"CORPORATE WAQAF FOR BUSINESS JIHAD"                                                                        "WAQAF KORPORAT UNTUK JIHAD BISNES"                                                                         "BUSINESS JIHAD - A JIHAD OF PEACE AND PROSPERITY THROUGH BUSINESS"
 

MINDA BISTARI #23 - KERETA API BARU LANDASAN LAMA

Posted On February 11, 2010

(Artikel ini merupakan artikel asal dan telah diterbitkan di Ruangan Minda Bistari, Harian Metro pada 11 Februari 2010 dengan beberapa pindaan oleh editor di bawah tajuk “IKTIBAR DARI KERETA API - Negara Islam Kaya Perlu Bina Teknologi Organisasi, Jangan Terus Jadi Pembeli Barangan Bukan Muslim” )

Artikel saya minggu lalu menyentuh pembelian sistem kereta api baru oleh Malaysia menggunakan teknologi Korea Selatan serta perancangan Arab Saudi membina sistem kereta api canggih bagi kegunaan umat Islam mengerjakan ibadah haji dan umrah menggunakan teknologi China.

Kita perlu mengimbau kembali bagaimana umat Islam yang pernah menguasai ekonomi dan tamadun dunia, akhirnya hari ini terpaksa tunduk setelah hilang keupayaan apabila Barat menguasai kecanggihan teknologi termasuk perkapalan dan sistem pengangkutan laut yang canggih. 

Kini perhatian harus diberikan kepada kebangkitan teknologi negara-negara dari Timur seperti China dan Korea Selatan. Pembelian sistem kereta api baru oleh Malaysia dari Korea Selatan dan Arab Saudi menggunakan teknologi China seolah-olah membayangkan betapa umat Islam hanya terus bergantung kepada bekalan teknologi jika dulu dari Barat, kini Jepun, China dan Korea Selatan. 

Di mana keperkasaan umat Islam yang dijanjikan sebagai umat terbaik dan khalifah di muka bumi? Mana jalan keluarnya untuk Muslim?

Saya berpendapat jalan keluar sebenarnya terdapat pada minda kita sendiri terutamanya pada persepsi, fahaman terhadap apa yang boleh dilakukan dan cara bagaimana pembaharuan harus dilaksana.

Kita tidak akan dapat mengubah nasib kita selagi tidak diperbaharui apa yang ada pada diri dan dalam minda kita. 

Negara Islam yang memiliki kekuatan ekonomi seperti Malaysia dan Arab Saudi, tidak harus mencari jalan mudah menggunakan kekayaan untuk membeli apa sahaja yang dijual oleh orang lain tanpa berusaha mencari jalan menghasilkannya sendiri. Kita wajib menguasai ilmu dan teknologi yang diperlukan untuk maju bagi mengelak kita terus dilabel sebagai pengguna.

Malaysia sebenarnya mempunyai kemampuan dan keupayaannya sendiri. Kita memiliki beberapa institusi pengajian tinggi serta pusat penyelidikan dan percambahan teknologi. Namun, keupayaan sains dan teknologi tempatan adalah hanya satu daripada dua prasyarat utama pembinaan keupayaan negara. Satu lagi prasyarat yang perlu diberi perhatian oleh umat Islam ialah ”teknologi organisasi” yang boleh membawa manfaat kepada penguasaan sains dan teknologi. 

Istilah ”teknologi organisasi” pernah digunakan oleh Peter F Drucker di awal penulisannya (lihat Drucker; ”Innovation and Entrepreneurship”). Ia merujuk kepada segala ilmu dan amalan terbaik berkaitan pembinaan, pengurusan dan pengendalian organisasi bagi menghasilkan daya keusahawanan serta daya saing tinggi dalam menjana harta kekayaan yang menjadi sumber kemakmuran, kesejahteraan dan pembangunan masyarakat secara berkesinambungan.  

Drucker menyifatkan teknologi organisasi sebagai sangat penting, malah mungkin jauh lebih penting daripada penguasaan ”sains teknologi”. Beliau memberikan contoh penemuan sains perubatan, misalnya dalam mencipta ubat untuk menyembuh penyakit. Persoalan yang berbangkit ialah penemuan ubat-ubatan penting tetapi tidak mencukupi andai tidak didampingi penubuhan organisasi hospital yang cekap dan berkesan menyampaikan ubat-ubatan kepada pesakit yang memerlukannya dengan kadar kos paling rendah dan cekap.

Tegasnya, ilmu pengurusan di sebalik teknologi organisasi akan menentukan manfaat perubatan yang diperlukan dapat dinikmati seramai mungkin yang memerlukan mengikut kaedah ekonomi paling berkesan.

Demikian juga, peranan usahawan entrepreneur dalam sistem ekonomi untuk menentukan matlamat penyampaian ini diuruskan sebaik mungkin. 

Malangnya, pada pandangan saya, penguasaan teknologi organisasi ini tidak mendapat perhatian sewajarnya dalam pemikiran orang Melayu serta tidak diberi keutamaan dalam perancangan pembangunan di Malaysia, lebih-lebih lagi dalam konteks senario pembangunan yang diterajui dasar kerajaan yang mengutamakan penggunaan jentera kerajaan untuk penyampaian ini.

Andainya berterusan, ketidakperihatinan ini akan menjadi salah satu faktor yang melemahkan keupayaan jangka  panjang negara. 

Dasar dan strategi persaingan yang digariskan kerajaan jarang sekali menyentuh faktor pembinaan teknologi organisasi. Peranan organisasi dan hubung kaitnya dengan pembangunan daya keusahawanan dalam sistem ekonomi juga tidak diberi keutamaan.

Sebenarnya, pada kereta api juga terdapat pengajaran dan contoh yang membantu Melayu dan umat Islam memahami peranan penting teknologi dan ”teknologi organisasi”, seterusnya mencari jalan keluar dan membina semula keperkasaan umat.

Renungkan bagaimana kereta api baru seperti Shinkansen, TGV dan Maglev mampu mencapai kelajuan melebihi 300 kilometer sejam sedangkan kereta api lama masih perlahan, ketinggalan dan kerap tergelincir?

Sebenarnya kereta api lama tidak mampu bergerak pantas kerana segala beban bagi menarik berpuluh-puluh gerabak diletakkan kepada kepala kereta api. Ini berbeza dengan sistem yang digunakan kereta api baru.

Sekalipun sumber utama kuasa dan kawalannya berpusat di kepala kereta api, kemajuan teknologi membolehkan setiap gerabaknya memiliki sumber kuasa dan tenaganya sendiri. Rodanya turut dilengkapi tenaga yang saling memacu.

Ini membuatkan setiap gerabak kereta api baru bukan lagi beban kepada kepalanya sebagaimana kereta api lama!

Demikianlah pembaharuan yang diperlukan organisasi zaman ini. Pertama, organisasi dalam masyarakat (sama ada organisasi politik, pentadbiran kerajaan atau kementerian, organisasi akademik seperti IPTA/IPTS, badan atau agensi kerajaan mahu pun syarikat dan organisasi korporat) tidak harus dibiar memusatkan segala kuasa kepada pemimpin di puncak hierarki. Keberkesanan dan kecekapan tidak akan diperoleh selagi pemimpin, umpama kepala kereta api, membolot semua kuasa lalu menjadi penggerak semua inisiatif dan penyelesai segala masalah.

Kedua, setiap individu dan setiap unit dalam apa jua organisasi, wajib menyumbang dan memainkan peranan dalam merealisasikan matlamat perjuangan bersama. Perhatikan betapa daya kreatif, inovasi dan inisiatif tidak terdapat pada organisasi bercorak kereta api lama.

Realitinya, kita yang masih terikat dengan cara kereta api lama mengharapkan pemimpin di puncak hierarki menyelesaikan segala masalah. Umat Islam adalah umat jemaah. Corak kepimpinan peribadi tidak lagi sesuai untuk mencapai kelajuan dan kepantasan. Perlu kita terapkan budaya kerja secara berorganisasi dan tersusun dengan menggembleng seluruh daya dan kekuatan bersama sesuai dengan firman Allah SWT dalam Surah As Saff, 61:4 yang bermaksud: ”Sesungguhnya Allah Taala amat menyukai orang yang berjihad pada jalan-Nya dalam barisan yang teratur seolah-olah mereka seperti satu binaan yang tersusun kukuh.”

Terdapat bukti yang jelas menunjukkan corak organisasi amalan Barat (dan kini Korea Selatan serta China) adalah faktor yang memberi mereka kekuatan dan kelebihan bersaing. Malangnya diperhatikan orang Melayu dan umat Islam tidak memberi perhatian serius terhadap konsep organisasi serta peranannya dalam memenuhi keperluan bermasyarakat dalam masyarakat moden.

Jelas juga kelihatan bahawa lemahnya daya saing di kalangan umat Islam khasnya, adalah berpunca daripada kelemahan atau ketidakupayaan organisasi mereka yang tewas kepada kecanggihan organisasi Barat dan lainnya. Apabila organisasi tidak lagi dianggap penting, masyarakat melihat segala aktiviti kehidupan yang perlu untuk hidup disandarkan kepada individu atau institusi keluarga. Konsep organisasi sosial yang berpaksikan institusi keluarga memadai untuk masyarakat yang ringkas dan tidak kompleks. 

Namun, dalam suasana persaingan yang kompleks dan terbuka, kelihatan masyarakat yang berpaksi kepada sistem organisasi canggih mempunyai kelebihan untuk menang bersaing. Sebagai contoh, harta kekayaan yang disandarkan kepada milik syarikat dan organisasi korporat akan lebih berdaya tahan hak milikya berbanding dengan harta kekayaan yang disandarkan kepada pegangan individu atau keluarga.

Akibat daripada fahaman terhadap organisasi yang berbeza, hari ini pegangan harta kekayaan di kalangan umat Islam lemah sekali. Perhatikan bagaimana perdagangan dunia kini berada di tangan syarikat dan organisasi korporat milik Barat dan Timur yang sangat panjang hayatnya. Sedangkan umat Islam menyerahkan kuasa hak milik harta tidak ke tangan organisasi tetapi lebih ke tangan indidvidu dan keluarga. 

Dengan demikian, susunan struktur organisasi, sistem pengurusan, nilai teras yang dibudayakan dan gaya kepimpinan yang diamalkan sangat penting. Kerana semua ini akan menentukan tinggi atau rendahnya semangat kerja dan tahap motivasi serta pencapaian anggota dalam organisasi. Andainya aspek organisasi tidak diberi perhatian, pengurusannya akan mudah tergelincir daripada landasan, jadual akan tergendala dan matlamat akan langsung terpesong. Inilah yang berlaku pada organisasi di negara membangun menyebabkan mereka terus ketinggalan. 

Muhammad Ali Hashim
10 Februari, 2010
 
 
 
 
 
 
 
 

 

Comments

3 Responses to “MINDA BISTARI #23 - KERETA API BARU LANDASAN LAMA

  1. mahh says:

    Assalamualaikum, Sdr Khalilah Aqilah,
    Saya doakan semoga Sdr akan terus tabah dalam cita-cita menjadi ahli bisnes, sekalipun sebagai pelajar, tanggungjawab sdr yang perlu diutamakan di peringkat ini ialah mendapat segulung ijazah.
    Saya juga dapat rasai apa yang Sdr katakan mengenai “kepala” kereta api dalam organisasi/persatuan.
    Selama ini kita semua terlalu mengambil mudah peranan pemimpin. Semua orang bercita-cita nak jadi pemimpin, malangnya tak semua yang sesuai setelah diberi kepimpinan. Apabila ini berlaku, kita semua akan berhadapan dengan masalah besar.
    Masyarakat sebenarnya kena lebih memilih, dan juga menentukan program latihan kepimpinan dijayakan. We cannot take leadership for granted any more!
    Mengenai pertanyaan apa yang perlu Sdr lakukan untuk membantu rakan mahasiswa tambah berkualiti dan jadi seperti ‘kereta api’ laju - di sinilah letaknya kewajipan utama seorang pemimpin. Kalau pun Sdr tidak menjadi pemimpin formal, Sdr boleh menunjukkan bakat selaku pemimpin tak-formal dan seolah-olah membentuk sendiri, dengan sokongan rakan-rakan sehaluan, satu ‘kereta api ekspres baru’ dengan ‘kepala keretapi’ baru, namun atas landasan yang sama supaya organisasi tidak berpecah.
    Dalam keadaan hari ini ramai yang berfikiran kusut-masai dan kelam-kabut. Ini adalah kerana kita berada dalam situasi krisis dan ketidak-pastian yang berlaku kerana perubahan terlalu pesat dan mendadak. Dalam situasi ini, semua akan mudah sekali kebingungan.
    Dalam keadaan ini, pada pandangan saya, yang paling diperlukan ialah pemimpin dan kepimpinan yang dapat menjernihkan suasana, iaitu yang dapat mentafsirkan dengan betul dan baik fenomena sekeliling dan mencari jalan keluar yang boleh diterima semua. Paling malang sekiranya pemimpin terus bingung, kecelaru pemikiran dan takut pula bertindak.
    Tegasnya, pemimpin terbaik ialah mereka yang dapat mengartikulasi dengan mudah, jelas dan terang jalan keluar daripada apa isu pokok kemelut atau cabaran yang dihadapi bersama, kemudian mendahului dalam menunjuk jalan bertindak supaya cabaran tersebut dapat diatasi dan matlamat bersama diperjuangkan sehingga berjaya.
    Ringkasnya, the first fundamental responsibility of leaders is to define the problem and challenges faced, and articulate the mission and objectives within the context of the situation and to act on them. Setelah itu, kita perlu susun strategi dan organisasi untuk bertindak. Dalam hal ini pula kita perlukan menilai sejauh mana terdapat keupayaan di kalangan pengikut, termasuk daya fikir dan corak pemikiran yang ada pada mereka. Tugas pemimpin di sini ialah memotivasi mereka ke tahap paling tinggi supaya mereka dapat bertindak dengan penuh semangat juang.
    Mengenai hal ini, Sdr mungkin boleh baca posting terakhir dalam Blog saya di bawah tajuk: “Usah jadi gajah sarkas”.
    Mudah-mudahan jawapan ini dapat membantu Sdr.
    Wallahua’alam, Selamat berjuang, dan Salam Jihad!
    Muhammad Ali,
    29.5.10

  2. khalilah aqilah says:

    Assalamualaikum Tan Sri….

    Saya pelajar UTM…. Saya dapat tahu blog Tan Sri daripada kawan-kawan saya…
    Dalam banyak-banyak artikel yang di pamerkan, saya tertarik dengan cerita pasal kereta api ini… Saya setuju sangat dengan apa yg diperkatakan oleh Tan Sri.
    Untuk pengetahuan Tan Sri, saya sendiri mengalami apa yang diperkatakan ….
    Saya merupakan salah seorang pemimpin di salah satu organisasi/ persatuan di UTM… Namun, tahap kepimpinan yang diharapkan oleh mahasiswa, seperti kereta api laju tersebut… namun, cara dan keadah yang lama yang cuba dipraktikkan, tidak bersesuaian dengan keadaan kepantasan dan kelajuan yang diinginkan mereka dalam memimpin… dan sikap sambil lewa mereka juga menyebabkan, ada segelintir yang ketinggalan dan masih mengekalkan cara yang lama….
    Dan saya sendiri kini, terlibat dalam keusahawanan, kerana keusahawanan dapat menjadikan saya lebih kreatif dan setapak ke hadapan daripada yang lain…. dan saya gunakan ilmu yang saya dapat dalam usahawan dalam menjalankan kepimpinan saya….

    Saya nak bertanya pada Tan Sri,
    Pada pandangan Tan Sri, apakah yang perlu saya lakukan dalam membantu rakan-rakan mahasiswa yang lain supaya dapat berdiri seiring dalam menghasilkan graduan yang berkualiti dan menjadi seperti kereta api laju, dan memenuhi pasaran kerja di luar….

    Terima kasih…

  3. razli ramli says:

    TQ tuan ats blog tuan yang berguna dan penuh dengan ilmu….
    Kesedaran yang perlu diterapkan kepada menteliti ‘Melayu’
    adalah perlunya berniaga sebagai salah 1 sumber kekuatan…

 

Leave a Reply

Please note: Comment moderation is currently enabled so there will be a delay between when you post your comment and when it shows up. Patience is a virtue; there is no need to re-submit your comment.