MINDA BISTARI #48 - KHALIFAH GANTI SUPERMAN
Posted On July 29, 2010
|

Organisasi bisnes perlu ketepi superhero Barat dan amal kepimpinan berpasukan untuk kecemerlangan.
Paling penting: Jangan biarkan berakarnya sikap menurut membuta tuli dan ’taat sia-sia’ yang boleh merosakkan kepentingan jangka panjang organisasi.
Andai ditanya kepada anak kecil, nak jadi kuat macam siapa, pasti ramai yang menjawab, ”Superman!”. Anak-anak pasti mengenali Superman sebagai superhero perkasa yang memiliki kuasa hebat dan luar biasa. Terbang melayang di udara, mengangkat kereta, gagah dan kebal, menangkis peluru dan membengkokkan besi, membasmi jenayah dan menyelesaikan segala masalah. Semuanya mudah bagi Superman.
Ajaib bukan? Watak hebat ciptaan Barat begitu menguasai minda anak Melayu sehingga mereka lupa watak superhero bangsa mereka misalnya sama ada mitos seperti Badang dan Hang Tuah berlima saudara, mahu pun Raja Haji, Panglima Salleh dan lain-lain yang terbukti kegagahan mereka dalam sejarah perjuangan Melayu. Namun, Barat berjaya mencipta imej khayalan ini (termasuk superhero lain) sehingga menjadi begitu sinonim dan melekat dalam jiwa Melayu moden. Tambah pelik apabila anak Melayu tetap memilih Superman sebagai idola biarpun ia janggal dengan memakai seluar dalam berwarna merah di luar!
Yang ingin saya sampaikan dalam rencana ini sebenarnya berkaitan dengan watak Superman dan hubungkait dengan pengaruhnya terhadap corak kepimpinan dan pengurusan organisasi.
Sesungguhnya, tidak hairan jika terdapat pemimpin organisasi yang berminat mempunyai kelebihan seperti Superman.  Banyak masalah boleh selesai. Lebih penting, keupayaan diri yang luar biasa memberi kelebihan dan kuasa penuh pada dirinya.  Pemimpin mana yang tidak mahu diberi kuasa penuh, kebebasan bertindak dan tumpuan segala sanjungan dan menjadi tempat pergantungan harapan semua dalam organisasi. Kedudukan istimewa menjadikannya kebal dan sebagai pemimpin organisasi ia tidak terancam atau digugat oleh sesiapa.
Perhatikan betapa watak Superman ini, sekalipun satu khayalan dan ciptaan imaginasi, sebenarnya boleh merosakkan. Pertama, ia sengaja diperkenalkan orang kulit putih di zaman ketika agenda supremasi berteraskan warna kulit sengaja ditonjol untuk menanam semangat mendominasi dunia, menguasai dan membolot segala-galanya bagi kepentingan mereka. Ia membuat kita berwatak rakus dan serakah.Â
Yang tidak kurang penting, watak Superman juga menegaskan nilai masyarakat Amerika khasnya yang mendewa dan mengutamakan kepentingan individu di atas segala yang lain. Ia menggalakkan sikap nafsu-nafsi. Nilai individualistik ekstrem ini sebenarnya ditonjolkan menerusi watak Superman yang seharusnya kita di Timur, khasnya di kalangan umat Islam perlu berhati-hati dan waspada.
Bahayanya, organisasi dalam masyarakat Islam, sama ada dalam politik, pentadbiran, bisnes, korporat, NGO dan organisasi sosial kerap dilihat cenderung ke arah mempelajari dan meniru budaya organisasi seperti ini, kadang kala tanpa disedari.  Di sini antara punca timbulnya watak ’little Napoleon’ dan ’raja-raja kecil’ dalam organisasi yang sering diperkatakan hari ini.
Ini berlaku kerana pengikut dan orang bawahan dengan secara tidak langsung dan tanpa berfikir, mengizinkannya. Dalam buku ’Membujur Lalu….” yang saya tulis pada 1996, pernah saya nyatakan bahawa dalam konteks masyarakat Malaysia dan Melayu khasnya, terdapat tiga corak budaya warisan yang mempengaruhi pembentukan budaya organisasi, terutama yang majoriti anggotanya adalah Melayu. Tiga corak budaya ini adalah budaya melukut, feudal dan penjajahan. Â
Budaya melukut jika menjadi ciri mendominasi suasana kerja dalam organisasi, mudah sekali menjadikan pemimpinnya Superman. Istilah budaya melukut, diambil daripada perumpamaan Melayu ”seperti melukut di tepi gatang” merujuk kepada sikap yang terlalu merendah diri sehingga menganggap diri terlalu kerdil, tidak penting dan langsung tidak berupaya membawa apa-apa kesan atau pengaruh kepada sesebuah organisasi. Contoh terbaik sikap melukut ialah mereka yang mengasingkan diri dan tidak sanggup ke depan untuk menyuarakan idea dan pandangan masing-masing. Malu, segan, takut, bimbang ditertawakan, hina dan sebagainya bercampur-baur sehingga membunuh keyakinan dan fikiran.
Â
Orang yang membawa sikap melukut adalah orang yang mengizinkan dirinya dilabel ”kakitangan” dalam organisasi. Hampir semua organisasi dalam masyarakat hari ini menggelarkan anggotanya sebagai ”kakitangan”. Dalam suasana begini, tidak hairan ’little Napoleon’ dan Superman bermaharajalela, kerana majoriti dominan dalam organisasi mengambil sikap tidak boleh berbuat apa-apa untuk mengubah suasana.
Dalam Johor Corporation (JCorp), sebagai sebuah organisasi korporat pelbagai bisnes melibatkan lebih 280 syarikat dan 65,000 pekerja, saya kerap ditanya bagaimana menghasilkan keberkesanan dan kecemerlangan. Soalan paling kerap ialah bagaimana cara organisasi besar dan kompleks ini dikawal rapi supaya sentiasa cergas, dinamis, berdaya kreatif dan inovatif, sehingga menghasilkan prestasi tinggi. Semua ini memerlukan usaha gigih dalam banyak hal. Jawapan mudah dan ringkas yang kerap saya berikan ialah pertama, JCorp mengharamkan ’kakitangan’, dan kedua, JCorp tegas dalam mengenepikan kepimpinan bercorak ’Superman’.
Sekalipun jawapannya berbunyi mudah, proses mencapai sepenuhnya kedua matlamat ini, (satu ditujukan kepada perubahan menyeluruh sikap di kalangan anggota bawahan, dan yang kedua pembaharuan sikap di kalangan kepimpinan JCorp), adalah satu proses pembaharuan nilai budaya organisasi yang sangat mencabar. Untuk memudahkan pelaksanaannya, semua perubahan dan pembaharuan yang JCorp lakukan dibuat selari dan serasi dengan nilai asas yang digariskan Islam. Organisasi seperti JCorp yang sebahagian besar anggotanya adalah Muslim, tidak dapat lari daripada membina kekuatan berteraskan nilai Islam.
Justeru, untuk berjaya dan mencapai kecemerlangan dalam pengurusan organisasi menuntut usaha tegas, tersusun dan teratur yang ditujukan khas untuk mengikis dan mengenepikan semua corak budaya warisan asing, negatif dan bertentangan dengan Islam. Sikap mengiktiraf diri sebagai ’kakitangan’ segera digantikan dengan semangat ’insan kamil’, dan Superman digantikan dengan ’khalifah’!  Kepimpinan dalam organisasi harus menggalakkan semangat jatidiri, keberanian dan kegagahan luar biasa di kalangan anggota sehingga mencapai maksud dan hakikat bahawa mereka sebenarnya ’khliafah’ dalam bidang masing-masing.
Paling penting, jangan dibiarkan berakarnya sikap menurut dan mengikut membuta-tuli serta ’taat sia-sia’ yang boleh merosakkan kepentingan jangka panjang organisasi.  Keputusan yang mempunyai kesan strategik dan jangka panjang terhadap kepentingan organisasi seharusnya telus dan melibatkan seramai mungkin anggota agar benar-benar membawa impak positif terhadap pembaharuan sikap, selain menjayakan kebulatan serta keutuhan organisasi.
Budaya korporat yang mengutamakan percambahan ilmu pengetahuan di segala peringkat dan lapisan juga perlu diutamakan dan untuk itu, pemimpin tidak boleh berwatak Superman. Kerana sesungguhnya Superman tidak langsung berminat membimbing dan mencurahkan ilmu pengetahuan dan hikmah pengalaman kepada sesiapa pun orang lain dalam organisasi. Bagi Superman, adalah sia-sia ilmu dan keterampilan yang ada padanya hendak disampaikan kepada orang lain, kerana kelebihan cuma terdapat pada peribadinya sendiri. Kalau ada pun yang boleh menjadi seperti mereka itu pun daripada kalangan Superwoman atau keturunan darah mereka seperti Superboy atau Supergirl. Sesungguhnya tiada seorang pun orang lain yang boleh menyamai mereka!
Tegasnya, adalah malang sekali bagi organisasi yang mendapat orang berwatak Superman sebagai pemimpin. Apa akan terjadi kepada organisasi dan perjuangannya akhirnya apabila ia tiada? Tidak seperti Superman hasil karya imaginasi, semua pemimpin akan beredar, atau akan menghadapi mati akhirnya. Ketika itulah organisasi terlibat dan seluruh perjuangannya akan tergugat. Di sinilah punca utama kenapa Melayu dan umat Islam amnya tidak dapat menghasilkan organisasi besaran dan korporat gergasi yang berdayatahan melewati beberapa generasi. Di sinilah juga tewasnya kita di bidang bisnes dan ekonomi kepada Barat dan negara maju lain, apabila mereka terus kedepan mendapatkan manfaat sepenuhnya daripada kesinambungan usaha berorganisasi zaman berzaman.
Di JCorp, kami sangat memberi perhatian terhadap isu ini, supaya pencapaian korporatnya dapat terus berpanjangan. Inilah sebab utama JCorp memilih untuk mewakafkan kepentingannya. Inilah juga sebab watak kepimpinan di JCorp tidak mencontohi watak Superman. Kuasa dan tampuk kepimpinan tidak dipusatkan kepada seorang CEO sahaja dipuncak syarikat, bahagian bisnes dan organisasi. Keutamaan diberi kepada usaha membina barisan pemimpin bercorak kepimpinan berpasukan atau team leadership. Sekalipun bertindak dalam kumpulan, sistem pengambilan keputusan di JCorp mengizinkan CEO di peringkat bahagian bisnes masing-masing bertindak secara autonomi dalam konteks amalan syura.
Paling penting, dalam mengutamakan kesinambungan untuk mengekalkan kepentingan bisnes, aset dan harta korporatnya kekal berpanjangan untuk menfaat jangka panjang bangsa, agama dan negara, JCorp dengan tegas telah mengambil langkah untuk mewakafkan hak milik saham dalam syarikat strategiknya. Kenapa wakaf? Kerana JCorp bukan organisasi pimpinan Superman yang individualistik, rakus dan terlalu berkepentingan peribadi. Kerana JCorp mengutanakan jatidiri Melayunya, dan berjiwa Islam.
Dengan demikian, dalam konteks budaya korporat amalannya selama ini, sangat penting budaya syura dan nilai ’khalifah’ atas semangat Jihad Bisnes JCorp serta proses organisasi yang dibina dan dipupuk berlandaskan tali ikatan Islam yang telah memberikannya kekuatan dan kegagahan bersaing di pasaran sehingga menghasilkan kecemerlangan selama ini, diterus dan dikekalkan.Â
Jangan biarkan watak asing mengambil alih teraju kepimpinan organisasi seperti JCorp. Mana-mana pemimpin yang didatangkan dari luar JCorp tidak bersedia menjiwai perjuangannya serta aspirasi Jihad Bisnesnya, seperti sedia tertanam di sanubari barisan pemimpin pelapisnya. Jika makhluk asing seperti Superman di bawa masuk juga, iaitu jika amanah kepimpinan tidak diserah kepada ’yang ahli’ seperti yang dianjurkan oleh Islam, menuurut maksud Hadis, kita cuma perlu menantikan kehancuran usaha atau kemusnahan organisasi terbabit.
Muhammad Ali Hashim
28 Julai, 2010
Comments
16 Responses to “MINDA BISTARI #48 - KHALIFAH GANTI SUPERMAN”
Leave a Reply
Please note: Comment moderation is currently enabled so there will be a delay between when you post your comment and when it shows up. Patience is a virtue; there is no need to re-submit your comment.


Assalamualaikum,
YBhg Tan Sri,
Dugaan dan cabaran dari Allah SWT kepada hambaNya adalah tidak mengira sesiapa. Jika kita telah berusaha dgn gigih, ikhlas dan tawakal tetapi Allah SWT belum menunaikan atau tidak akan menunaikan pasti ada balasan yang lebih baik yang menggantikannya, itu adalah janji Allah. Harap diperbetulkan jika fakta saya silap kerana saya masih fakir dari segi ilmu dunia dan akhirat.
Sehubungan dengan itu, saya ingin bertanya apakah perancangan masa hadapan dan hala tuju Tan Sri selepas ini?
Sekian, terima kasih.
Wassalam
Hati Emas
Assalamualaikum, Sdr Hafizah,
Alhamdulillah, sekiranya saya telah dapat menyuntik sedikit semangat.
Teruskan segala usaha samapai berjaya dengan cemerlang, tidak kira apa bidang Sdr.
Insya Allah, saya akan teruskan menjayakan program seperti sebelum ini.
Salam Jihad,
Muhammad Ali.
Assalamualaikum, Sdr Saharmdin,
Saya bersyukur diberi peluang selama 30 tahun bersama rakan-rakan lain di JCorp dan kumpulan syarikatnya.
Mudah-mudahan kami telah memanfaatkan peluang dan kesempatan tersebut untuk membuktikan konsep Jihad Bisnes dan Waqaf Korporat bukan slogan semata-mata dan sebenarnya boleh diamalkan dan dijayakan.
Walaupun tidak kesempatan meneruskannya di JCorp, insya Allah, semangat Jihad Bisnes terus akan saya perjuangkan selagi hayat dikandung badan.
Harapan saya model berbisnes Islamik seperti ini akan dipakai oleh usahawan, syarikat dan organisasi lain supaya dapat umat Islam bangkit juga akhirnya di bidang ekonomi, sekalipun memerlukan berabad lamanya seperti yang kerap saya katakan.
Salam Jihad,
Muhammad Ali
salam,
Kehadapan Ybhg TS apa khabar?semoga dalam keadaan baik hendaknya.
saya merupakan alumni Tunas BISTARI 2000 daerah Johor Bahru amat terkejut dengan berita yang kami dengar tentang perletakan jawatan TS.
Kami selaku alumni sebenarnya rasa terhutang budi yang amat banyak kepada TS & Jcorp kerana telah menyumbang, mendidik, dan memberi tunjuk ajar kepada kami mengenai alam perniagaan khususnya keusahawanan semenjak di bangku sekolah lagi, segala ilmu yg diberikan tidak perna kami persiakan.
sejujurnya kami berterima kasih kepada TS kerana mengadakan Program Tunas BISTARI, program ini mmg amat bermakna bagi kami semua.
apa yang pasti setelah 18 tahun program ini berjalan dan dilangsungkan, ramai alumni Tunas BISTARI telah berjaya menjadi usahawan yang berjaya, saya juga termasuk salah seorang daripada mereka, Terima Kasih TS. untuk pengetahuan TS, jikalau dulu saya dikursuskan tetapi kini syarikat saya telah dilantik untuk menguruskan Program Tunas BISTARI, Didik Bistari & Siswa Bistari, jadi apa yg pasti ilmu yang kami dapat telah kami kongsikan bersama2 untuk anak bangsa kami. saya juga rasa terharu diatas kejayaan Jcorp di bawah kendalian TS, Sebagai seorang nakhoda TS telah berjaya membawa kapal ini kesuatu pelabuhan yang amat bermakna dan tiada nilai gantinya utk rakyat. Terima Kasih Sekali lg TS.
TS, kami dibarisan alumni akan sentiasa menyokong dan setia mencurahkan bakti utk anak bangsa kami seperti mana yg telah TS lakukan dari dulu hingga kini. Kami juga mendoakan agar TS akan sentiasa dilindungi Allah dan diberkati.
Terima Kasih Tan Sri, Jasamu amat berharga, keringat mu menjadi tanda, bisnes jihadmu lama sudah bermula, tidak akan pernah berhenti walau dilanda bencana.
Terima Kasih Tan Sri…
Assalamualaikum…..
YBhg Tan Sri,
Saya amat terkejut dan berasa amat sedih dengan berita pengunduran YBhg Tan Sri selaku Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation. Sesungguhnya pengunduran ini merupakan satu kehilangan yang amat besar kepada saya dan BISTARI Young Entrepreneur Sdn Bhd amnya.
Walau pun saya masih baru lagi di dalam JCorp, tetapi saya sentiasa merasakan semangat YBhg Tan Sri sentiasa membara di dalam diri saya.
Benar kata orang,setiap tindakan kita, pasti ada pemangkin yang sentiasa memberikan kekuatan dan semangat. Begitu juga semangat YBhg Tan Sri yang sentiasa bersama-sama saya di dalam menjayakan aktiviti keusahawanan JCorp.
Pada pandangan mata kasar, mereka yang seusia YBhg Tan Sri pasti lebih selesa duduk di rumah dan menghabiskan masa bersama keluarga,tetapi tidak bagi YBhg Tan Sri,dari utara ke selatan,dari timur ke barat,namun YBhg Tan Sri tetap gagah memperjuangkan prinsip Jihad Bisnes. Itu lah yang menjadi sumber kekuatan kepada saya.
Jika dulu, saya merupakan seorang eksekutif yang hanya melaksanakan tugas-tugas di pejabat tanpa berkesempatan untuk bergaul dengan dunia luar. Tetapi apabila bersama dengan YBhg Tan Sri melalui Bistari Young Entrepreneur, saya telah berjaya mengubah ‘mindset’ saya agar menjadi seorang yang lebih berani dan mampu berdepan dengan segenap masyarakat sekeliling serta berani menghadapi cabaran yang mendatang.
Untuk makluman YBhg Tan Sri jua, sepanjang saya menjayakan aktiviti keusahawanan khasnya CATUR BISTARI, saya mendapat maklumbalas yang sangat baik daripada orang ramai tentang pencapaian JCorp di bawah kepimpinan YBhg Tan Sri. Rata-rata mereka menganggap YBhg Tan Sri sebagai ‘idola’ dan sumber inspirasi kepada mereka untuk menceburi bisnes. Aspirasi YBhg Tan Sri, banyak menyuntik semangat dan memberi motivasi kepada masyarakat khususnya golongan remaja dan belia yang menyertai program kita.
Saya berpandangan bahawa perjuangan dan sumbangan YBhg Tan Sri masih diperlukan bagi mencorak hala tuju pemimpin pada masa akan datang. Perjuangan dan idea “Jihad Bisnes’ YBhg Tan Sri amat besar ertinya kepada saya. Saya sangat berharap YBhg Tan Sri masih dapat kekal di dalam JCorp untuk meneruskan perjuangan ini.
Sekian. Salam Jihad.
RMA
Assalamu’alaykum Tan Sri…..
Tahniah saya ucapkan kpd Tan Sri yg berani menyatakan pendirian dan mmbuat keputusan tegas demi menegakkan keadilan & kebenaran. Itulah yg dituntut oleh agama Islam, menepati hadith Nabi yg mengatakan bahawa “Sebesar2 jihad adalah jihad menentang penguasa yg zalim”.
Sudah memang menjadi sunnatullah setiap perjuangan amar ma’ruf akan melalui kesukaran dan tentangan dan apa yg berlaku terhadap Tan Sri hanyalah sebagai pelengkap episod yang memang sudah dijangkakan. Agenda untuk menyekat usaha murni yg diperjuangkan oleh Tan Sri merupakan satu tindakan rakus pihak berkepentingan yg semata-mata ingin mengaut & menghimpun harta tanpa mempedulikan kepentingan rakyat dan ’survival’ ummat. Adalah amat malang sekali apa yg berlaku kpd Tan Sri disaat ummat Islam masih amat memerlukan sentuhan kepimpinan korporat di JCorp sebagai Ikon Korporat Islamik.
Perjuangan Tan Sri harus diteruskan walaupun tanpa jawatan & gelaran. Ummat Islam di negara ini masih hauskan figura dan sentuhan seperti Tan Sri. Percayalah sesungguhnya ujian ini adalah anugerah dari ALlah swt untuk memuliakan hambaNYA dan kita percaya Tan Sri akan berperanan lebih besar utk membina & membela ummat.
Tan Sri,
Saya merupakan bekas pelajar program usahawan Johor Corporation. Semasa menyertai program tersebut saya berpeluang mendengar ucapan Tan Sri menggalakkan kami menceburi bisnes dan saya sangat bersemangat. Saya amat terkejut apabila terbaca suratkhabar yang memaklumkan bahawa Tan Sri meletakkan jawatan. Saya berharap walaupun sudah tidak bekerja nanti, Tan Sri akan terus memberi semangat kepada remaja yang lain kerana kata-kata Tan Sri memang sungguh menusuk semangat kami semua.
Assalamualaikum Tan Sri, teramat sedih rasanya membaca apa yang Tan Sri tulis kepada kami warga JCorp sebentar tadi. saya rasa bagai disentap semangat kerja saya bila membacanya………
selama 26 tahun saya bertugas di JCorp, banyak perkara yang saya pelajari di bawah naugan, tunjuk ajar Tan Sri………..saya amat kagum dengan semangat kerja, visi & misi Tan Sri selama ini, sehingga JCorp dipandang tinggi di mata dunia…………
Insyallah……..ada hikmah disebalik nya. Saya akan sentiasa mengingati Tan Sri dan sentiasa mendoakan Tan Sri sekeluarga dibawah lindungan Allah dan dimurahkan rezeki.
Assalamualaikum Tan Sri,
Saya amat terkejut dengan keputusan yang diambil oleh Tan Sri hari ini untuk meletakkan jawatan sebagai CEO JCorp. Namun saya percaya bahawa langkah ini telah diambil demi mempertahankan pegangan dan prinsip Tan Sri. Sebagaimana kata Tan Sri, “as a matter of principle”.
Sebagai anggota pekerja JCorp yang berkerja bersama Tan Sri(bukan di bawah), saya telah berpeluang untuk menimba pelbagai bentuk pengalaman secara langsung dan tidak langsung dari Tan Sri yang saya sifatkan terlalu berharga.
Dapat saya lihat bagaimana kegigihan Tan Sri selama ini membangunkan organisasi ini sebagai amanah tanpa mengenal erti jemu. Semua ini kadang kala telah disalah ertikan sebagai memperjuangkan kepentingan peribadi. Apa yang hak telah mereka anggap sebagai tamak dan apa yang dikejar telah dianggap sebagai nafsu serakah.
Tak ramai yang sedar betapa ‘khalifah’ seperti Tan Sri (bukan Superman) amat diperlukan ketika Melayu dan umat Islam terus dikhayalkan dalam dunianya sendiri. Melayu masih merasakan bahawa mereka masih terlalu berkuasa dalam politik sehingga boleh berbuat sesuka hati dan penyakit ini amat payah untuk diubati.
Semangat Jihad Tan Sri Insya Allah akan saya pegang. Akan ada kesempatan dan peluang lain untuk kita meneruskan Jihad ini bersama. Masih ramai yang bersama Tan Sri dan Insya Allah kemenangannya pasti ada. Andai tidak di dunia, pasti di akhirat.
Salam Jihad!
MTA
Terima kasih Tan Sri,
Artikel yang bakal merubah organisasi lain untuk mencontohi JCorp…
“…anggota bukan kakitangan tapi KHALIFAH!”
Saya suka