MINDA BISTARI #21 - TANPA AMANAH TIADA JIHAD BISNES
Posted On January 28, 2010
|
Minggu ini saya ingin berkongsi sedikit pengalaman bagaimana Johor Corporation (JCorp) bertindak menyusun langkah menerapkan nilai amanah dalam organisasi. JCorp adalah sebuah organisasi korporat pelbagai bisnes yang sangat kompleks. Ia memiliki lebih 280 syarikat, 8 daripadanya tersenarai (7 di Bursa Malaysia dan satu di Pasaran Saham Port Moresby dan London) serta mempunyai lebih 60,000 anggota pekerja.
Dalam mengurus organisasi yangĀ sangat kompleks ini, nilai amanah tidak sesekali dikompromi. Ia wajib dijadikan paksi sebelum sesebuah syarikat, organisasi bisnes atau korporat dapat membina reputasi dan diiktiraf sebagai sebuah organisasi yang tinggi tahap etika serta moralnya. Dalam membina kebulatan organisasi dan memastikan tahap prestasi sentiasa berada di paras paling tinggi, peranan nilai dan budaya korporat ini sangat penting.Ā
Penerapan amanah dalam JCorp mudah diterima anggota pekerja sebagai salah satu nadi gerak bisnes dan kehidupan korporat. Sekalipun bisnesnya pelbagai, dengan berpegang teguh kepada nilai amanah, organisasi seperti JCorp memliki satu ”tali” yang dapat dipegang bersama oleh semua serta mengikat dan mengukuhkan kesatuan semua anggotanya kepada satu arahtuju untuk kepentingan bersama.Ā Ā
Ia menjadi pra-syarat bagi mendapatkan tahap perkhidmatan terbaik dan kesetiaan berpanjangan daripada semua lapisan anggota yang menjadi teras kepada sistem kawalan dan penilaian prestasi, khasnya dalam menilai keupayaan barisan pengurusan dan Ketua-ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat. Pada pandangan kami, sehebat mana dan tinggi prestasi seseorang CEO, ia tidak berguna sekiranya tidak beramanah.
Pengalaman JCorp membuktikan pembudayaan amanah menjadi teras kepada kredibiliti sesebuah badan korporat untuk melestari organisasi untuk terusĀ berjaya. Tanpa amanah, sebuah syarikat berkaitan kerajaan atau GLC seperti JCorp tidak akan mendapat keyakinan, kepercayaan dan sokongan padu prinsipalnya, iaitu kerajaan dan sistem politik yang berkuasa menentukan kelangsungan masa depannya.Ā
Andainya amanah dicabuli, sudah pasti bank dan semua yang berurusniaga dengannya akan hilang kepercayaan. Malah pelanggan, pengguna dan masyarakat juga akan hilang kepercayaan. Ini ditakuti akan menjadi punca kepada keruntuhan organisasi walau sebesar dan sehebat mana sekalipun organisasi itu.
Ini dapat dibuktikan melalui kisah kehancuran syarikat-syarikat besar termasuk di negara ini yang runtuh apabila berlakunya penyelewengan, rasuah dan penipuan di kalangan CEO, pengurusan serta pekerja. Ini perlu diberi perhatian. Andainya kita gagal mengambil iktibar daripada kes sebegini, tidak mustahil, nasib sama bakal menimpa organisasi kita.
Justeru, cabaran terbesar ialah bagaimana hendak menerapkan amanah supaya sentiasa dijadikan pegangan dan perhatian semua lapisan anggota di sepanjang masa. Lebih mencabar andainya badan korporat terbabit, bercita-cita menerapkan nilai Islam ke dalam jatidiri dan menjadikan bisnesnya satu perjuangan bertaraf satu Jihad.
Kegagalan menerapkan amanah akan menjadikan Jihad Bisnes JCorp satu slogan kosong dan seolah-olah mempermainkan konsep jihad. Sedangkan jihad adalah institusi agung dalam Islam yang pernah disifatkan oleh ulama sebagai rukun Islam andainya terdapat rukun Islam yang ke enam.
Saya pernah membaca rencana penulis yang berkhidmat dengan sebuah badan dakwah kerajaan yang menekankan pentingnya peranan amanah dan menyarankan supaya amanah diutamakan dalam kehidupan berorganisasi. Malangnya, penulisan tersebut diakhiri dengan seruan agar ”kerajaan” berbuat sesuatu untuk menegakkan nilai amanah menerusi usaha memperkuatkan iman dalam masyarakat.
Ada dua pandangan saya terhadap penulisan ini. Pertama, saya tidak bersetuju meletakkan tanggungjawab kepada ”kerajaan” untuk menyelesaikan segala masalah, lebih-lebih lagi ianya melibatkan peningkatan darjat iman dan menegakkan amanah. Amanah wajib ditegakkan oleh seluruh barisan kepimpinan sesebuah organisasi. Selain menjadi teladan, pemimpin mesti jelas dilihat dan tegas didengar pendiriannya bagi mengakkan amanah, sebelum seluruh organisasi boleh bangun bertindak sehaluan dengannya.
Kedua, saya juga berpandangan usaha yang hanya tertumpu kepada tindakan menguatkan iman di kalangan semua anggota sahaja belum mencukupi. Malahan, jika usaha cuma terfokus kepada peningkatan iman tanpa disusuli langkah lain dan tanpa ’ditambat tali unta dahulu’, bukan sahaja tidak mencukupi, malah boleh merugikan.
Ingin saya berkongsi pengalaman ketika saya baru dilantik menjadi CEO JCorp. Saya hairan mendapati seorang demi seorang anggota pekerja bahagian letak kereta di syarikat pengurusan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Johor Bahru milik JCorp yang mempunyai rekod kerja yang baik ketika itu, meletak jawatan dan mencari kerja lain.
Setelah disiasat, didapati pekerja yang baik ini tidak sanggup melihat pekerja lain hampir setiap hari ’makan nasi beriani’ sedangkan mereka hanya mampu membawa bekal dari rumah kerana gaji kecil. Rupa-rupanya kegiatan menyeleweng duit bayaran letak kereta telah bersarang di syarikat terbabit.
Siasatan lanjut menunjukkan penyelewengan terlalu lumrah berlaku kerana tiadanya kawalan, ”check & balance” dan pengurusan pula lepas tangan. Buku resit dikeluar dengan mudah, tanpa penelitian dan pengesahan. Penyelia pula tidak ambil berat.
Kelonggaran sistem seperti ini menyebabkan kebocoran dan kerugian yang berterusan kepada syarikat serta melahirkan suasana yang menggalakkan pecah amanah, mengakibatkan pekerja yang baik tidak sanggup lagi bersekongkol dengan yang menyeleweng.Ā Paling bahaya apabila didapati anggota yang dahulunya bersih dan kelihatan teguh iman turut teruji dan tercabar sehingga ada yang mengikut budaya negatif ini.
Pengalaman ini membuktikan sistem yang berkesan lengkap dengan audit serta pemantauan rapi oleh ketua, penyelia dan pengurus penting. JCorp mengambil langkah segera memperbaiki sistem kawalan dan mengatasi kebocoran yang akhirnya memudahkanĀ pekerja menjalankan tugas dengan amanah dan bertanggungjawab.
JCorp belajar daripada peristiwa ini dan langsung memperkenalkan langkah lebih sistematik bertujuan memudahkan amanah diterapkan ke dalam pengurusan. Kita tidak boleh hanya bertawakal dan berserah kepada Allah sekalipun anggota terlibat menunjukkan tahap keimanan tinggi, kerana iman dan tahap amanah juga turun-naik dan sentiasa teruji.
Demi memastikan pekerja sentiasa amanah dalam tugas, satu pembaharuan diperkenalkan pada 1996. Pekerja di semua peringkat dan lapisan JCorp diwajibkan menandatangani Borang Perakuan Peradaban (yang kemudiannya dipanggil ’Borang Nahi Mungkar’).
Setiap akhir tahun semua anggota disyaratkan mengisi Borang Perakuan Peradaban yang perlu mereka tandatangani sebagai akujanji yang mengesahkan bahawa mereka tidak terlibat dalam kemungkaran atau menyaksikan apa-apa kemungkaran berlaku dalam tempoh tahun yang dinilai. Mana-mana anggota pekerja yang tidak dapat menandatangani perakuan ini, mungkin oleh kerana mereka tahu atau pernah melihat, mendengar atau mengesyaki adanya salahlaku, fraud atau ketidakadilan dalam organisasi, diberi peluang untuk mengemukakan hal ini menerusi satu lagi borang yang terkepil, untuk dimajukan sama ada kepada CEO syarikat masing-masing atau langsung kepada CEO JCorp.
Pada 2009, daripada 10,715 borang yang diedarkan di seluruh JCorp dan kumpulan syarikatnya, seramai 41 orang (tidak sampai 0.4 peratus) memilih untuk tidak menandatangani borang perakuan ini dan laporan mereka telah diberi perhatian sendiri oleh CEO masing-masing atau CEO JCorp sendiri. JCorp yakin penekanan ke atas pembudayaan nilai amanah yang disusuli dengan kaedah Borang Peradaban ”nahi mungkar” ini dapat memantapkan lagi usaha untuk mengintegrasi kejujuran dan menginstitusikan amanah ke dalam gerak nadi korporatnya.
Saya pasti sistem ”nahi mungkar” JCorp ini tidak dapat menjamin terhapusnya sama sekali salah laku dan pecah amanah dalam JCorp. Apapun, saya yakin ia sangat berkesan untuk mengelakkan berlakunya penyelewengan besar-besaran dan korupsi yang dirancang melibatkan ramai anggota secara berterusan. Biasanya, salah laku kecil dan terpencil tidak menjejas kelangsungan organisasi dan tidak akan memusnahkannya. Namun ianya tetap memberikan kesan ke atas moral dan etika anggota pekerjanya. Ianya umpama api dalam sekam. Jika dibiarkan, apinya akan membesar hingga akhirnya membakar semuanya. Inilah antara punca utama tumbangnya banyak organisasi korporat, termasuk antara yang besar dan kelihatan gagah.
Ā
Yang perlu diketepikan sama sekali dan segera dipatah daripada putiknya lagi ialah salah laku sekongkolan korupsi berpanjangan yang melibatkan ramai anggota yang sepakat berniat jahat yang akan memberikan kesan dan implikasi yang lebih besar kepada pembinaan organisasi. Inilah tujuan utama sistem ”nahi mungkar” JCorp diperkenalkan, iaitu untuk mengelakkan daripada berlakunya niat jahat secara tersusun oleh mereka yang dikuasai nafsu dan kepentingan peribadi.
Ā
Tegasnya, dalam pengalaman JCorp, usaha menerapkan amanah boleh dimulakan dengan menonjolkan contoh dan ikon anggota yang jelas sifat amanah dan kejujuran mereka. Barisan kepimpinan perlu ke depan menjadi contoh dan teladan dalam kata-kata, tingkah laku dan perbuatan. Malah barisan kepimpinan perlu menegaskan nilai ini dan bukan sahaja ”cakap tak serupa bikin”. Lebih penting, mereka mesti ”bikin seperti cakap”, atau ”walk the talk”.
Paling penting, syarikat atau organisasi jangan sekali mengharapkan pihak ketiga atau pihak luar termasuk kerajaan untuk menerapkan amanah dan memperkasa iman. Di samping sistem ”nahi mungkarnya”, JCorp sentiasa menjalankan kursus bina insan dan penerapan budaya serta amalan yang berlandaskan Islam di kalangan anggota pekerjanya. Setelah itu, barulah JCorp bersedia untuk bertawakal seperti yang dianjurkan oleh Islam. Namun JCorp masih sentiasa berwaspada untuk mengelak daripada keadaan selesa dan leka.
Dalam hal ini ada baiknya kita renungkan pengajaran daripada peristiwa yang berlaku kepada seorang sahabat yang begitu yakin dengan berserah dan bertawakal segala-galanya kepada Allah swt. Pernah dicatit satu peristiwa di zaman Rasulullah SAW apabila baginda didatangi oleh seorang Arab Badwi, baginda bertanya di mana diletakkan untanya. Badwi itu menjawab ianya dilepaskan di luar. Kemudian baginda bertanya adakah untanya telah ditambat. Jawab Badwi tersebut, ”Tidak, saya bertawakal kepada Allah”. Rasulullah SAW segera menyuruhnya menambat untanya terlebih dahulu kemudian barulah bertawakal kepada Allah swt!
Amalan bersedia lebih awal dengan langkah pro-aktif bertujuan mengelakkan berlaku musibah, lebih-lebih lagi dalam bisnes dan organisasi korporat. Pepatah Melayu sendiri ada menyebut bahawa ”mencegah itu lebih baik dari mengubati”. Kita harus beringat sekuat mana pun iman, seseorang itu tidak akan terlepas dari diduga dan digoda oleh syaitan yang sentiasa mengintai peluang untuk menyesatkan dan merosakkan hamba Allah. Seringkali juga kita melihat terdapatnya golongan yang berlatarbelakangkan agama sekali pun terjebak dalam pelakuan jenayah dan salah laku termasuk dalam bisnes.
Ringkasnya, andainya kita berniat menjadikan bisnes yang dijalankan sebagai satu jihad, jangan sesekali mengizinkan berlakunya penipuan, pembohongan, penyelewengan, mungkir janji dan segala yang ditegah dan dilarang oleh Islam. Jangan pula sekali-kali mengkompromikan iman dalam membina kejayaan bisnes dan mencari kekayaan. Kita tidak boleh membabi buta menurut sahaja segala kelakuan dan kaedah bisnes yang tidak berlandaskan amanah, langsung merosakkan iman seperti banyak dilakukan oleh bisnes hari ini.
Bagi bisnes yang dilakukan secara berorganisasi, sistem dan amalan pengurusan perlu dibentuk dan ditentukan supaya dapat membantu dan memudahkan semua anggota menegakkan amar makruf dan nahi munkar. Sistem ini perlu memudahkan anggota untuk berlumba-lumba membuat segala kebaikan, menegakkan amanah serta kejujuran dan mengenepikan mereka yang berniat tidak baik.Ā
Yakinilah bahawa bisnes berlandaskan Islam penting untuk memperbaiki dan mentamadunkan semula dunia. Nilai bisnes yang baik dan berteraskan Islam akan mendapat bantuan dan keredaan dari Allah swt serta menjamin kebahagian di dunia dan di akhirat. Kejayaan Jihad Bisnes akhirnya, insya Allah, bukan sahaja berjaya membawa keuntungan, kekayaan dan kemewahan hidup. Lebih hebat lagi, usahawan, ahli bisnes dan korporat yang jujur dan tegas menegakkan amanah, akan juga beroleh balasan yang sangat istimewa di akhirat kelak. Ingatlah akan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Tirmizi yang bermaksud, ”Peniaga-peniaga yang jujur dan amanah (akan ditempatkan) berserta para nabi, siddiqin dan para syuhada”.
Muhammad Ali
27 Januari, 2010.
Comments
One Response to “MINDA BISTARI #21 - TANPA AMANAH TIADA JIHAD BISNES”
Leave a Reply
Please note: Comment moderation is currently enabled so there will be a delay between when you post your comment and when it shows up. Patience is a virtue; there is no need to re-submit your comment.


Salam Tan Sri Muhammad Ali Hashim
Firstly I would like to Thank Allah for sending you as one of Muslim’s icons for others to refer and follow.
Previously, there are so many questions related to Islam, Business, Jihad and corruption unanswered in me since I do not know to who I should refer to. But since I get to know you generally, and more closely with the presence of this page, the questions are mostly answered by your writings.
Keep up sharing your good writings, brilliant ideas, experience and knowledge so that the world will have more people like you, more honest businessmen and more Muslims’ MNC that will restore back Islam’s economic power
Thank You to Allah that He has sent you to enlighten me and others
May Allah Bless you and your family, and all Johor Corporation Staff