MINDA BISTARI #46 - SEMANGAT JIHAD UNTUK KECEMERLANGAN BISNES
Posted On July 15, 2010
|
Nilai perolehan berjumlah lebih RM 8 bilion, keuntungan sebelum cukai RM 670 juta dan nilai pasaran modal (iaitu nilai saham tersenarai andainya dijual di pasaran saham â satu indikator nilai sesuatu bisnes mengikut persepsi pasaran) lebih RM 10 bilion. Itulah angka dalam laporan kewangan Kumpulan Johor Corporation (JCorp) bagi tahun kewangan 2009 sebagaimana dibentangkan baru-baru ini.
Alhamdulillah, dari tahun ke tahun, JCorp mencatatkan prestasi memberangsangkan yang menjadi penanda aras dan petunjuk kepada kemampuannya. Tambahan apabila JCorp adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang juga sebuah intitusi amanah rakyat.
Kejayaan dan kegagalan sesebuah GLC sentiasa menarik perhatian masyarakat. Angka-angka sebagaimana yang dibentangkan akan mengundang pelbagai reaksi. Andainya terdapat perubahan ketara termasuk kemerosotan hasilnya, masyarakat akan menuding jari ke arah CEO khasnya sebagaimana yang berlaku kepada beberapa GLC sehingga memaksa kerajaan campur tangan.
Ketika saya mula menjawat CEO JCorp pada 1982, nilai perolehan JCorp ketika itu hanya RM 150 juta dan keuntungan sebelum cukai RM 35 juta. Selepas 30 tahun, nilainya telah berlipat kali ganda dan JCorp menjadi salah sebuah konglomerat terbesar di negara ini dengan mempunyai lebih 280 buah anak syarikat (7 daripadanya adalah syarikat senaraian awam, PLC di Bursa Malaysia dan satu di London) dan mempunyai hampir 65,000 pekerja. Malah, rangkaian bisnesnya meliputi Singapura, Indonesia, Brunei, Filipina, Papua New Guinea, Kepulauan Solomon, Cambodia, United kingdom, Hong Kong dan India.
Ramai bertanggapan GLC seperti JCorp pasti mengaut untung besar hasil daripada aset (seperti tanah) serta sokongan istimewa kerajaan. Di peringkat awal penubuhannya keistimewaan seperti ini memang penting dan JCorp berterima kasih kepada kerajaan Johor. Namun, setelah semakin âdewasaâ kemudiannya, sumber utama keuntungan dan penambahan nilai diperoleh daripada hasil daya keusahawanan barisan pemimpin dan pengurusannya. Hari ini, JCorp dan kumpulannya adalah sebuah organisasi korporat pelbagai bisnes yang sangat kompleks dengan sebahagian besar keuntungannya dijana prestasi cemerlang syarikat seperti Kulim Malaysia Bhd (Kulim), KFC Holdings Malaysia Bhd (KFCH) dan KPJ Healthcare Bhd (KPJ).Â
Kulim terlibat dalam bisnes minyak sawit dan merupakan pemilik ladang sawit terbesar di Papua New Guinea tersenarai di Pasaran Saham Port Morseby dan London stock Exchange. KFCH memiliki lebih 800 restoran dan beroperasi bukan sahaja di Malaysia, malahan Singapura, Brunei, Kemboja dan Mumbai, India.  KPJ pula sebuah syarikat yang dipupuk dan dibesarkan JCorp sendiri dari kecil-kecilan. Bermula daripada sebuah hospital di Johor Bahru melibatkan 6 doktor pakar pada 1981, kini KPJ menjadi pemilik rangkaian hospital pakar terbesar di Malaysia dengan lebih 700 doktor pakar di Malaysia dan Indonesia. Ketiga-tiga syarikat ini masing-masing mencatatkan prestasi yang cukup cemerlang dengan perolehan tahunan lebih RM 1 bilion.
Di JCorp, kami bukan hanya memandang kepada pencapaian dalam bentuk kewangan. Benar ia satu kriteria dan ukuran pencapaian. Namun, terdapat perkara lain yang lebih menjadi keutamaan iaitu nilai tambah serta sumbangannya kepada penjanaan kekayaan agama, bangsa dan negara yang perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
Saya juga sering menegaskan semua kejayaan JCorp bukan digerakkan seorang dua tetapi ramai. Ini termasuk sumbangan dan sokongan pelbagai pihak. seperti di kalangan pejuang politik, pentadbir, mahu pun di kalangan masyarakat amnya. Tidak kurang penting sumbangan mereka terdahulu, yang bersara atau kembali ke rahmatullah, seperti pengasas JCorp, Tan Sri Othman Mohd Saat (bekas Menteri Besar Johor ketika JCorp ditubuhkan) dan Tan Sri Haji Basir Ismail, Ketua Eksekutif pertamanya. Merekalah yang selama ini berjuang dengan ikhlas, gagah dan gigih demi menjayakan organisasi ini.
Beberapa peneraju dan CEO syarikat strategik JCorp juga berperanan sangat besar. Antara mereka ialah Datin Paduka Siti Saâadiah Sheikh Bakir, Pengarah Urusan KPJ, Ahamad Mohamad, Pengarah Urusan Kulim dan Jamaludin Md Ali, Pengarah Urusan KFCH. Ketiga-tiga âintrapreneurâ JCorp ini merupakan pemimpin pasaran dalam bisnes masing-masing sehingga membawa âbenderaâ JCorp ke peringkat antarabangsa. Pada saya, mereka adalah antara usahawan terbilang bangsa dan entrepreneur luar biasa (dalam JCorp dipanggil âintrapreneurâ atau âentrepreneur amanahâ). Justeru, penulisan kali ini difokuskan kepada ketiga-tiga wira handalan ini dan bagaimana mereka membawa nilai tambah kepada kumpulan JCorp sebagaimana dilihat hari ini.
Pertamanya, Siti Saâdiah yang berkhidmat di JCorp selama 36 tahun bermula pada April 1974. Penglibatan beliau dalam Bahagian Prisihatin (Kesihatan Pakar) JCorp bermula pada 1978 lagi sebelum dilantik sebagai Pengarah Urusan KPJ pada 1993. Beliau orang yang bertanggungjawab membina bisnes ini daripada kecil- kecilan dan memangkinkan KPJ disenarai di Papan Utama Bursa Malaysia 1994.
Kegigihan beliau membina dan membangunkan segmen bisnes kesihatan pakar JCorp sehingga hari ini menjadi pemimpin pasaran kesihatan pakar yang memiliki 19 hospital di Malaysia dan dua di Indonesia. KPJ kini disenaraikan di tangga ke 83 bagi 100 syarikat teratas di Bursa Malaysia dengan nilai pasaran modal pada akhir Jun 2010 berjumlah RM1.7 bilion berbanding hanya RM234.2 juta pada 1994 (peningkatan lebih 626 peratus) dan jualan tahunan melebihi RM1.4 bilion. Pada Mac 2010, Siti Saâadiah dinobatkan sebagai âMalaysiaâs âCEO of the Year 2009â dan anugerah ini disampaikan oleh Perdana Menteri Malaysia.
Kedua, Ahamad telah berkhidmat dengan Johor Corporation selama 34 tahun (bermula pada 1 Jun 1976). Berkelulusan Sarjana Muda (Kepujian) dari Universiti Malaya pada 1976, Ahamad dilantik sebagai Pengarah Urusan Kulim pada 1 Januari 1995. Selain itu, beliau juga menjadi pengarah New Britain Palm Oil Ltd (NBPOL) yang tersenarai di Papua New Guinea dan Bursa Saham London. 
Ahamad mengemudi Kulim sehingga begitu berjaya dan menjadi salah sebuah syarikat perladangan terkemuka di Malaysia. Kulim kini memiliki ladang seluas lebih 120,000 hektar di Malaysia, Papua New Guinea dan Kepulauan Solomon berbanding hanya 29,685 hektar pada 1995 ketika Ahamad mula menjadi CEO. Ahamad juga membawa Kulim ke dalam sektor oleokimia melalui pengambilalihan Natural Oleochemical Sdn Bhd (NatOleo) di Pasir Gudang pada 1994 dan mengembangkan bisnes tersebut sehingga mencatat nilai jualan lebih RM1 bilion menjadikannya antara pengeluar oleokimia terbesar di dunia.
JCorp juga menerusi Kulim berjaya mengambilalih QSR / KFCH sekaligus membawa bisnes restoran dan makanan segera ke dalam senarai bisnes utama kumpulan JCorp. Kejayaan ini sumbangan besar kepada usaha mengembangkan hak milik Melayu dan Muslim dalam bisnes yang sangat strategik demi menjamin umat Islam dihidangkan makanan yang halal dan toyyiban.
Kulim kini di tangga ke 66 Bursa Malaysia dengan nilai pasaran modal (apabila diambil kira nilai NBPOL pada akhir Jun 2010) berjumlah RM 5.8 bilion, berbanding RM543 juta pada Disember 1995, iaitu peningkatan 968 peratus! Jelas sekali kepimpinan dan daya usahawan tinggi Ahamad serta kegigihan dan kegagahan beliau berbisnes menjadi faktor utama pencapaian hebat dan luar biasa ini.
Ketiganya, Haji Jamaludin Md Ali berusia 52 tahun dan berkhidmat di JCorp selama 19 tahun bermula pada 1991. Beliau antara yang berada di barisan depan dalam âperangâ JCorp dan Kulim mengambilalih QSR / KFCH pada 2006.
Selepas pengambilalihan ini, Jamaludin yang sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Operasi JCorp dilantik Pengarah Urusan QSR / KFCH. Beliau memacu pertumbuhan bisnes QSR / KFCH sehingga KFCH diiktiraf YUM! International, USA, sebagai rangkaian KFC terbaik di Asia seterusnya memenangi âAsian Tiger Awardâ selama dua tahun berturut-turut (2007 dan 2008), mengalahkan beberapa negara besar Asia.
KFCH kini disenaraikan di tangga ke 78 Bursa Malaysia dengan peningkatan jualan tahunan daripada RM 1.5 bilion pada 2006 kepada RM2.3 bilion pada 2009 (peningkatan lebih 53.3 peratus) dengan nilai pasaran modal KFCH juga melonjak daripada RM 1.07 bilion (semasa mula pengambilalihan) kepada RM 1.67 bilion (akhir Mei 2010). QSR/KFCH kini mengurus 586 restoran KFC (Malaysia, Singapura, Brunei, Kemboja dan Mumbai, India), 265 restoran Pizza Hut (di Malaysia dan Singapura), 44 kedai Ayamas di Malaysia serta 42 Restoran RasaMas (di Malaysia dan Brunei).
Ringkasnya, saya percaya semangat Jihad Bisnes yang diterapkan ke dalam jiwa telah menjadikan mereka gigih dan gagah dalam membina kerjaya dan meletakkan kepentingan organisasi di tempat pertama selama ini. Semua pencapaian hebat ini tidak bermotivasikan atau didorong kepentingan peribadi semata-mata. Biarpun tidak dijanjikan sebarang pemilikan saham menerusi Management Buy-Out (MBO), stock option atau penswastaan sebagai imbuhan di atas segala kejayaan yang mereka capai, mereka tetap menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai amanah yang perlu dijaga.
Logiknya di bawah prinsip dan sistem ekonomi kapitalis mengikut acuan Barat, mustahil bagi seorang CEO berkerja bermati-matian tanpa janji emas pemilikan peribadi dan kekayaan bernilai tinggi sehingga menjadi jutawan dan bilionair. Namun, saya yakin ketiga-tiga wira usahawan JCorp ini memiliki semangat jihad yang tebal dan sanggup berkorban masa, tenaga, usia, wang ringgit dan kepentingan peribadi demi agama dan bangsa.
Ketika Dasar Penswastaan Negara kuat dilaungkan dahulu, kami di JCorp menganalisis perkara ini secara mendalam. Andainya mahu, mereka boleh menadah tangan meminta syarikat yang diterajui masing-masing diswastakan kepada mereka. Ia pasti menjadikan mereka jutawan segera yang kaya-raya.
Namun mereka memilih tidak melakukannya. Semua di JCorp sepakat penswastaan adalah bertentangan sama sekali dengankepentingan jangka panjang bangsa dan umat. Tidak pernah dianjurkan sesuatu amanah harus difaraidkan sesama pemimpinnya, lebih-lebih lagi apabila ianya melibatkan kepentingan dan hak orang ramai. Pertimbangan inilah yang telah mereka ambil, dan prestasi hebat mereka jelas membuktikan kebenaran anjuran Islam supaya menyerahkan amanah kepada yang ahli. Jika tidak, maka tunggulah saja kehancurannya.
Kesimpulannya, masyarakat perlu menghayati dan menerapkan semangat Jihad dalam diri anak bangsa, khasnya di kalangan ahi bisnes dan pemimpin korporat. Andai ini dapat dilakukan dan diamalkan dengan baik, nescaya akan wujud kesedaran untuk meletakkan kepentingan agama lebih daripada yang lain dalam usaha mengembalikan kekuatan bangsa dan memperkasa ekonomi ummah, insya Allah hingga kita berjaya menjadi umat terbaik atau khaira ummah.
Muhammad Ali Hashim
14 Julai, 2010
Comments
3 Responses to “MINDA BISTARI #46 - SEMANGAT JIHAD UNTUK KECEMERLANGAN BISNES”
Leave a Reply
Please note: Comment moderation is currently enabled so there will be a delay between when you post your comment and when it shows up. Patience is a virtue; there is no need to re-submit your comment.


Salam Tan Sri, saya selalu menggunakan kejayaan JCorp dalam menyemarakkan semangat keusahwanan di kalangan pelajar saya..
Saya agak terkejut dengan berita pengunduran Tan Sri, saya berharap orang yang mengambil alih tanggungjawab daripada Tan Sri biarlah orang yang mempunyai visi, misi & matlamat perjuangan sama seperti Tan Sri.
Semoga JCorp akan diterajui oleh orang2 yang berjiwa Jslamik dan sentiasa berjihad dalam bisnes demi bangsa,agama & negara.
Wassalam
Assalamualaikum Tan Sri ,
Saya amat tertarik setelah membaca artikel ini . Kawan saya ada menceritakan tentang kisah Tan Sri sebelum ini dalam menjayakan Johor Corp. Dan kebetulan pada hari ini teks Tan Sri ini telah mensahihkan cerita kawan saya tersebut.
Saya amat kagum dengan cara Tan Sri ‘handle’ Jcorp menggunakan motto Jihad Business. Teruskanlah perjuangan murnimu , masih ramai lagi orang Melayu kita berpotensi dan boleh dijadikan apprentis Tan Sri.
Sekarang kita sudah ada 3 wira Melayu Islam tertulis di atas kertas , dan secara logik akal dan teknikal, kita boleh menjadikannya 30, 300 atau 3,000 lebih orang dalam masa terdekat ini ‘especially’ dalam menuju Wawasan 2020.
Syabas Tan Sri
Salam Tan Sri,
Pertama kali saya terpandang streamer “Business Jihad” pada tiang lampu, terpanggil untuk mendalami apa sebenarnya, lalu bertemulah website ini dan alhamdulillah pada MIHAS 2010 yang lalu berkesempatan bertemu Pn Rosita, berbincang mengenai program Siswa Bistari. Kemudian saya berusaha untuk bertemu seorang lagi untuk penerangan lanjut dan berbincang bagaimana saya boleh menyumbang, tapi tidak kesampaian sampai ke saat ini.
Sekiranya diberi kesempatan, saya ingin bertemu Tan Sri untuk berbincang bagaimana saya boleh turut serta menyumbang kearah menjayakan wawasan Tan Sri ini melalui pengalaman saya selama 19 tahum membangunkan modal insan dan perniagaan di dalam satu GLC yang saya kira amat berjaya di seluruh Malaysia. Kami telah lahirkan beratus jutawan dan saya ingin menyumbang untuk melahirkan lebih ramai jutawan Muslim melalui lain-lain cabang perniagaan. Saya rasa lebih ramai peniaga jutawan Muslim, lebih mudah untuk Islam berkembang melalui sumbangan zakat/sedekah mereka.
InsyaAllah sekiranya ada rezeki saya, kita boleh bertemu atas keizinan Allah dan berkat wawasan Business Jihad. Dan saya yakin persaraan Tan Sri tidak akan menjejaskan wawasan tersebut. Wassalam.