MINDA BISTARI #26 - BISNES HALAL SATU JIHAD
Posted On March 4, 2010
|
Pada 27 Februari 2010, saya telah diundang untuk menyampaikan ceramah di Seminar Halalan Toyyiban bertempat di Masjid Negara, Kuala Lumpur. Seminar anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ini merupakan salah satu pengisian di dalam Kempen 1 Malaysia 1 Halal bertujuan meningkatkan kesedaran dan keprihatinan para pengguna terhadap sijil dan logo halal Malaysia yang dikeluarkan JAKIM atau Jabatan Agama Islam Negeri. Ia disertai lebih 300 orang peserta terdiri daripada pegawai kerajaan, pengusaha makanan, hotel, pembekal perkhidmatan halal, jururunding, ahli akademik dan lain-lain yang berkaitan.
Sebenarnya ini bukanlah kali pertama saya diundang untuk menyampaikan ceramah di seminar seperti ini. Sebelum ini saya juga pernah menyertai beberapa seminar berkaitan termasuk Forum Halal Sedunia (WHF), Persidangan Pasaran Halal Antarabangsa dan sebagainya.
Saya menyanjung tinggi usaha JAKIM menganjurkan seminar ini yang antara lain bertujuan menjelaskan prosedur dan keperluan Sijil Halal Malaysia serta memanfaatkan geran dan insentif yang disediakan oleh kerajaan dalam pembangunan industri halal. Ia juga mampu dijadikan platform kepada peserta seminar untuk meneroka peluang bisnes dalam industri halal dengan mewujudkan peluang pasaran dan memberi khidmat nasihat kepada usahawan dalam klinik usahawan untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan industri halal.
Saya memilih untuk menyampaikan kertas kerja bertajuk ”Bisnes Halal Satu Jihad” kerana sedar betapa pentingnya umat Islam dan bangsa Melayu sama-sama terlibat dalam bidang ini. Lebih besar apabila perjuangan untuk menghalalkan keseluruhan sistem ekonomi perlu kita angkat bersama sebagai perjuangan bertaraf jihad demi kepentingan agama, bangsa dan negara. Sempena sambutan Maulidur Rasul, saya juga telah menarik perhatian peserta Seminar terhadap hakikat betapa bisnes adalah satu sunnah, dengan mengambil contoh Rasulullah SAW sebagai seorang ahli bisnes amanah dan berjaya sebelum menjadi Rasul.
Kegagalan menjadikan bisnes sembilan per sepuluh sumber kehidupan menyebabkan umat Islam terus tercicir dan ketinggalan di belakang. Demikian juga kegagalan menghayati dan merealisasikan seruan Islam agar menjadi umat ”alyadul ulya” iaitu ”tangan di atas” atau ”tangan memberi” yang lebih mulia kedudukannya daripada ”tangan di bawah” dan ”tangan yang meminta-minta” seperti jelas kelihatan hari ini.
Bisnes halal cukup luas pengertiannya dalam konteks kehidupan hari ini. Kamarul Aznam Kamaruzaman dalam The Halal Journal keluaran 2006 mentakrifkan logo halal sebagai ”…bukan setakat menjamin produk tidak mengandungi apa yang telah Allah haramkan, ia mesti menjadi tanda bukti produk berkenaan dikeluar oleh syarikat yang berbisnes mengikut cara yang penuh etika dan berakhlak.”
Di situ jelas menunjukkan makanan halal tidak lagi hanya terhad kepada aspek penyembelihan serta isu bersandarkan ramuan dan kandungan yang dicampurkan dalam makanan. Ia merangkumi aspek-aspek lain yang terlibat dalam faktor pengeluaran makanan itu tadi.
Saya memberikan ayam goreng sebagai contoh. Selama ini kita hanya menitik beratkan isu sama ada ayam ini disembelih dan bagaimana ianya disembelih. Namun kita terlupa dengan aspek-aspek lain seperti dari mana ayam itu datang, bagaimana ia dibela, makanan apa yang diberikan kepadanya, lori untuk mengangkutnya dari ladang (apakah pernah digunakan untuk membawa ternakan seperti khinzir), bekasĀ dan minyak untuk menggorengnya, kebersihan pengendalinya dan sebagainya.
Aspek-aspek ini andai kita kupas satu persatu akan memakan masa yang cukup panjang. Namun ianya menjadi tanggungjawab kita untuk memastikannya. Makanan halal yang dimakan akan memberikan kesan kepada kebersihan rohani dan jasmani kita, menjadi darah daging kita dan anak cucu kita. Kegagalan memastikannya hanya akan memberikan kesan kepada perjalanan kehidupan khususnya kesempurnaan ibadah yang kita lakukan. Mungkin ini juga salah satu faktor menularnya gejala sosial di kalangan Muslim hari ini.
Peningkatan sensitiviti masyarakat terhadap aspek halal juga membuatkan pengusaha-pengusaha dan pengeluar berlumba-lumba memastikan produk masing-masing terjamin kualitinya, halal dan terus diterima para pengguna.
Sebenarnya isu halal melibatkan banyak aspek lain yang lebih meluas. Kita kerap terbaca di dada akhbar berita mengenai peniaga Muslim dan bukan Muslim berniaga dengan cara menipu, membohong dan melakukan perkara yang diharamkan. Baru-baru ini terdapat cerita mekanik muda Melayu yang memberi khidmat membaiki motosikal dan menawarkan barang gantian motosikal dengan harga murah. Rupa-rupanya barang gantian itu diperolehi menerusi kegiatan mencuri motosikal yang dijalankannya.
Tegasnya, penghayatan halal perlu lebih mendalam dan lebih menyeluruh. Untuk menuju ke arah itu, kumpulan syarikat JCorp telah memperjuangkan Jihad Bisnes yang kini dijadikan gagasan perjuangan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) dan menjadi salah satu resolusi di Kongres Ekonomi Islam Ke-3 yang diadakan pada 2009. Paling penting ialah anjuran supaya semua ahli bisnes dan korporat Muslim menjadikan usaha bisnes masing-masing sebagai perjuangan memartabatkan Islam dan umatnya.
Sebenarnya, dalam ceramah tersebut saya juga mengingatkan bahawa semua anggota masyarakat selaku pengguna boleh menyumbang dan memainkan peranan menjayakan perjuangan Jihad Bisnes ini. Sebagai pengguna, kita ”berkuasa” menggunakan setiap ringgit yang dibelanjakan setiap hari umpama ”undi” dalam menentukan kuasa politik. Mereka boleh menggunakan undi ”kuasa ekonomi” ini dalam menegakkan halal, mengenepikan perkara yang munkar dan haram, selain menentukan akhirnya harta kekayaan dalam masyarakat ”tidak hanya berputar di kalangan mereka yang kaya sahaja” seperti dianjurkan al Quran.
Telah tiba masanya masyarakat mengambil berat penggunaan kuasa ekonomi yang ada di tangan mereka untuk memartabatkan halal, menegakkan syariat Islam, amar makruf dan nahi munkar menerusi Jihad Bisnes. Saya berpandangan salah satu faktor menyumbang kepada masalah yang dihadapi umat Islam dalam isu halal adalah kerana kita terlalu bergantung kepada penguatkuasaan dan pemantauan pihak berkuasa tanpa mengambil inisiatif tambahan bagi memastikan syarat-syarat pensijilan Halal dipatuhi di semua peringkat operasi secara konsisten. Ini jika tidak ditangani segera akan menjejaskan reputasi dan integriti sijil Halal Malaysia dan kewibawaan Malaysia sebagai peneraju industri Halal global.
Kerana itu, kumpulan JCorp telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan sendiri Jabatan Syariah dan Pematuhan Halal pada tahun 2007 di syarikat kumpulannya yang terlibat dalam industri makanan iaitu KFC Holdings (Malaysia) Bhd yang meliputi bisnes restoran makanan segera KFC dan Pizza Hut di Malaysia, Singapura, Brunei Darussalam dan Cambodia. Langkah ini diambil untuk memastikan integriti halal kesemua produknya dapat dipertahankan dan tidak diragui.
Tugas dan tanggungjawab utama jabatan tersebut adalah untuk memantau dan mengaudit bagi menentukan semua bahan-bahan, sistem pemprosesan dan pengeluaran produk-produk makanan ini adalah mematuhi syarat-syarat Halal dan aspek pematuhan syariah sebagaimana yang ditetapkan tanpa menunggu pemeriksaan JAKIM atau pihak berkuasa yang berkaitan.
Jabatan ini mempunyai anggota pekerja yang terlatih dalam sistem pengauditan Halal. Malah dipercayai KFC Holdings (Malaysia) Bhd merupakan syarikat pertama yang menubuhkan jabatan seumpama ini sekaligus meningkatkan keyakinan pengguna kepada produknya termasuk Pizza Hut, Rasamas dan Ayamas di negara ini.
Di peringkat yang lebih tinggi, KFC Holdings (Malaysia) Bhd juga melantik kalangan profesional dan cendekiawan agama yang berkelayakan termasuk beberapa orang bekas Mufti dalam Majlis Penasihat Syariahnya. Fungsi Majlis Penasihat Syariah ini adalah sebagai penasihat kepada pengurusan demi memastikan operasi yang dijalankannya sentiasa memenuhi keperluan syarak sebagaimana yang digariskan oleh agama.
Semua pembaharuan ini dilaksanakan bagi memastikan halal diutamakan kerana Jihad Bisnes tidak bermakna sekiranya halal tidak dimartabatkan. Perjuangan Jihad Bisnes juga tidak akan sempurna selagi ia tidak dijadikan teras perjuangan untuk menjayakan cita-cita memperkasa ekonomi umat sehingga benar-benar menjadi ”khaira ummah” atau umat terbaik dan ”khalifah” dalam bidang ekonomi.Ā
Status khaira ummah dan ”khalifah ekonomi” juga tidak akan tercapai selagi umat Islam berlarutan gagal dalam usaha merebut peluang memanfaatkan halal yang harus dimulakan dalam industri makanan yang malangnya kini terus didominasi dan dikuasai bukan Muslim.Ā Ā
Saya juga menarik perhatian peserta seminar terhadap hakikat masakini bahawa lebih 80 peratus makanan halal yang diguna oleh umat Islam dibekalkan oleh bukan Islam. Kenyataan yang jarang disedari ialah hakikat bahawa sebahagian besar daripada barangan halal ini juga sebenarnya tidak dibekalkan oleh bisnes milik bukan Muslim Malaysia lainnya. Syarikat gergasi korporat antarabangsa atau MNC adalah pemain utama dan sumber pergantungan kita untuk sebahagian besar makanan halal.Ā
Dengan demikian, umat Islam Malaysia perlu merancang strategi bisnes jangka panjang untuk mengatasi cabaran ini. Saya menganjurkan supaya disusun strategi yang menggabung tenaga, kerjasama dan persepakatan antara perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bersama korporat Muslim dan GLC untuk menjayakan rancangan ini. Ia boleh dimulakan dengan langkah korporat Muslim serta GLC mendampingi PKS Muslim untuk menjayakan program membina usahawan PKS berjaya sehingga ke peringkat lebih tinggi. Semua ini boleh dilakukan menerusi kaedah pasaran dan bisnes tanpa membebankan kerajaan dan menggunakan sumber cukai.
Justeru sudah sampai masanya untuk kita bangkit berjihad demi ”menghalalkan” sistem ekonomi dari terus didominasi golongan yang menolak konsep halal haram dan dosa pahala. Walaupun saya percaya bahawa penguatkuasaan piawaian Halal begitu penting bagi menjamin produk yang dimakan Halalan Toyyiban (halal lagi baik), kita tidak harus hanya bergantung semata-mata kepada agensi terbabit untuk memantau dan menguatkuasakan piawaian ini. Salah satu langkah yang perlu diambil ialah menggalakkan dan mensyaratkan semua syarikat besar makanan mengambil inisiatif menubuhkan Jabatan Syariah dan Pematuhan Halal sendiri di syarikat masing-masing bagi memastikan setiap operasi yang dijalankan selari dengan nilai Islam dan berlandaskan hukum syarak.
Setelah itu, usaha perlu segera diambil bagi menggalakkan kerjasama dan persepakatan antara syarikat besar, korporat dan GLC dalam membina barisan usahawan PKS Muslim berjaya dan membimbing mereka sehingga dapat bersama menerajui pasaran, dengan keutamaan kepada sektor makanan halal. Pada jangka panjangnya, perkara yang lebih penting ialah bagaimana untuk meramaikan lagi jemaah usahawan Muslim, termasuk PKS, korporat dan GLC bergabung tenaga berjihad dalam bisnes demi menjayakan tuntutan fardhu kifayah sehingga akhirnya dapat menghalalkan seluruh sistem ekonomi ini untuk memartabatkan agama Islam, bangsa dan negara.Ā Ā
Muhammad Ali Hashim
3 Mac, 2010
Comments
2 Responses to “MINDA BISTARI #26 - BISNES HALAL SATU JIHAD”
Leave a Reply
Please note: Comment moderation is currently enabled so there will be a delay between when you post your comment and when it shows up. Patience is a virtue; there is no need to re-submit your comment.


Jihad yang sangat diperlukan untuk memajukan umat Islam terutama dalam Ekonomi. GREAT!
Asalamualaikum Tan Sri,
Saya amat berbesar hati untuk mengutus komen sy yg tak seberapa setelah sekian lama mengikuti dan menerapkan pandangan2 dan idea2 yg cukup membangun dr Tan Sri sbg panduan dlm perkara yang saya lakukan.
Berkenaan dgn coretan pd siri ke 26 ini, bg pandangan sy, isu ini telah lama berlaku tanpa kita sedari. semuanya berpunca drpd kelekaan kita yg memilih untuk menjadi pengguna drpd menjadi pengeluar. Oleh itu, kuasa menentukan itu telah hilang dr tangan kita. Dalam erti kata lain, sebenarnya ‘kita hanya ada kita untuk jaga kita’.
Saya berminat untuk mengetahui pandangan dan idea Tan Sri tentang perniagaan secara Pemasaran Pelbagai Tingkat (Multi Level Marketing). Mengapa masih ramai lg orang Islam atau orang Melayu terutamanya yang memandang rendah atau memandang sinis perniagaan cara yang sebegini?
Tidakkah MLM itu sendiri adalah sebahagian drpd cara perniagaan Francais?
Harap persoalan ini dapat Tan Sri huraikan dalam artikel yang akan datang.
Walauapapun, moga usaha Tan Sri diredhai Allah dan dipanjangkan umur kerana sy ingin terus mengikuti dan mempelajari ilmu yg ada pd Tan Sri yg telah sy ikuti sejak di bangku sekolah lagi..
Sekian, Terima Kasih