MINDA BISTARI #20 - TUNTUTAN AMANAH DALAM PERNIAGAAN
Posted On January 21, 2010
|
Baru-baru ini saya menghadiri Majlis Pedoman (Syura) syarikat Teraju Fokus Sdn Bhd iaitu anak syarikat Johor Corporation (JCorp) yang terbabit dalam bisnes kawalan keselamatan. Dalam sesi tersebut, Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Hussin Haron membentangkan prestasi syarikat bagi 2009 meliputi prestasi kewangan syarikat di samping mengiktiraf dan menyampaikan penghargaan kepada kalangan anggota pekerja syarikat, khasnya yang telah berkhidmat cemerlang sepanjang 2009.
Dalam pembentangannya, saya serta semua hadirin kagum apabila dimaklumkan peristiwa seorang anggota pengawal keselamatan syarikat, Korporal Abu Bakar Ahmad ketika menjalankan tugas rutin rondaan di Pusat Bandar Damansara, Kuala Lumpur. Pada Oktober, 2009, Abu Bakar mendapati sebuah kenderaan tidak berkunci dan tingkap tidak bertutup di tempat letak kereta bangunan berkenaan. Setelah diperiksa, beliau menjumpai beg mengandungi wang tunai RM47,000. Kerana amanah dan tanggungjawab terhadap tugasnya, beliau mengembalikan wang itu kepada pemiliknya.
Pada minggu sama beberapa akhbar pula melaporkan kisah seorang pemandu teksi warga Bangladesh yang juga pelajar universiti di New York bernama Muhammad Mukal Asadujjaman. Dia bersusah payah mencari penumpang warga Itali yang tertinggal beg tangan mengandungi wang berjumlah $AS21,000, (RM70,370) dan barang kemas dalam teksinya. Setelah dikembalikan beliau menolak sebarang ganjaran daripada penumpang teksi, katanya ”kerana dia seorang Muslim!”
Kedua-dua kisah itu membuktikan betapa individu Muslim yang amanah adalah lambang dan bukti kebesaran, keagungan dan kesucian agama Islam yang berjaya menanam nilai yang begitu tinggi dan mulia. Orang amanah seperti Abu Bakar dan Muhammad Mukal adalah manusia yang berjiwa besar, tinggi maruah dan harga diri serta tidak mudah dikaburi oleh wang ringgit dan harta.
Sesungguhnya amanah adalah sifat mulia dan dipandang tinggi dalam Islam. Ia juga nilai yang sangat dipandang tinggi oleh semua agama dan tamadun. Prinsip hidup seorang Muslim berasaskan kepada menegakkan amanah dalam apa jua keadaan dan seorang Muslim sejati akan sedaya upaya menepati maksud Hadis Rasulullah SAW: ”Tidak beriman orang yang tidak amanah dan tidak beragama orang yang tidak berpegang pada janji”. Demikianlah tingginya kedudukan sifat amanah sehingga digambarkan sebagai pelengkap keimanan.
Amanah adalah salah satu kunci pembinaan dan kejayaan organisasi dan masyarakat. Sifat ini perlu dijaga dan diterapkan di kalangan semua anggota demi memastikan setiap tanggungjawab yang dipikul dapat disempurnakan untuk menghasilkan setinggi manfaat dan sebanyak kebaikan. Dalam kehidupan, sifat ini amat penting dan perlu sentiasa dijaga demi mendapat keredaan dan keberkatan Allah swt.
Islam menganjurkan agar setiap bisnes tidak hanya difokuskan kepada mencari keuntungan semata-mata, sehingga mengabaikan prinsip amanah, kejujuran dan adil. Ini kerana amanah dan kejujujuran akan menghasilkan keadilan. Kadang kala terdapat ahli bisnes yang terlalu ingin cepat kaya sehingga tergamak menipu, mengambil yang bukan hak, mengurangkan timbang dan sukat serta menindas para pelanggan, sekaligus menzalimi orang lain.
Ada pula yang sanggup menjual barang yang tidak berkualiti atau telah luput nilainya. Ramai juga yang bergelumang dengan riba, penyelewengan dan rasuah. Semua ini antara contoh sifat tidak amanah dalam bisnes yang akan merosakkan keberkatan dan kesucian bisnes. Umat Islam tidak perlu terikut-ikut dengan amalan bisnes yang terlalu mementingkan keuntungan dan kekayaan duniawi sehingga terlupa peringatan dan balasan dari Allah bagi mereka yang melampaui batasannya.
Pencorakan sistem ekonomi Islam dalam konteks sistem global hari ini yang berteraskan pasaran (business-driven) menuntut agar amanah terus dijadikan paksinya. Peniaga dan ahli bisnes Muslim akan tercabar dan teruja dalam keadaan dunia bisnes dan korporat yang didominasi oleh mereka yang rakus, tamak, materialistik, mementingkan diri dan lebih cenderung menghalalkan segala cara termasuk yang mungkar.
Dalam keadaan ini, amalan yang bersandarkan nilai Islam perlu diterapkan di kalangan semua usahawan dan ahli bisnes Muslim, serta semua syarikat dan organisasi bisnes Muslim termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Andainya ia gagal dilakukan, maka keseluruhan kehidupan berekonomi dan bermasyarakat akan hilang ciri Islamnya dan masyarakat akan semakin rakus dan nafsu-nafsi hingga mengakibatkan konflik dan ketidakstabilan sebagaimana yang dilihat dalam sistem ekonomi kapitalis hari ini.
Dalam kata lain, kebesaran dan kehebatan agama Islam dan ketinggian darjat umatnya dapat dibuktikan dan disaksikan umat mausia apabila semua peniaga, usahawan dan ahli bisnes Muslim mengamalkan bisnes dengan penuh amanah, jujur dan bertanggungjawab. Namun darjat yang dipandang mulia ini akan hanya dapat dicapai setelah semua syarikat dan organisasi korporat, sama ada milik peribadi, keluarga dan swasta Muslim serta semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi yang dipimpin dan dianggotai majoriti Muslim berjaya menerapkan amanah dan kejujuran dalam amalan pengurusan dan budaya korporat masing-masing.
Apabila tahap ini dicapai dan dapat dijadikan realiti, ketika itu bisnes dan korporat Muslim akan membawa pembaharuan yang dinantikan umat manusia. Kerana semua, termasuk di Barat sekalipun, telah sekian lama bosan dengan kaedah dan budaya bisnes yang terlalu mementingkan diri, serakah, merosak dan memudarat. Semua ini berpunca daripada budaya bisnes liar dan buas, budaya korporat yang keparat.
Dengan demikian, amanah dan kejujuran yang sebati dalam jiwa Muslim boleh dijadikan strategi utama umat Islam mentamadunkan semula dunia menerusi kegiatan bisnes dan bersaing di persada antarabangsa.
Bisnes sebenarnya satu medium yang memberi peluang sangat luas dalam menyempurnakan hidup sebagai Muslim yang berteraskan amanah dan kejujuran. Kerana menerusi bisnes terdapat banyak peluang untuk beramal soleh, untuk menjayakan ”fastabiqul khairat” saranan al Qur’an – iaitu berlumba dalam membuat segala kebaikan dan kebajikan, dan membawa berbagai manfaat kepada kehidupan. Bisnes yang dijayakan menurut ajaran Islam juga membuktikan bahawa Islam adalah agama yang cukup sempurna, memakmurkan dan memperkaya umatnya. Bisnes yang dijalankan dengan baik dan bijaksana sudah tentu akhirnya akan menegakkan keadilan dan kesaksamaan sejagat. Melaluinya kita dapat membawa manfaat kepada masyarakat selain membawa pengertian besar kepada kehidupan kita sendiri dengan berbakti kepada masyarakat, bangsa dan agama.
Islam juga sangat menggalakkan umatnya mencari rezeki menerusi bisnes, kerana sembilan daripada sepuluh pintu rezeki terdapat pada bisnes. Sejak dulu, iaitu sebelum Barat mendominasi perdagangan dan bisnes dunia, pedagang Islam telah memainkan peranan penting dalam penyebaran agama dan tamadun Islam. Bandar Mekah dan Madinah muncul sebagai dua pusat bandar perdagangan yang unggul.
Perhubungan yang dijalinkan oleh para pedagang Islam dengan pedagang bukan Islam menjadikan Islam begitu cepat tersebar ke seluruh pelusuk dunia. Tamadun Islam disanjungi dan diminati serta besar pengaruhnya kerana ketinggian akhlak dan pekerti mulia pedagang Muslim dimanifestasikan oleh kaedah bisnes atas dasar amanah dan kejujuran menurut ajaran Islam. Kehebatan inilah yang menarik perhatian golongan bukan Islam.
Sesungguhnya hari ini, dalam kita membina barisan usahawan dan korporat Muslim, kita tidak harus menjual maruah dan martabat cuma dengan harga terlalu murah. Amanah dan kejujuran jangan sampai dipertaruh atau diketepikan. Bagi bisnes berorganisasi seperti syarikat milik Muslim atau GLC yang dipimpin oleh eksekutif Muslim, usaha menerapkan amanah ini perlu dipupuk dan diterapkan secara tersusun dan disebatikan ke dalam sistem nilai dan budaya korporat.
Muhammad Ali
20 Januari, 2010.
Comments
2 Responses to “MINDA BISTARI #20 - TUNTUTAN AMANAH DALAM PERNIAGAAN”
Leave a Reply
Please note: Comment moderation is currently enabled so there will be a delay between when you post your comment and when it shows up. Patience is a virtue; there is no need to re-submit your comment.


Assalamualaikum, Sdr Mohd Zulhafidz,
Terima kasih di atas komen Sdr terhadap “Amanah”, dan isu yang Sdr kaitkan dengan kes adik Sdr yang telah tidak dibayar overtime mengikut haknya.
Saya telah siasat dan dapati benar dan akan segera diperbaiki dan diberi hak beliau.
Sesungguhnya badan Koprorat besar seperti JCorp dan KFC sewajarnya diperingatkan setiap kali kita melakukan kesilapan atau kesalahan seperti ini, dan saya berterimakasih atas peringatan Sdr.
Namun, saya dan semua rakan seperjuangan tidak akan segan silu untuk menegaskan pendirian menegakkan AMANAH sekalipun terdapat kelemahan dan kealpaan di sana-sini, kerana ia adalah satu kewajipan.
Dalam konteks korporat besar seperti JCorp sudah pasti ada yang telepas pandang. Namun dengan komited kepada pronsip Amanah ini, kita semua dapat bersama terus “ingat-mengingati dan pesan berpesan kepada jalan kebenaran dan kesabaran” seperti yang dianjur oleh lslam. Dengan cara inilah sahaja kita semua akan dapat mengelakkan daripada “kerugian” dan menuju kejayaan bersama.
Apapun, kita semua wajib terus berusaha bersungguh-sungguh untuk menegakkan Amanah, dan mudah-mudahan, dengan adanya peringatan ini, prinsip Amanah akan dipegang dengan lebih kuat dan terus diperjuangkan oleh semua di JCorp.
Salam Jihad,
Muhammad Ali.
ASSALAMUALAIKUM WBT
Great news for Muslims! AMANAH
But before that, I want to say about something. It may be a small problem for a big company.
My brother working as a part time CNC dept in KFC Section 7, Pusat Komersil Section 7, Shah Alam. I guess it’s a new outlet and it is big. Full of people. And it happened that the chicken stock was out in a half day.
But my brother named SHAFIQ IZWAN YAHAYA IC NO 8612093856 worked there since 4th January, 2010, he still did not get his salary. 51 days without salary.
I’ve SMS one of the Managers there, named, named SHARIFUDDIN, but didn’t get a reply.
Before getting a huge and massive economic achievement, please don’t forget about small people working under this Corporation.
If any please do contact me at 0136160551
Ps: Ini Amanah Arwah ayah saya untuk menjaga adik saya.