FORUM: WAQAFKAN GLC SEPERTI PETRONAS!
Posted On June 24, 2009
FORUM: “WAQAFKAN GLC SEPERTI PETRONAS!” (Berikut adalah versi asal respon Blog Business Jihad kepada artikel yang diterbitkan dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia, 24hb Jun, 2009, di bawah tajuk: “Elak Petronas diresapi politik”. Respon ini telah disiarkan dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia pada 26 Jun, 2009 di bawah tajuk: “Wakafkan syarikat milik kerajaan”, dengan terdapat sedikit pindaan oleh Pengarang UM)
Tulisan Kamarulzaman Ismail di bawah tajuk “Elak Petronas diresapi politik” yang tersiar di Akhbar Utusan Malaysia, 24 Jun, 2009, sangat menarik perhatian saya. Dan saya menyokong penuh saranan Kamarulzaman supaya Petronas dielakkan daripada “diresapi politik”.
Seperti kata beliau, “Hakikatnya, sudah terlalu banyak syarikat-syarikat berkaitan kerajaan yang tenat atau hampir gulung tikar kerana campur tangan politik yang melampau.”
Sebenarnya, kita dapat juga saksikan bahawa banyak syarikat-syarikat milik GLC yang dahulunya telah diswastakan atas campur tangan politik, akhirnya terlepas langsung hakmiliknya. Terdapat juga beberapa daripada kepentingan bisnes bernilai yang telah menjadi milik asing, sehingga merosot kedudukan pegangan kepentingan negara.
Dengan demikian kita perlu mencari satu formula yang lebih mantap untuk mengelakkan GLC-GLC berwibawa seperti Petronas, Felda, PNB, Tabung Haji dan seumpamanya daripada juga terlepas pegangan satu hari nanti.
Saya berpandangan bukan sahaja kita tidak harus mengizinkan campur tangan politik melampau, kita sebenarnya harus bertindak lebih berani dari itu, jika hendak menjamin warisan GLC seperti Petronas dapat dikekalkan berpanjangan untuk manfaat bangsa dan negara.
Sekiranya hendak kekalkan dan selamatkan GLC-GLC yang berwibawa dan besar manfaatnya ini, cara yang lebih sesuai ialah kita waqafkan sahaja mereka, menjadikan mereka badan-badan Waqaf Korporat Kebangsaan.
Syukur Alhamdulillah, seperti kata Kamarulzaman, Petronas sejauh ini telah dapat dielakkan dari campur tangan politik melampau. Demikian juga dengan banyak GLC lain di peringkat pusat dan negeri-negeri, termasuk seperti Johor Corporation, yang mendapat manfaat daripada kebijaksanaan dan pandangan jauh pemimpin-pemimpin politik kita sejauh ini.
Bagaimanapun, kebimbangan saya, dan demikian juga kebimbangan Kamarulzaman dan saya yakin ramai rakyat serta warganegara Malaysia lainnya, ialah sejauh mana kebijaksanaan dan pandangan jauh seperti ini dapat dikekalkan. Lebih-lebih lagi dalam keadaan suasana politik negara yang semakin tidak menentu hari ini.
Waqaf Korporat
Konsep Waqaf Korporat mungkin sesuatu yang baru bagi ramai. Namun, di dalam Kongres Ekonomi Islam Ke-3 yang berlangsung pada 12 Januari, 2009, Kongres telah sebulat suara menerima gagasan Jihad Bisnes yang telah menjadikan Waqaf Korporat sebagai strategi terpenting untuk menjayakannya.
Di samping itu, Johor Corporation juga telah memulakan langkah untuk menuju ke arah itu dengan mewaqafkan sebahagian saham miliknya dalam beberapa buah syarikat tersenarai dengan nilai aset bersih berjumlah RM 200 juta pada 3hb Ogos, 2006. Tujuannya, apabila jelas terbukti manfaatnya, satu hari nanti seluruh kepentingan korporat Johor Corporation, Insya Allah, akan diwaqafkan sepenuhnya.
Jelasnya, Petronas dan GLC lain boleh diwaqafkan untuk menjamin kesinambungannya bagi manfaat generasi akan datang. Walaupun konsep waqaf korporat ini perlu dimantapkan lagi, dan kemungkinan juga perlu diberi dokongan perundangan untuk memangkinkannya, saya penuh yakin dan percaya bahawa ianya adalah merupakan satu formula yang dapat melindungi bukan sahaja kepentingan anak bangsa di zaman ini, bahkan juga kepentingan seluruh generasi warganegara Malaysia di zaman-zaman mendatang.
Muhammad Ali
24 Jun, 2009
Comments
11 Responses to “FORUM: WAQAFKAN GLC SEPERTI PETRONAS!”
Leave a Reply
Please note: Comment moderation is currently enabled so there will be a delay between when you post your comment and when it shows up. Patience is a virtue; there is no need to re-submit your comment.


Sdr rozadi
Bersamalah kita berusaha dalam menjayakannya.
Salam Jihad,
Muhammad Ali
Assalamualaikum…..
Menghayati idea-idea yang dibawa oleh Tan Sri, saya yakin jihad bisnes yang diketengahkan akan mendapat pertolongan Allah swt. Konsep wakaf yang dibawa oleh Johor Corp memberi ruang makna yang luas dalam konsep tersebut. Diharap Tan Sri beroleh ruang yang lebih dalam memartabatkan serta memperkasakan ummah.
Assalamualaikum tuan, saya sehingga kini masih belum memahami konsep Waqaf Koporat! Soalan saya, kiranya tuan mewaqaf sebahagian saham syarikat JCorp bermakna tuan menyerahkan sebahagian saham tersebut kepada orang ramai? Diharap tuan dapat menghilangkan kekeliruan saya. Terima kasih.
Assalamualaikum YBhg Tan Sri terima kasih atas maklum balas yang diberikan. Saya merasa itu satu tindakan yang bijak dan berani. Untuk menyokong agar terlihat keberkesanan, perlulah ada satu ‘team’ di peringkat JCorp yang benar-benar bertenaga, faham ttg aspirasi, ada matlamat untuk lebih ke depan dengan tenaga-tenaga di JAJ. Diperingkat eksekutif harus lebih memainkan peranan. TIADA SATU HARI TANPA JIHAD BISNES..
Assalamualaikum, Sdr Hisham,
Benar seperti kata Sdr bahawa hal-hal waqaf adalah dalam bidang kuasa Jabatan Agama dan Majlis Agama di Negeri-negeri.
Sesungguhnya tidak mungkin JCorp dapat melaksanakan dan menjayakan langkah Waqaf Korporatnya di Johor tanpa sokongan, kerjasama, bimbingan/nasihat dan kelulusan Jabatan Agama Johor (JAJ). Saya dan semua rakan seperjuangan bersyukur, berterima kasih dan sangat terhutang budi di atas semua sokongan dan kerjasama JAJ yang telah memangkinkan pewaqafan peringkat pertama, iaitu saham-saham PLC bernilai NAB RM200 juta pada 3 Ogos, 2006. Demikian juga kemudiannya, iaitu pada 2008 apabila JCorp sekali lagi mewaqafkan saham majoriti (61%) miliknya dalam syarikat yang memiliki sebuah kompleks membeli-belah Larkin Sentral di Johor Bahru atas nilai NAB lebih sedikit RM50 juta.
Pewaqafan kedua ini menempa sejarah bagi Kompleks Larkin Sentral sebagai Kompleks membeli-belah pertama di Malaysia (mungkin juga di dunia?) yang diwaqafkan.
Cadangan Sdr supaya JCorp menaja JAJ, atau meminjamkan eksekutif ke Jabatan Agama, tidak merupakan sesuatu yang sesuai dilaksanakan. Yang lebih penting dipertimbangkan ialah idea Sdr supaya kendalian pengurusan semua aset dan ekuiti yang diwaqafkan itu diurus oleh yang ahli. Dalam kes Waqaf An-Nur Corporation Bhd (WANCorp), penyatuan tenaga dan keupayaan terbaik antara JCorp dan JAJ telah dijayakan menerusi pelantikan Ahli-ahli Lembaga Pengarah WANCorp dari kalangan kedua pihak.
Untuk makluman Sdr, kini Pengarah JAJ, SS Mufti Kerajaan Johor, SF Timbalan Mufti, serta Pegawai Waqaf JAJ adalah dilantik selaku Pengarah Atas Jawatan dalam Lembaga Pengarah WANCorp. Bersama-sama dengan Presiden/CEO JCorp, Naib-naib Presiden Kanan JCorp serta CEO Bisnes-bisnes Strategik JCorp yang juga ahli Lembaga Pengarah WANCorp, saya yakin WANCorp telah pun mempunyai cukup kepakaran dan keupayaan sama ada dari kalangan ulama dan hal ehwal syarak dan hukum, serta juga yang ahli dan berpengalaman dalam bidang bisnes dan korporat.
Gandingan kedua-dua barisan mereka yang ahli ini, Insya Allah, akan dapat memperkasa WANCorp dan menjayakan matlamat besar JCorp dalam menjayakan konsep Waqaf Korporatnya.
Terima kasih di atas perhatian Sdr.
Salam Jihad,
Muhammad Ali,
11 Julai, 2009.
Assalamualaikum Tan Sri, ringkasnya hal2 berkaitan Waqaf banyak bersangkutpaut dengan Jabatan Agama Johor / Majlis Agama Islam, dan di sini kenapa tidak kita lantik JCorp sebagai PENGGERAK kepada Waqaf tersebut menjadikan Jabatan Waqaf di Majlis / Jabatan Agama Johor sebagai satu jabatan yang JCorp bantu / taja seperti menempatkan ( dengan izin JAJ) pegawai-pegawai khas yang JCorp lantik khusus (berlatarbelakangkan mereka yang ahli dalam bidang bisnes) bagi mempercepatkan/melicinkan aspirasi JCorp menggerakkan Waqaf, terutamnya Waqaf Korporat. Satu pandangan dari Tan Sri.
Salam Jihad
Hisham
Respon Blog Business Jihad kepada komen Sdr-Sdr Hamidah (30 Jun), Syamsul (4 Julai) dan Zirkonia (5 Julai), 2009:-
Pertama, setinggi penghargaan kepada ketiga-tiga komen yang saya terima daripada Sdr-sdr semua. Perhatian Sdr-sdr amat saya nilai tinggi dan andainya Blog Business Jihad ini berupaya menyentuh hati, merangsang minda dan juga berkemungkinan membakar semangat Sdr-sdr, Alhamdulillah, saya bersyukur dan terima kasih saya ucapkan.
Inilah sebenarnya matlamat dan hasrat penulisan Blog ini, iaitu seperti kata Syamsul, untuk mendapat “strong buy-in” di kalangan masyarakat Malaysia dari semua lapisan, keturunan dan golongan.
Sesungguhnya ia bukan merupakan satu langkah Jihad yang bermakna, andainya JCorp sahaja yang memperjuangkannya sendirian. Untuk bertaraf satu “jihad” memerlukan penglibatan satu “critical mass” anggota masyarakat terbanyak. Saya serta semua rakan-rakan seperjuangan di JCorp juga tidak akan merasa selesa, andainya masyarakat akhirnya menyifatkan kami cuma “syok sendiri” sahaja. Malahan, andainya ini yang berlaku, kami akan merasakan bahawa kami telah gagal dalam usaha menyempurnakan satu cabang amanah dan tanggungjawab kami.
Maklumbalas daripada Sdr Zirkonia yang mewakili golongan belia juga sangat bermakna bagi saya. Kerana sesungguhnya Jihad Bisnes dan Waqaf Korporat tidak menghasilkan apa-apa sekiranya tidak berjaya melindungi kepentingan jangka panjang bangsa, agama dan negara yang berkesinambungan turun temurun. Sewajarnya pengenalan konsep-konsep seperti ini menguja dan merangsang semangat para belia.
Saya berharap Sdr Zirkonia serta rakan-rakan belia lain tidak akan ragu atau segan untuk terus- menerus memberi idea, pandangan, maklumbalas dan komen tentang apa sahaja yang kalian anggap penting diketengahkan dan dibincangkan, asalkan ianya menjurus kepada melindungi hak dan menjaga kepentingan para belia yang mana akan mewarisi perjuangan besar negara kita.
Di dalam JCorp pun, keutamaan kami yang paling penting ialah menentukan bangkitnya satu barisan eksekutif muda yang luar-biasa semangat jihad mereka, selain dari tinggi keterampilan berbisnes dan daya keusahawanan untuk menjamin kesinambungan prestasi dan pencapaian. Kejayaan yang dimahukan bukan sahaja dalam menjaga kepentingan bisnes semasa, malah juga dalam menjamin kesinambungan perjuangan Jihad Bisnes dan Waqaf Korporat JCorp amnya.
Saya juga bersetuju dengan pandangan Hamidah bahawa andainya Waqaf Korporat diterima sebagai dasar Kerajaan, ianya akan “lebih mudah terlaksana”.
Mungkin kita harus melihat pengenalan institusi Waqaf Korporat ini sebagai satu penambahan atau pelengkap kepada apa yang Syamsul sebut sebagai langkah “pembaharuan yang telah diperkenalkan, dengan adanya Permodalan Baitulmal Kebangsaan dan JAWHAR sebagai agensi pusat dalam menyelaras hal ehwal zakat, haji dan Mal.”
GLC-GLC yang diwakafkan sebagai Waqaf Korporat boleh menjadi pelengkap dalam erti kata mereka boleh menjadi penghubung atau “jambatan” antara swasta atau bisnes/korporat yang menjana kekayaan, dengan masyarakat besar amnya. Dalam urusan ini mereka seharusnya menyusun program CSR Islamik yang berkesan yang ditujukan kepada memanfaatkan golongan masyarakat yang memerlukan keprihatinan.
Hari ini semakin ramai umat Islam berbisnes, dan semakin ramai yang kaya raya. Malangnya, dalam sistem Kapitalis ekstrem, tidak terdapat “jambatan” yang memangkinkan sektor korporat dan yang kaya-raya supaya berperanan langsung dan berterusan secara institusi membantu memenuhi keperluan besar masyarakat bukan bisnes.
Apapun, kita perhatikan dalam sejarah pembangunan institusi di Malaysia, menubuhkan dan memperundangkan sesuatu agensi, GLC atau institusi adalah perkara mudah. Yang lebih mencabar ialah mengurus dan mengendalikannya dengan baik dan berprestasi tinggi supaya manfaat yang diharapkan dari penubuhan itu benar-benar dapat disempurnakan.
Kita perlu mengambil iktibar, misalnya, dari contoh-contoh sebenar yang banyak berlaku kepada hartanah atau aset yang diwaqafkan di bawah pengurusan pihak agensi atau badan berwajib. Malangnya, seperti banyak yang dibangkitkan dalam seminar-seminar waqaf dan seumpamanya, terlalu banyak terdapat contoh di mana hartanah atau aset-aset ini terbiar atau tidak diurus dengan baik yang sepatutnya dapat memberi manfaat seperti yang diharapkan oleh para pewaqaf.
Hal ini juga pernah dijadikan salah satu sebab mengapa orang Islam tidak lagi berapa minat untuk mewaqafkan harta mereka untuk kebajikan umat dan untuk fi sabilillah. Kerana terdapat imej negatif terhadap pengurusan harta waqaf di mana urusannya oleh beberapa pihak berwajib dilihat tidak profesional, tidak telus atau transparent dan akhirnya tidak dapat meyakinkan bakal pewaqaf akan kesan dan impak manfaatnya. Sesungguhnya sekiranya dibiar berterusan ia merupakan satu kerugian besar kepada umat Islam.
Kesimpulannya, saya kerap mengingatkan diri saya dan rakan-rakan seperjuangan di JCorp supaya menentukan hal seperti ini tidak akan berlaku kepada Waqaf Korporat JCorp. Syukur Alhamdulillah, di JCorp terdapat pengalaman lebih 30 tahun dalam usaha mengurus, mengendali dan menerajui bisnes-bisnes kecil, sederhana dan besar, yang memberi kami sedikit kelebihan pengalaman untuk menentukan supaya aset, harta, saham dan bisnes yang diwaqafkan menerusi Waqaf An-Nur Corporation Berhad yang JCorp uruskan, Insya Allah akan ditentukan supaya dapat memenuhi matlamat serta tujuan pewaqafannya.
Sekian, Salam Jihad dan terima kasih.
Muhammad Ali,
5 Julai, 2009
Salam Tuan,
Jihad Business dan Waqaf Corporat sesuatu yang baru bagi saya. Selama ini terlalu banyak retorik dari mereka yang hanya bersikap cakap tak serupa bikin. Tetapi bilamana saya terserempak dgn JCorp dan idea praktikal tuan saya sangat teruja. Terus terang, saya masih belum menyelami sepenuhnya konsep tuan dari segi teknikal dan falsafahnya tetapi sampai masanya, Insyallah saya akan menghadam di benak akal saya dengan baik.
Saya golongan belia yang tercari-cari ikon dan model untuk dirujuk akhirnya mampu tersenyum dan kembali bersemangat setelah menyusuri secara permukaan tentang konsep unik tuan.
Saya masih hijau untuk bercakap dengan tuan tetapi saya adalah antara belia yang ingin mencari penyelesaian praktikal kepada kemelut hari ni berkaitan Islam dan bangsa melayu dan malaysia negara dicintai.
Itu sahaja buat masa ini sekadar ingin memaklumkan bahawa diluar sini ada belia-belia yang sangat-sangat mengharapkan bimbingan dari seniour-seniour yang ikhlas walaupun sekurang-kurangya sekadar teladan yang praktikal.
Yang nyata, pengharapan contoh dari komuniti politik sudah tidak releven dan mungkin tokoh korporat berjiwa jihad yang kemas seperti tuan sebagai pakej pemimpin berwibawa untuk kami contohi.
Terimakasih tuan atas kesudian berkongsi idea pragmatik kepada umum. Semoga Allah s.w.t membalas jasa tuan dengan penuh kebaikan dunia dan akhirat.
wassalam,
Zirkonia
salam Tan Sri
Lama pula tidak berkongsi posting.
Isu campurtangan politik didalam GLCs atau SLCs adalah amat relevan ketika ini, bahkan semakin penting bilamana krisis ekonomi berlaku. Lihat saja di US betapa ’sayang’nya Kerajaan didalam menangani syarikat2 besar (dan ada berkepentingan kerajaan).
Malaysia tidak ketinggalan terutama GLC terbabit adalah umpama gold mines.
Cadangan pengwujudan Permodalan Baitulmal Kebangsaan bolehlah dibincangkan. Begitu juga peranan JAWHAR selaku agensi pusat dlm menyelaras hal ehwal zakat haji dan Mal. Komen Tan Sri hal ini harap dptlah dikongsikan.
Saranan utk mewaqafkan GLC sepastinya memerlukan strong buy-in dari banyak pihak. Tentunya memerlukan proven track record utk diambil iktibar. InsyaAllah spt tulisan Tan Sri, hasrat dan perancangan JCorp bakal menjadi teladan.
salam.
Assalamualaikum w.b.t diucapkan kepada Tan Sri, semoga berada dalam keadaan sihat walafiat. Saya membaca penulisan Tan Sri mengenai cadangan ini di dalam Utusan Malaysia minggu yang lalu. Namun belum mempunyai kesempatan untuk saya mengetahui lebih lanjut mengenai topik yang dibincangkan ini sehinggalah saya menemui saluran ini untuk berinteraksi dengan Tan Sri.
Ketika membaca komen dan cadangan Tan Sri itu, saya mula memikirkan apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan konsep Wakaf Korporat tersebut. Saya merasakan bahawa idea tersebut adalah sesuatu yang unik dan sangat perlu untuk difahami oleh semua lapisan masyarakat dan kerajaan sendiri. Setelah membaca artikel-artikel Tan Sri dalam halaman ini, saya tidak melihat cadangan Tan Sri ini sebagai sesuatu yang boleh mengancam kedudukan dan hak mana-mana kaum dan penganut agama yang lain. Namun, saya percaya bahawa penulisan dan cadangan-cadangan Tan Sri ini perlu kepada sokongan dan dorongan dari pelbagai pihak termasuk individu, korporat dan kerajaan.
Saya berpandangan, andainya cadangan Tan Sri mengenai Wakaf tersebut dapat dijadikan sebagai satu dasar dan amalan kerajaan, sudah tentu ianya akan lebih mudah terlaksana. Persoalannya, sejauh manakah mereka menerima dan memandang cadangan ini? Saya melihat Johor Corporation agak berani dengan menjalani eksperimen ke atas organisasi sendiri dengan mewakafkan sahamnya. Ini sudah tentu amat berat untuk dilaksanakan oleh GLC-GLC yang lain seperti Petronas, TNB, Tabung Haji dan sebagainya. Pada ketika ini kita masih lagi melihat kesemua GLC ini diterajui oleh anak Melayu sendiri. Saya tertanya sendiri, sejauh manakah kesedaran mereka mengenai kepentingan untuk memastikan bahawa GLC-GLC ini membawa pulangan yang baik kepada agenda memperkasakan agama, bangsa dan negara?
Saya juga percaya andainya semua GLC ini diwakafkan sebagaimana cadangan Tan Sri, ianya tidak akan merugikan kerajaan malah mampu memastikan kesinambungannya di masa hadapan. Saya berdoa semoga terdapat sinar di hadapan kita, untuk kita menyaksikan satu perubahan yang besar yang akan membawa kita kepada kejayaan yang cemerlang duniawi dan ukhrawi. Teruskan usaha Tan Sri dan semoga beroleh kejayaan yang lebih cemerlang. Insya Allah.
Wassalam.
HAMIDAH A. RAHMAN
Putrajaya