysia selaras dengan tuntutan sistem ekonomi dunia yang dipacu bisnes.
Realiti ekonomi yang paling penting diterima oleh kerajaan dalam merangka model ekonomi baru ialah kenyataan bahawa sistem ekonomi global adalah dipacu bisnes, atau ”business-driven”. Sistem pacuan bisnes bermakna pertumbuhan dan pembangunan ekonomi dimangkinkan menerusi sumber bisnes dan tenaga organisasi korporat, dan bukan lagi menerusi perbelanjaan kerajaan. Ini bermakna kerajaan akan lebih bergantung kepada keupayaan swasta sebagai pemacu utama. Namun, pergantungan ini ada bahayanya dan akan mendedahkan negara kepada ancaman baru.
Antara ancaman terbesar ialah apabila majoriti swasta dan kuasa korporat memandang sepi keperluan menyeimbangkan pembangunan supaya mereka yang miskin dan lemah tidak dipinggirkan daripada arus perdana pembangunan. Pertimbangan ini cabaran terbesar kepada pencorakan model ekonomi baru, iaitu di samping mahukan pertumbuhan pesat, kaedah berkesan perlu dicari untuk menegakkan keadilan dan membela serta melindungi kepentingan golongan bawahan, – iaitu penduduk majoriti berpendapatan rendah.
Pengalaman kumpulan JCorp dalam menggunakan sepenuhnya sumber korporat dan swasta dalam membina organisasi dan menjayakan projek pembangunan sepanjang empat dekad sebelum ini sangat relavan dalam usaha mencorak dan membentuk model baru pembangunan ekonomi negara. Lebih-lebih lagi kerana seluruh penubuhan JCorp, konsep institusinya, corak organisasinya, nilai budaya korporatnya selama ini dibentuk bukan sahaja untuk memburu keuntungan dan menambah nilai ekonomi, malahan dipupuk sejajar dengan matlamat dan aspirasi memenuhi tuntutan menegakkan keadilan ekonomi. Sesungguhnya, seluruh kelahiran dan kehadiran JCorp berteraskan aspirasi membina keupayaan golongan yang terpinggir dan ketinggalan jauh ke belakang, iaitu orang Melayu dan Bumiputera.
Dengan demikian, pendekatan korporat dan strategi institusi yang digunakan dalam membina keupayaan bisnes JCorp selama ini bukan sahaja berkesan dalam meningkatkan nilai ekonomi, menjana harta dan aset serta mencatat keuntungan dan membina kekayaan organisasi. Lebih penting, menerusi aspirasi Jihad Bisnes dan konsep Waqaf Korporatnya, JCorp dapat membina keupayaan ekonomi bangsa Melayu dan umat Islam, sekaligus memperkasa mereka di samping menegakkan keadilan dan merapatkan jurang perbezaan antara kaum.
Formula yang JCorp gunakan merupakan strategi serampang tiga mata.
Pertama, keupayaan korporat JCorp menyumbang secara langsung kepada pembangunan dan kemakmuran negara. Ini boleh dilihat daripada kejayaan JCorp membangun Pasir Gudang dan Tanjung Langsat serta sumbangannya kepada pertumbuhan industri negara.
Kedua, pembentukan JCorp sebagai GLC dan organisasi korporat berdikari. Ini dibuktikan dengan adanya keupayaannya menjana sumber kewangan, keuntungan dan nilai jangka panjang harta korporatnya sendiri. Keupayaan ini sangat penting dan kritikal dalam konteks suasana ekonomi pacuan bisnes dan pasaran yang memberikan JCorp kelebihan mengatasi persaingan, selain memberikannya keupayaan untuk mengorak langkah lebih jauh bersaing di persada antarabangsa sekaligus membina ketahanan ekonomi Malaysia ke peringkat dunia.
Akhirnya, mata serampang ketiga amat penting dan merupakan senjata utama memperkasa daya saing ekonomi Malaysia. Ia adalah strategi Jihad Bisnes yang diperjuangkan JCorp yang menjadi teras keupayaan tinggi bersaing dan berdikari. Semangat perjuangan ini lahir dalam masyarakat induknya yang berjiwa Islam dan kini diterapkan langsung ke dalam seluruh gerak nadi bisnes dan denyutan jantung korporatnya.
Malah lebih jauh lagi, JCorp bercita-cita memperjuangkan Jihad Bisnes hingga mampu memberi kesan pembaharuan kepada sistem ekonomi negara dan global. JCorp berpendirian bahawa model ekonomi baru Malaysia perlu menerapkan nilai Islam melalui Jihad Bisnes demi membersihkan sistem ekonomi dunia daripada ciri-ciri rakus dan tamak yang merosakkan dan menjadi antara punca utama krisis ekonomi global masa kini.
Ringkasnya, pengalaman JCorp selama empat dekad membuktikan model ekonomi berteras Jihad Bisnes berupaya memperkasa bangsa dan memperkaya umat, dan ianya bukan sesuatu yang mustahil. Bayangkan andainya pencapaian JCorp selama ini dapat digandakan dan dijayakan bersama oleh 5 atau 10 GLC lain. Bayangkan juga andainya beberapa GLC organisasi bisnes berjaya ini dihijrahkan menjadi institusi waqaf korporat, nescaya masalah peminggiran Melayu dan keciciran umat Islam yang kita hadapi, insya Allah, akan dapat diatasi.
13 Januari, 2010.
Comments
3 Responses to “MINDA BISTARI #19 - BISNES TERAS EKONOMI BARU”
Leave a Reply
Please note: Comment moderation is currently enabled so there will be a delay between when you post your comment and when it shows up. Patience is a virtue; there is no need to re-submit your comment.


Assalamualaikum,
Artikel-artikel Tan Sri banyak membantu saya dalam memuhasabah diri.
Biasanya dari kecil kita sering dididik supaya belajar tinggi-tinggi, bila besar dapat gaji yang besar dan keluarga dapat hidup senang. Kita tidak dididik supaya bila kita besar, mendapat pekerjaan yang baik, dapat mengumpul harta kekayaan, kita pula mencipta peluang untuk menjana ekonomi orang lain yang memerlukan dan yang dalam kesusahan.
Terus terang di sini saya katakan, jika dahulu, cita-cita saya jika mempunyai duit yang banyak, saya akan membeli rumah yang besar, membeli kereta yang besar, melancong serata dunia dan selepas itu menambah bilangan rumah kepada angka 2, 3 dan seterusnya. Saya pasti di luar sana juga ramai yang berpendapat seperti saya. Jika keadaan ini berterusan, maka yang kaya akan semakin khayal dengan kekayaannya, dan yang miskin akan terus terpinggir, melarat, tinggal di pondok kecil dan hanya menunggu bantuan dari orang lain.
Seperti dalam artikel Tan Sri, kita umpama ‘katak yang direbus’, yang khayal dengan keselesaan sekeliling yang akhirnya tak sempat untuk melompat keluar dan akan ‘mati’ (mati katak)!!.
Artikel-artikel dari website ini, sangat menyedarkan saya betapa kita harus menjaga kepentingan orang lain yang ‘di bawah’ supaya dunia secara keseluruhannya tidak menjadi kucar-kacir seperti yang dialami sekarang (11 Sept, Terrorist, Pengebom berani mati dsb).
Ayuhlah!! Bangunlah kawan-kawan ku semua, jangan kita leka hanyut dalam kelesesaan yang hanya akan memakan diri dan generasi kita kelak. Sama-samalah kita membudayakan BISNES kerana ini sahaja suatu jalan agar kita dapat menerajui ekonomi dunia dan sekaligus dapat membetulkan kembali sistem ekonomi dunia, yang hanya memihak kepada yang kaya sahaja, menindas sana sini, dan menjadikan umat Islam lemah, miskin dan hina di pandangan Barat. Bangunlah, sama-sama kite terajui dengan cara yang betul, contohi JCorp agar tamadun Islam yang gilang-gemilang dahulu, dapat kita kembalikan semula, secara adil dan saksama.
Tan Sri dan mereka di JCorp adalah manusia biasa seperti kita juga. Yang membezakan mereka adalah kekuatan jemaah. Ibarat lidi, sebatang mudah patah, cuba patahkan penyapu lidi……Susahkan?
Begitu juga dengan JCorp, bila dalam kedudukan jemaah, ada pemimpinnya dan ada makmumnya. Semuanya satu kiblat, satu hasrat, satu tekad, satu segalanya.
Bermula dari situ, jika kesemuanya bersatu maka manusia yang secara individu adalah biasa2 aje bertukar menjadi kelompok manusia yang melahirkan kehebatan dalam pelbagai bentuk…….
Syabas Tan Sri yang berjaya membentuk jemaah JCorp yang berkesan….
Salam,
Tak dapat disangkal bahawa Tan Sri dan mereka di JCorp ni manusia luar biasa.