MINDA BISTARI #22 - TEKNOLOGI NADI EKONOMI
Posted On February 4, 2010
|
Pembelian kereta api canggih oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melibatkan perbelanjaan RM 240 juta baru-baru ini menarik perhatian saya. Keretapi eletrik menggunakan teknologi dari Korea Selatan ini akan digunakan untuk laluan Kuala Lumpur ke Ipoh.
Dengan kelajuan 140 km sejam, masa perjalanan antara KL dan Ipoh dijangka dapat dipendekkan kepada hanya 1 jam 55 minit.
Syabas diucapkan kepada KTMB yang berusaha meningkatkan mutu perkhidmatannya demi memenuhi keperluan generasi masa kini.
Sebenarnya, di negara maju kereta api merupakan sistem pengangkutan utama dan menjadi pilihan masyarakatnya. Ia menjadi alternatif kepada sistem pengangkutan lain kerana kepantasan, kecekapan, ketepatan masa dan tambang murah.
Di Jepun, kereta api ”peluru” Shinkansen (bullet train) sangat dibanggakan kerana kelajuan dan keberkesanannya. Kelajuannya mampu mencapai lebih 300 km sejam, menjadikan Shinkansen ikon kepada kemajuan Jepun dan kecanggihan teknologinya serta membolehkan rakyatnya bergerak pantas dalam persaingan.
Begitu juga Amerika Syarikat dan Eropah yang mempunyai teknologi jauh di hadapan. Mereka sentiasa berlumba-lumba meningkatkan keupayaan teknologi untuk memenuhi desakan perkembangan ekonomi dan sosial yang pesat. Perancis pula sangat berbangga dengan TGV mereka yang mampu mencapai kelajuan melebihi 350 km sejam. TGV merentasi Eropah dan menjadi nadi utama pengangkutan di Eropah. Sepanjang 2008 saja, TGV mengangkut lebih 98 juta penumpang.
Semua pencapaian ini menjadikan kereta api sebagai pilihan masyarakat negara maju dan menjadi akses yang murah, cepat, selamat dan menjimatkan masa. Ini adalah antara keperluan masyarakat di negara maju kerana mereka tahu bahawa mereka perlu bergerak pantas mengejar masa agar tidak ketinggalan.
Kita juga memerlukan teknologi seumpama ini bagi menggantikan sistem sedia ada. Salah satu faktor kepada kepesatan pertumbuhan ekonomi negara-negara maju hari ini adalah jaringan sistem pengangkutan yang cekap, cepat, selesa dan murah. Agak malang apabila masa yang begitu berharga terpaksa dibazirkan begitu sahaja dalam kesesakan lalulintas. Lebih menyedihkan kemalangan jalan raya semakin meningkat terutamanya melibatkan generasi muda dan warga yang begitu diperlukan dalam pembinaan ekonomi dan masa depan negara.
Saya percaya kerajaan juga telah berusaha untuk meningkatkan tahap kecekapan dan keberkesanan sistem pengangkutan di Malaysia. Usaha yang serius dapat kita lihat melalui langkah penambahbaikan dan pemodenan KTMB yang sangat ditunggu-tunggu oleh masyarakat.
Demi mengubah persepsi ramai terhadap kualiti perkhidmatan yang diberikan dan menjadikannya sebagai pilihan utama di masa depan, antara jaminan yang diperlukan adalah kemampuannya untuk menepati masa yang diperlukan, keselesaan perjalanan dan selamat tiba di destinasi yang dituju.
Perlu direnungkan bersama bagaimana kecekapan sistem pengangkutan dan teknologi menjadikan banyak negara di dunia mampu mendahului dalam persaingan ekonomi.
Sebagai contoh, Korea Selatan dan China adalah dua buah negara yang jauh lebih miskin dan ketinggalan berbanding Malaysia ketika merdeka dulu.
Namun, Korea Selatan pada hari ini bangkit menjadi antara negara Asia berteknologi tinggi dengan memiliki jenama besar bertaraf dunia. China pula bangkit dengan gagah sebagai kuasa besar ekonomi dunia setelah mencorak semula ekonomi dan menerima pakai sistem ekonomi pasaran ala kapitalis, sekalipun sistem politiknya kekal komunis.
Kesannya, seperti Jepun, Korea Selatan dan China kini menjadi negara utama yang mempelopori teknologi kereta api. China kini boleh berbangga dengan keretapi magnet tercanggih - Maglev yang mampu mencapai kelajuan purata 350 km sejam sekaligus misalnya memangkinkan perjalanan sejauh 1,069 km dari Wuhan di tengah China ke Guangzhou di selatan dipendekkan kepada hanya 3 jam berbanding 10.5 jam sebelum ini!
Dalam tempoh singkat China berupaya memiliki teknologi kereta api terkini yang jauh lebih canggih daripada apa yang ada pada Malaysia. Malahan baru-baru ini China telah mendapat kontrak daripada Arab Saudi bernilai RM6.65 bilion membina sistem keretapi monorel Mekah bagi kegunaan berjuta umat Islam menyempurna ibadah haji dan umrah pergi-balik antara Mekah, Mina, Arafat dan Muzdalifah. China juga terlibat dalam projek membina sistem keretapi laju Al Haramain yang akan menghubungkan Makkah dengan Jeddah dan Madinah dengan kelajuan 360 km sejam dan berupaya membawa 72,000 penumpang setiap jam.
Semua ini mengingatkan saya kepada pemerhatian seorang penulis Amerika keturunan Yahudi mengenai keciciran umat Islam sebagai umat yang suatu ketika paling maju tamadunnya dan paling ke depan dalam banyak bidang kehidupan.
Dalam bukunya ”What went wrong?” Bernard Lewis memerhatikan, setelah bangsa Eropah maju ke depan dan mendahului pemerintahan Osmaniah Turki (pemegang terakhir tampuk kuasa pemerintahan Khalifah Islam) yang semakin lemah, umat Islam semakin merosot kuasa ekonomi dan politik. Antara yang paling ketara ialah ketinggalan umat Islam setelah Barat menguasai teknologi.
Contoh yang diberikan oleh Lewis adalah aktiviti perkapalan yang pada mulanya dikuasai Arab dan pelayar Muslim sebelum diambil alih Barat dengan kecanggihan teknologi perkapalannya. Umat Islam yang sebelum ini ke Makkah menyempurnakan haji dan umrah menggunakan kapal milik Muslim, akhirnya semuanya berhijrah menggunakan kapal milik Inggeris, Belanda atau Portugis kerana ia ”lebih cepat, murah dan selamat.”
Lewis selanjutnya menggambarkan bagaimana merosotnya keupayaan umat Islam menyebabkan ekonomi Islam yang dulunya perkasa, akhirnya terpaksa bergantung kepada Barat. Beliau menggambarkan kopi adalah minuman yang diperkenalkan orang Arab kepada dunia sehingga Barat turut ketagihkannya. Asalnya kopi yang diminum oleh orang Eropah, sama seperti kebanyakan barangan yang besar permintaan di Barat, termasuk rempah-ratus, kain sutera, dan lain-lain barangan mewah, semuanya dibekalkan oleh orang Arab dan dijual oleh pedagang Muslim.
Namun, setelah Barat maju, menjajah dunia, merampas kuasa ekonomi dan meletakkan teraju ekonomi di tangan organisasi syarikat-syarikat gergasi, akhirnya semua orang Arab, Turki dan Muslim lainnya terpaksa membeli kopi dan gula daripada pedagang Eropah.
Kesudahannya, kata Lewis, ”bermula di hujung abad ke-18 setiap cawan kopi bergula yang diminum oleh orang Turki atau Arab didatangkan dari Jawa milik Belanda atau dari Amerika milik Sepanyol, gula pula dari Hindia Barat milik British atau Perancis; hanya air panas saja bahan tempatan”.
Demikianlah bukti sejarah betapa penguasaan teknologi pengangkutan berjaya mematah keupayaan ekonomi umat Islam dan mahu atau tidak, memaksa mereka tunduk kepada realiti kuasa ekonomi Barat. Kecanggihan teknologi Barat, apabila digandingkan dengan keupayaan bisnes berorganisasi besar menerusi syarikat dengan konsep tanggungan berhad telah memberi Barat ”senjata” ekonomi yang paling perkasa.
Akhirnya, umat Islam yang dulunya hebat berdagang, handal berniaga, berani mengharung lautan dan tabah berusaha kini kehilangan kuasa langsung lemah tidak bermaya. Umat yang dijanjikan agamanya sebagai umat terbaik lagi mulia, memiliki ”tangan di atas” atau ”tangan memberi”, sebaliknya kini menjadi umat yang hilang upaya, menjadi umat ”tangan di bawah”, iaitu ”tangan menerima” dan tangan meminta-minta!
Kita kini berdepan dengan pelbagai persoalan. Apakah pembelian keretapi baru oleh Malaysia dari Korea Selatan dan Arab Saudi dari China melambangkan berulangnya gelombang tsunami lama yang memusnahkan daya dan keupayaan umat? Apakah kalau dulu Barat menewaskan umat, kali ini kita akan ditewaskan pula oleh pihak Timur, iaitu negara seperti China dan Korea Selatan yang kini berupaya menguasai teknologi dan memanfaatkan organisasi?
Di mana keperkasaan umat Islam yang dijanjikan sebagai umat terbaik dan khalifah di muka bumi? Kenapa, di samping banyak kelebihan, misalnya setelah banyak negara Islam bebas dan merdeka, jumlah umat ramai, dan beberapa negara Islam menguasai sumber minyak dunia, umat Islam masih tidak berupaya menguasai teknologi canggih dan menguasai organisasi binses dan korporat besar sehingga hilang kuasa ekonomi di negara mereka sendiri?
Kenapa dalam sektor makanan halal sekalipun, penguasaan umat tidak sampai 20 peratus, dan sebahagian besar keperluan halal dibekalkan oleh orang serta syarikat bukan Islam khasnya organisasi korporat multinasional (MNC) milik Barat? Kenapa produk kosher (iaitu makanan ala ’halal’ untuk Yahudi) lebih mudah didapati di pasaran dan Muslim di Amerika Syarikat, misalnya, menjadi pembeli dan pengguna terbesar, iaitu 60 peratus daripada keseluruhan pembeli produk kosher di Amerika Syarikat?
Saya berpendapat antara faktor utama yang menyebabkan bangsa Melayu dan umat Islam ketinggalan jauh ke belakang, sekalipun ada di kalangan mereka yang telah berniaga sejak berzaman seperti bangsa Arab, adalah kerana mereka terlalu terikat kepada bisnes hanya dengan berjual-beli dan berdagang sejak turun-temurun. Paling penting sekali, mereka tidak seperti pedagang Barat dan Timur yang segera membina organisasi bisnes besar dan menyusun bisnes secara korporat yang berkesinambungan dan berdayatahan.
Umat Islam sedar akan pentingnya peranan dan penguasaan teknologi, khasnya di institusi pengajian tinggi dan akademik. Namun, manfaatnya kerap tidak dipaksikan kepada organisasi bisnes atau korporat yang umumnya lebih cergas dan dinamis dalam mengaplikasikan teknologi untuk manfaat bisnes. Kelemahan penguasaan organisasi perlu mendapat perhatian lebih utama di kalangan umat Islam dan dijadikan agenda utama pembaharuan masyarakat Islam di mana-mana.
Dalam kata lain, akhirnya bukan sahaja teknologi seperti teknologi keretapi canggih yang perlu dikuasai. Teknologi keretapi canggih mudah dibeli dan diperoleh jika kita mempunyai kemampuan kewangan. Ia boleh didapati, misalnya apabila pembinaan keretapi dikontrakkan oleh kita kepada pembekal luar negara yang juga bersetuju melatih dan memindahkan teknologi berkaitan.
Paling penting ialah kewujudan organisasi keretapi tempatan yang berkemampuan memaksimumkan faedah pembelian teknologi dari luar tersebut. Teknologi keretapi, sama seperti yang lain, boleh diterap dan diintegrasi ke dalam budaya apabila ada organisasi yang berupaya dan bersedia menjadi institusi induk. Organisasi ini perlu disusun serta dibentuk sebegitu rupa untuk memanfaatkan pemindahan teknologi baru ini sebelum menghasilkan sesuatu yang benar-benar sejati milik kita sendiri.
Muhammad Ali
3 Februari, 2010.
Comments
3 Responses to “MINDA BISTARI #22 - TEKNOLOGI NADI EKONOMI”
Leave a Reply
Please note: Comment moderation is currently enabled so there will be a delay between when you post your comment and when it shows up. Patience is a virtue; there is no need to re-submit your comment.


Assalammualaikum WBT.
Tan Sri Muhammad Ali.
Terima kasih atas artikal penuh kesedaran tersebut. Saya berpendapat sekiranya umat Islam seluruh dunia bersatu, pastinya umat Islam terus bangkit dari lamunan untuk terus mewarisi keunggulannya.
Saya amat terkilan kepada generasi selepas kegemilangan yang hanya mementingkan diri sendiri untuk terus maju namun, kemajuan tersebut tidak dikongsikan bersama umatnya sehingga umat Islam tercicir selepas pada itu. Sikap tersebut pula terjurus kepada hasad dengki, berkepentingan pribadi dan, tidak mengagihkan kekayaan tanpa memikirkan bahawa, pengagihan dibuat untuk terus maju. Akhirnya, segala yang dikecapi tidak memberi sebarang faedah pada dirinya, keluarganya dan, umatnya sehinggakan Islam menjadi terus lemah serta, terus ditindas.
Sesungguhnya artikal seperti ini perlu menjadi pendedahan pada setiap ucaptama Tan Sri agar dapat memberi kekuatan kepada kami terutama, Rakyat Malaysia khasnya.
Sekian, salam hormat.
Assalamualaikum wbt Sdr Izhaq,
Terima kasih atas minat Sdr mengenai penulisan saya.
Bersamalah kita berusaha sehingga umat Islam benar-benar berjaya menjadi umat terbaik dan khalifah di muka bumi, insya Allah.
Saya doakan semoga Sdr sukses dalam apa jua yang diusahakan, dan insya Allah dapat menyumbang bahagian Sdr kepada perjuangan besar ini, Amin.
Salam Jihad,
Muhammad Ali.
Assalamualaikum w.b.t. Tan Sri.
Saya ialah seorang pelajar tingkatan 4 di Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan. Saya begitu seronok membaca artikel Tan Sri yang bertajuk “Teknologi Nadi Ekonomi”. Terlalu banyak fakta dapat saya perolehi daripada artikel-artikel yang ditulis Tan Sri. Saya sendiri juga berpendapat bahawa umat Islam khasnya orang Melayu masih lagi ketinggalan dalam bidang sains dan teknologi. Umat Islam jauh ditinggalkan dalam bidang ini sekaligus menampakkan kemunduran ekonomi Islam di mata dunia.
Umat Islam sebenarnya dikurniakan dengan limpahan kekayaan bahan-bahan galian seperti emas, petroleum dan bermacam-macam lagi. Negara seperti UAE, Brunei dan Kuwait mepunyai sumber petroleum yang melimpah ruah dan dicemburui Barat. Tetapi sampai bilakah sumber petroleum ini akan berkekalan? Dan apabila sumber petroleum negara-negara tersebut habis, apakah bidang yang akan mereka paut untuk terus hidup jika tidak menguasai bidang sains dan teknologi?
Umat Islam terlalu bergantung kepada teknologi Barat dan Timur. Keupayaan umat Islam dalam teknologi sememangnya rapuh. Kerapuhan ini memudahkan musuh-musuh Islam seperti AS, Great Britain, dan Israel mudah memusnahkan negara Islam seperti yang berlaku kepada Palestin, Iraq dan Afghanistan.
Saya juga berpendapat jika umat Islam bangkit berusaha membangunkan bidang teknologi dan sains, umat Islam akan dapat menguasai bidang ini seperti zaman kegemilangan tamadun Islam seterusnya menguasai ekonomi antarabangsa.
Sekian. Semoga Tan Sri akan terus menulis artikel-artikel sebegini pada masa akan datang.
Muhamad Izhaq,
Shah Pekan