MINDA BISTARI #25 - IMPAK GAGASAN WAQAF KORPORAT
Posted On February 25, 2010
|
Baru-baru ini saya menerima undangan ke Persidangan Waqaf Antarabangsa Dubai anjuran Yayasan Waqaf Dubai, Kerajaan Dubai dan Suruhanjaya Sosial dan Ekonomi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Asia Barat (UN-ESCWA). Tujuannya ialah bagi membentangkan kertas kerja bertajuk ”Waqaf Korporat – Pengalaman Malaysia dalam Membangun Keupayaan Bisnes Lestari” pada 16 Februari 2010.
Persidangan dua hari tersebut disertai para penguasa, pengurus dan pentadbir waqaf serta para cendiakawan dari Asia Barat selain penceramah dan peserta dari pelbagai institusi pembangunan seperti Bank Pembangunan Islam (IDB), UN-ESCWA serta institusi perbankan dan kewangan lain di Asia Barat. Pengalaman negara seperti Malaysia, Afrika Selatan, Eropah dan Jepun dalam pembangunan waqaf dan usahawan kecil dan sederhana turut diketengahkan.
Tema ”Persidangan Antarabangsa Dubai Mengenai Waqaf dan Sumber Pembiayaan Berinovasi untuk Manfaat Perusahaan Kecil dan Sederhana” jelas membayangkan usaha Dubai dan beberapa negara lain di Asia Barat mencari pembaharuan dalam pembangunan ekonomi dengan memperluaskan manfaat daripada institusi waqaf untuk umat Islam di negara masing-masing.
Di Asia Barat kini terdapat gagasan yang berani dan berinovasi untuk memperluas peranan dan impak yang boleh dimanfaatkan oleh institusi yang diwarisi umat Islam, seperti waqaf. Hal ini ditekankan di awal persidangan apabila dikatakan telah tiba masanya waqaf tidak lagi dikaitkan dengan keperluan umat untuk kehidupan ’selepas mati’ seperti waqaf untuk tanah kubur, masjid, madrasah dan seumpamanya. Justeru, seluruh perwakilan menumpukan perhatian terhadap isu dan cabaran berkaitan cita-cita memanfaatkan waqaf bagi umat Islam demi memenuhi keperluan kehidupan ’sebelum mati’.
Fokus Persidangan adalah bagaimana memanfaatkan aset dan harta waqaf dalam membantu kejayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Ini boleh dilakukan pihak berkuasa waqaf, misalnya dengan membiayai keperluan PKS atau melaksanakan pembangunan hartanah waqaf khas untuk manfaat PKS. Perwakilan bertanggapan bahawa PKS di Asia Barat perlu segera digalakkan agar menyumbang kepada pertumbuhan dan menambah nilai ekonomi serta menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan.
Pertumbuhan ekonomi Asia Barat dijangkakan lebih cepat pulih daripada krisis global berbanding wilayah lain termasuk Asia dan Afrika. Apa yang dibimbangkan ialah hakikat bahawa pertumbuhan nilai KDNK yang semakin rancak tidak disertai pertumbuhan peluang kerja untuk golongan remaja yang semakin ramai menganggur. Pertumbuhan ekonomi yang dipacu peningkatan pesat harga sumber asli seperti minyak petroleum dan gas menyebabkan ”pertumbuhan” ekonomi berjaya dicapai namun tidak diiringi ”pembangunan” ekonomi.Â
Pertumbuhan pesat ekonomi negara-negara Arab berasaskan peningkatan harga minyak dikatakan hanya mengekang sistem, mengakibatkan berlebihan kecairan (liquidity) selain meningkatkan konsentrasi harta kekayaan sekaligus melebarkan jurang antara golongan atasan dan golongan majoriti bawahan dalam masyarakat. Ini berlaku kerana sekalipun negara Asia Barat semakin kaya raya, peluang kerja yang dizahirkan adalah sedikit kerana pelaburan baru lebih bercorak intensif modal manakala penyediaan peluang kerja yang sedikit menyebabkan peningkatan kadar pengangguran.Â
Menurut laporan, satu daripada setiap empat orang remaja Arab di bawah umur 25 tahun kini menganggur. Hakikat ini membawa implikasi besar terhadap kestabilan politik, kesejahteraan ekonomi, keselamatan sosial dan masa depan negara terbabit.
PKS dikenalpasti sebagai antara sektor terpenting untuk mengatasi cabaran dan mencari jalan keluar dari kemelut ini. Di negara maju seperti Itali, United Kingdom dan Jepun, sektor PKS merupakan penjana utama peluang kerja dan ekonomi rakyatnya. Di sini letaknya penekanan tema Persidangan dalam mencari jalan dan peluang ekonomi baru bagi PKS khasnya, serta membuka peluang pelaburan dengan memajukan aset dan harta waqaf melalui pembiayaan institusi kewangan sedia ada.Â
Sama seperti di Malaysia, negara Islam lain amnya memiliki banyak aset dan harta waqaf terbiar dan berpotensi dimajukan. Dalam hal ini, Persidangan di Dubai dengan tegas menekankan mesej bahawa inisiatif untuk memulakan langkah menambah nilai aset dan harta waqaf memerlukan gabungan usaha dan tenaga antara tiga pihak, iaitu penguasa waqaf (yang juga agensi kerajaan), pihak bank dan pembiaya serta usahawan.
Paling penting ialah hakikat bahawa semua ini harus dilakukan atas dasar pasaran atau market-driven berasas prinsip bisnes dan komersil. Persidangan tersebut menerima kaedah bisnes dan komersil dalam menjayakan program waqaf untuk membantu PKS. Cuma yang ditekankan ialah kelebihan institusi waqaf sebagai pemilik aset dan harta dengan pinjaman tanpa riba dengan demikian dapat memanjangkan kelebihan ini untuk manfaat semua PKS terbabit tanpa membebankan mereka, misalnya jika terpaksa membayar semula pinjaman dengan bayaran faedah.
Beberapa kandungan pembentangan kertas kerja saya berjaya menarik perhatian perwakilan dan mengundang soalan. Pengalaman JCorp menubuhkan konsep Waqaf Korporat itu sendiri sangat mendapat perhatian. Selainnya, konsep Intrapreneur JCorp, program pembangunan Usahawan Bistari dan Waqaf Dana Niaga turut menarik minat semua. Peserta dari Asia Barat termasuk Dubai, Kuwait dan Qatar lebih tertarik setelah mendapati pencapaian JCorp sebagai sebuah organisasi korporat berskala besar dengan lebih 280 syarikat dan 60,000 anggota pekerja telah dapat dicapai di samping pendekatan berdasarkan falsafah Jihad Bisnes dan bersendikan Waqaf Korporat.Â
Saya telah menceritakan bagaimana JCorp menubuhkan Waqaf An Nur Corporation Bhd (WANCorp), iaitu sebuah organisasi Waqaf Korporat yang ditubuhkan sebagai syarikat dengan jaminan JCorp yang diiktiraf oleh Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) selaku Mutawwali. JCorp mengambil langkah pertama pada 3 Ogos 2006 mewaqafkan sebahagian saham miliknya bernilai RM200 juta pada Nilai Aset Bersih (NTA) dalam tiga anak syarikat tersenarainya, iaitu Kulim (Malaysia) Bhd (syarikat yang memiliki Sindora Bhd, QSR Brands Bhd dan KFC Holdings (Malaysia) Bhd); KPJ Helathcare Bhd dan Johor Land Bhd. Ini merupakan langkah awal transformasi JCorp ke arah menjadi sebuah organisasi Waqaf Korporat sepenuhya. Ini akan dicapai setelah keseluruhan hakmilik saham JCorp diwaqafkan sepenuhnya, insya Allah.
Pencapaian JCorp ini turut melibatkan pembangunan barisan Intrepreneur yang menolak konsep kapitalis tradisional. Kejayaan konsep ”intrapreneur” JCorp sangat menarik perhatian perwakilan kerana mereka faham bahawa Waqaf Korporat tidak mungkin dijayakan jika hak milik saham syarikat diterajui diserah atau diswastakan kepada individu, misalnya menerusi penswastaan, pembelian oleh pengurusan (MBO) atau pilihan pembelian saham (stock options).
Menerusi konsep intrapreneur, Waqaf Korporat dijayakan bagi merapatkan jurang antara golongan kaya dan miskin dalam masyarakat. Ia membuka peluang seluas-luasnya kepada mereka yang ahli dan berkaliber, termasuk yang memulakan bisnes sebagai PKS, untuk mengetuai bisnes dan menjadi ahli korporat berjaya sekalipun mereka tidak mempunyai modal peribadi.
Turut menarik perhatian adalah usaha JCorp memperkenalkan program Usahawan Bistari bagi membantu suri rumah dan ibu tunggal serta Usahawan Siswa Bistari di kampus universiti. Semua ini dijayakan dengan sokongan pembiayaan daripada WANCorp demi menggalakkan budaya bisnes dan berdikari serta pembangunan PKS.
JCorp berjaya melaksanakan program ini dengan sokongan anak syarikatnya, Ayamas Marketing Sdn Bhd yang sedia memiliki jaringan dan infrastruktur bisnes di seluruh negara. Sehingga akhir Januari 2010, seramai 39 Usahawan Bistari (sembilan daripadanya ibu tunggal) telah menyertai program ini. Ayamas diberikan tanggungjawab untuk membimbing, melatih dan memantau perjalanan bisnes mereka selain menyediakan produk khas dan pek ’Jimat’ dengan harga istimewa.
Ternyata para perwakilan berminat untuk mengetahui lebih lanjut kaedah pelaksanaan Waqaf Korporat ini. Dalam sesi soal jawab di akhir pembentangan, beberapa isu telah dibangkitkan.
Pertama, tidakkah Waqaf Korporat mendedahkan WANCorp kepada risiko dan ketidaktentuan pasaran saham dan tidakkah ini bertentangan dengan tujuan waqaf? Saya menegaskan bahawa Waqaf Korporat perlu dijayakan kerana bisnes dan seluruh kegiatan ekonomi dunia hari ini didominasi gergasi korporat multinasional (MNC) dan hampir tiada langsung dimiliki Muslim. MNC Waqaf Korporat Muslim tidak seharusnya meniru MNC global yang kebanyakannya rakus dan zalim. Kita perlu bergerak atas landasaan nilai Islam demi memaksimumkan manfaat kepada seluruh umat. Dalam kes JCorp, saham-saham PLC ini diwaqafkan atas nilai aset bersih (NTA) dan tidak atas nilai pasaran bagi mengurangkan impak ketidaktentuan harga dan nilai pasaran.
Sebagai penutup saya menegaskan satu lagi perbezaan besar antara MNC Barat dengan MNC Waqaf Korporat Muslim. MNC Waqaf Korporat, seperti model anjuran JCorp wajib menjayakan program pembangunan usahawan intrapreneur untuk manfaat seramai mungkin PKS Muslim. Sehingga akhir 2009, JCorp telah melahirkan 69 usahawan intrapreneur PKS dalam pelbagai bisnes dengan nilai jualan melebihi RM500 juta setahun dan keuntungan melebihi RM30 juta.
Selain itu, kelebihan Waqaf boleh dipanjangkan, misalnya menerusi program Waqaf Dana Niaga anjuran JCorp. Sehingga Februari, 2010, seramai 59 orang Usahawan Bistari PKS dari kalangan masyarakat luar mendapat peluang niaga dan menerima manfaat dari peruntukan Waqaf Dana Niaga ini. Mereka diberikan bantuan modal dari dana waqaf ini bagi memulakan bisnes tanpa dikenakan sebarang bentuk faedah atau riba.
Pengalaman JCorp membuatkan saya dan rakan seperjuangan begitu yakin terhadap potensi sebenar institusi Waqaf Korporat dalam memberi jalan keluar kepada umat Islam kembali membina keperkasaan di bidang ekonomi dan memakmurkan umat menerusi Jihad Bisnes. Walaupun ia mungkin memerlukan masa, namun percayalah bahawa perjuangan bertaraf jihad ini akan berterusan, insya Allah, sehingga hari kiamat.
Saya yakin bahawa kini para perwakilan Persidangan Waqaf Antarabangsa Dubai juga menyedari potensi institusi Waqaf Korporat dalam mengembalikan kekuatan ummah khususnya menerusi bisnes. Ini boleh dijayakan waqaf sama ada dengan mendorong pertumbuhan PKS mahu pun membina keupayaan korporat MNC menerusi kaedah Waqaf Korporat.
Muhammad Ali Hashim
24 Februari, 2010
Comments
3 Responses to “MINDA BISTARI #25 - IMPAK GAGASAN WAQAF KORPORAT”
Leave a Reply
Please note: Comment moderation is currently enabled so there will be a delay between when you post your comment and when it shows up. Patience is a virtue; there is no need to re-submit your comment.


Assalamualaikum Sdr,
Bersamalah kita berusaha menjayakan semuanynya … berkerja kuat dan bersungguh untuk dunia kita “seolah2 kita akan hidup selamanya, dan berkerja kuat dan bersungguh untuk akhirat kita seolah2 kita akan mati esok…”
Salam Jihad,
Muhammad Ali
As’kum.
Syukur alhamdulillah, dengan adanya Jihad Bisnes dan Waqaf Korporat dapat membentuk umat Islam berkeyakinan dan bangun menjadi penjana ekonomi dan perniagaan yang berjaya seperti Rasullullah. Allah sentiasa di sisi kita yang sentiasa mensyukuri dan mempergunakan rezeki yang diberikanNYa dengan jalan yang benar.
Terima kasih Tan Sri kerana meniupkan semangat JIhad Ekonomi kepada generasi muda Islam. Wassalam
Assalamualaikum
Ybhg. Tan Sri,
Tahniah di atas pembentangan Kertas Kerja yang menarik di Persidangan Waqaf Antarabangsa di Dubai baru-baru ini. Semoga dengan pembentangan kertas kerja Tan Sri membuka mata pemimpin-pemimpin arab dan seluruh Usahawan Islam di dunia , agar sedar bahawa tanggungjawab kembali semula kepada roh Islam dalam bisnes dan memertabatkan umat Islam di tempat yang paling tinggi dalam semua aspek kehidupan termasuk bisnes adalah satu Jihad. Malah Syekh Rasyid Ridha mengatakan mempertahankan hukum Islam dan amalan Islam itu Jihad yang lebih utama apabila sukar mempertahankan Islam dengan kekuatan pedang dan peperangan.
Dr. Yusuf Qardhawi menyebut “termasuk satu kebodohan apabila harta orang Islam diambil kemudian diagihkan kepada orang atheis, pragmatisme dan sekularisma”. Semoga seruan Waqaf Korporat oleh JCorp dan Ybhg Tan Sri membuka jalan ahli korporat untuk menyalurkan kewangan yang terbaik dan tidak melakukan pembaziran dengan memberi kekayaan kepada orang yang tidak layak.
Sekian wassalam
Mohd Azmi bin Ali
Imam Masjid An Nur Pasir Gudang
Johor Malaysia.